Monday, November 21, 2011

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

LATIHAN BERCORAK PEPERIKSAAN

PENGUKUHAN ISTILAH & TATABAHASA

LATIHAN 7.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Beberapa batang senapang berjaya dirampas dari penjenayah yang ditangkap oleh polis semalam.

ii. Kapal terbang yang baru berhenti itu sedang diperiksa oleh pihak berkuasa kerana disyaki ada bom didalamnya.

iii. Kakak memasak air selepas menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan oleh guru beliau.

[6 markah]

LATIHAN 8.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Rakyat-rakyat harus berusaha untuk menjayakan zaman depan negara agar menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang.

ii. Para penagih-penagih yang telah ditangkap akan dimasukkan di pusat Serenti untuk dipulihkan.

iii. Seseorang itu perlu mempunyai kuat stamina untuk sampai di puncak Gunung Ledang.

[6 markah]

LATIHAN 9.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Talib menghadiahi kepada ibunya seutas rantai emas sebagai tanda sedih sempena Hari Ibu.

ii. Bila tiba musim tengkujuh, para nelayan tidak masuk ke laut kerana laut bergelora dan ombaknya sangat kuat.

iii. Sarung kain yang digayakan oleh Siti Nurhaliza amat sama dengan baju kurung yang dipakainya.

[6 markah]

JAWAPAN:

LATIHAN 7.

i. Beberapa ‘pucuk’ senapang berjaya dirampas ‘daripada’ penjenayah yang ditangkap oleh polis semalam.

ii. Kapal terbang yang baru ‘mendarat’ itu sedang diperiksa oleh pihak berkuasa kerana disyaki ada bom ‘di dalamnya’.

iii. Kakak ‘menjerang’ air selepas menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan oleh ‘gurunya.’

[6 markah]

LATIHAN 8.

i. ‘Rakyat’ harus berusaha untuk menjayakan ‘masa’ depan negara agar menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang.

ii. ‘Para penagih’ yang telah ditangkap akan dimasukkan ‘ke’ pusat Serenti untuk dipulihkan.

iii. Seseorang itu perlu mempunyai ‘banyak’ stamina untuk sampai ‘ke’ puncak Gunung Ledang.

[6 markah]

LATIHAN 9.

i. Talib ‘menghadiahkan’ kepada ibunya seutas rantai emas sebagai tanda ‘kasih/sayang’ sempena Hari Ibu.

ii. ‘Apabila’ tiba musim tengkujuh, para nelayan tidak ‘turun/pergi’ ke laut kerana laut bergelora dan ombaknya sangat kuat.

iii. ‘Kain sarung’ yang digayakan oleh Siti Nurhaliza amat ‘padan’ dengan baju kurung yang dipakainya.

[6 markah]

No comments:

Post a Comment