Sunday, November 13, 2011

Bahasa Melayu: Soalan dan Cadangan Jawapan Karangan Percubaan Johor, Pahang, Kelantan, Melaka dan Sabah

OHOR
1. Slogan “Membaca Jambatan Ilmu” menunjukkan bahawa untuk menjadikan aktiviti membaca mendatangkan pelbagai faedah kepada seseorang. Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Pendahuluan :
Ketika Malaikat Jibril memeluknya dan mengajarkan baginda membaca, Nabi Muhamad SAW sebelum itu adalah buta huruf. Namun, dengan berkat membaca yang bermula dengan surah Iqra, baginda telah bangkit sebagai pemimpin agung yang memancari seluruh jazirah Arab dan dunia amnya dengan wadah keilmuan yang tiada tolok bandingannya. Demikianlah suatu keajaiban ilmu dengan wasilah membaca. Membaca Jambatan Ilmu adalah antara slogan yang menyatakan sekiranya mahu berada dalam alam bijaksana pilihlah wadah membaca. Demi merealisasikan tradisi keilmuan itu, wajarlah pelbagai langkah dan strategi diambil oleh seseorang untuk mengangkat martabat diri ke persada ilmu.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Memupuk diri sendiri untuk mencintai ilmu dan membudayakan ilmu – ilmu dijadikan alat mengubah cara berfikir dan gaya hidup

Isi 2 : Memilih kawan dan khalayak yang gemar membaca dan menuntut ilmu – menjadi motivasi agar saling menyokong dan bersaing dalam kegiatan yang berfaedah

Isi 3 : Menyediakan sendiri perpustakaan mini di rumah – sentiasa berbangga dengan koleksi buku

Isi 4 : Mengunjungi pusat-pusat pameran buku, kedai buku, dan pusat sumber – dapat membentuk jiwa yang cenderung dan berminat kepada segala jenis maklumat yang dihidangkan di dalam buku

Isi 5 : Menyimpan impian agar pada suatu hari kelak anda akan berjaya menjadi seorang ilmuwan dan seterusnya menyumbangkan idea dengan menulis buku-buku – anda sebagai pewaris ilmu dan penyebar ilmu (peribahasa: gajah mati dikenali tulang, harimau mati dikenali tulang, dan manusia dikenali jasa)

Kesimpulan :
Sesungguhnya, insan yang paling bijaksana ialah insan yang dapat mengenali dirinya. Langkah untuk mengenali diri hendaklah dengan wadah ilmu. Tuntutlah ilmu sama ada dunia mahupun akhirat kerana ilmu pelita hidup.

2. Perasaan saling menyayangi dan hormat-menghormati sesama ahli keluarga dapat membentuk masyarakat penyayang. Berikan pandangan anda tentang peranan ibu bapa dalam melahirkan individu yang penyayang.

Pendahuluan :
Kalangan bijaksana berpendapat bahawa rumah ialah syurga kepada kehidupan dan ada kalanya menjadi neraka. Pengertian daripada pendapat tersebut menerangkan bahawa rumah tangga menjadi nukleus utama yang dapat membentuk keluarga yang bahagia mahupun di sebaliknya. Pelopor paling penting untuk melahirkan sebuah keluarga harmoni dan bermawadah tentulah ibu bapa. Elok corak yang dilakari nescaya eloklah keluarga yang dibina. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar demi mencorakkan sebuah rumah tangga yang dilingkungi oleh rahmat dan kasih sayang.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Menjadi insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah – insan seperti ini sentiasa berfikiran positif dan mengetepikan perihal yang negatif – sentiasa memupuk kecenderungan untuk hidup yang diredai di dunia mahupun di akhirat

Isi 2 : Mengutamakan pendidikan kekeluargaan dengan limpahan kasih sayang kepada anak-anak – anak-anak yang diajari erti berkasih sayang lebih cenderung untuk saling hormat dan saling menyokong

Isi 3 : Berkomunikasi secara lembut dan sopan dengan anak-anak – melahirkan persekitaran rumah tangga yang harmoni, sepakat, dan memperoleh berkat

Isi 4 : Melaksanakan tanggungjawab terhadap rumah tangga – memenuhi keperluan asas fizikal dan memberi anak-anak ilmu pengetahuan dan kemahiran

Isi 5 : Memanjangkan jalinan persaudaraan dengan kaum keluarga dan jiran tetangga – mendedahi anak-anak tentang cara hidup yang bermasyarakat dengan jalinan kasih sayang

Kesimpulan :
Elok air di hulu, nescaya jernihlah di muara. Demikianlah peribahasa yang menganjurkan pendidikan dan tingkah laku yang baik yang dipelopori oleh ibu bapa bakal ditontoni anak-anak. Mereka akan membesar dengan seimbang dan harmoni kerana lahir daripada acuan yang sempurna.

3. Keadaan cuaca yang tidak menentu dan aktiviti pembangunan yang tidak terancang di sesetengah kawasan di negara kita telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh. Tulis sebuah rencana tentang cara-cara untuk mengatasi kejadian tanah runtuh.

4. Kemasukan pendatang asing yang semakin bertambah di rantau ini telah memberikan kesan kepada rakyat dan negara. Bincangkan kerjasama yang dapat dilakukan oleh Malaysia dengan negara jiran untuk mengatasi masalah tersebut.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

5. Pantun di atas menjelaskan bahawa budi dan jasa seseorang perlu dihargai. Sebagai seorang pelajar, bincangkan sumbangan yang boleh anda berikan sehingga pihak sekolah dapat menghargai budi dan jasa anda.

PAHANG

1. Kelulusan akademik semata-mata tidak lagi menjadi faktor penentu kejayaan seseorang pelajar setelah mereka meninggalkan institusi pendidikan formal. Berikan pandangan anda tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh seeorang pelajar sebagai pelengkap untuk memasuki alam pekerjaan.

Pendahuluan :
Di Malaysia, memasuki alam pekerjaan adalah menjadi destinasi akhir kepada kebanyakan pelajar. Sama ada di peringkat sijil, diploma atau ijazah mereka sudah mencongak-congak akan peluang pekerjaan yang bakal diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu boleh menjawat jawatan yang dicita-citakan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai kemahiran di samping akademik yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh para majikan. Justeru, seseorang pelajar itu wajarlah memperlengkapkan dirinya dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebelum melamar sebarang pekerjaan.

Isi 1 : Memiliki kemahiran dalam berkomunikasi - petah berbicara, matang mengeluarkan hujah dan pendapat, dan berani berhadapan dengan pelbagai peringkat klien - berinteraksi dalam gaya yang sopan

Isi 2 : Kemahiran menguasai pelbagai bahasa - mampu berinteraksi dengan pelbagai lapisan dan peringkat - menguasai bahasa-bahasa penting di dunia seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Perancis, Arab, Jepun, dan banyak lagi - berpeluang untuk meneroka pelbagai peluang dengan pendapatan yang lebih lumayan di seberang laut

Isi 3 : Kemahiran teknologi - penting selaras dengan kemajuan teknologi global - hala tuju negara menjadi negara maju yang dipacu oleh sektor perindustrian – teknologi pembuatan, kejuruteraan, dan penciptaan - memiliki aset utama untuk mencari peluang dalam pelbagai sektor – (pembuatan, pemesinan, perkakasan, dan operasi)

Isi 4 : Kemahiran dalam ICT – selaras dengan kemajuan teknologi langit terbuka - mempercepat proses penyebaran dan pemerolehan maklumat melalui rangkaian Internet dan laman sesawang - boleh bersaing dalam gelanggang maklumat yang menguasai gaya hidup moden (peribahasa: tidak boleh hidup seperti katak di bawah tempurung)

Isi 5 : Kemahiran dalam penampilan dan penyesuaian diri - penampilan fizikal, gaya bersosial, mengawal emosi, dan matang berfikir - meyakinkan orang lain terhadap keupayaan diri - mudah diterima dalam kelompok

Isi 6 : Kemahiran-kemahiran seni istimewa - seni suara, seni muzik, memasak, ketukangan, hiasan, dan dekorasi - sebagai aset tambahan untuk lebih berdaya saing

Kesimpulan :
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada sesiapapun yang tahu mengajari kita agar berusaha mencipta tuah. Oleh yang demikian, penampilan diri dengan pelbagai kemahiran merupakan tuah yang boleh dicipta demi mencapai kejayaan peribadi seperti yang diidam-idamkan.

2. Keberkesanan yang dimainkan oleh ibu bapa dalam sesebuah institusi kekeluargaan mampu menangani masalah disiplin dalam kalangan remaja. Bincangkan.

3. Anda mendapati sungai-sungai di Malaysia dalam keadaan yang tercemar. Sehubungan dengan itu, anda selaku pegawai alam sekitar terpanggil untuk menyampaikan sebuah ceramah. Tajuk ceramah tersebut ialah Peranan Masyarakat dalam Memulihara Sungai-sungai di Negara Kita. Sediakan teks ceramah tersebut selengkapnya.

NOTA :
Karangan ini dalam bentuk berformat. Sila rujuk karangan format ucapan sebagai panduan anda.

Pendahuluan :
Sejarah telah membuktikan bahawa sungai telah menjadi asas tamadun yang amat penting. Tamadun-tamadun agung seperti di lembah Ganges, Mesopotamia, Nil, dan Tamadun Hwang Ho (Kuning) telah menjadikan sungai sebagai tapak budaya dan kebangkitan sejarah manusia. Malahan hingga ke era moden, sungai terus berfungsi dalam multifungsinya. Sungai sebagai sumber bekalan air, sungai sebagai sumber agraria, dan sungai jugalah sebagai sempadan politik tradisional sama ada antara negara mahupun negeri dan wilayah. Demikianlah realiti fungsi sungai kepada alam sejagat. Namun, selaras dengan ledakan teknologi dan perubahan manusia yang secara relatifnya bijak, sungai telah dimangsakan dengan serakus-rakus. Itulah suatu episod sedih yang terpaksa diharung oleh makhluk yang bernama sungai dan kini menuntut komitmen saya untuk menyampaikan ceramah, “Peranan Masyarakat Dalam Memulihara Sungai-sungai di Negara Kita”.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Manusia perlu insaf dan belajar daripada sejarah tentang hakikat sungai yang sebenarnya – sebahagian besar manusia pada hari ini memang buta akan fungsi sungai dan hakikat kejadian sungai oleh Allah SWT.

Isi 2 : Masyarakat perlu sedar akan tindakan salah mereka menyebabkan tindak balas sungai yang amat mengerikan – kemarau atau banjir sebagai suatu tindak balas sungai

Isi 3 : Manusia harus bangkit untuk menentang segala pencerobohan dan pencemaran sungai – peranan NGO, PBT, dan kerajaan.

Isi 4 : Institusi pendidikan hendaklah mengutamakan tajuk sungai dalam kebanyakan silibus di sekolah – melahirkan masyarakat yang terdidik dan mesra sungai

Isi 5 : Kerajaan wajib mengangkat martabat sungai setaraf dengan infrastruktur yang lain – menyamai taraf bangunan sejarah, muzium, dan semua aset berharga yang lain – orang ramai sedar bahawa harta negara perlu dijaga dan dipulihara.

Kesimpulan :
Pelbagai inisiatif oleh NGO seperti Greenpeace, Kumpulan pencinta alam, dan rakyat marhaen untuk menyelamatkan sungai, malang sekali semua suara tersebut dilenyapkan oleh kepentingan fulus dan dolar. Kini khazanah alam tersebut semakin nazak dan menuntut komitmen kita untuk memelihara dan memuliharakannya. Sedarlah, akan “Peranan Masyarakat dalam Memulihara Sungai-sungai di Negara Kita”.

4. Program pertukaran pelajar antara negara mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar dan negara yang terlibat. Huraikan faedah-faedah tersebut.

Pendahuluan :
Secara tradisionalnya manusia dipisahkan oleh sempadan geografi dan geopolitik. Sungguhpun demikian, pemisahan bukanlah bererti manusia tidak mempunyai persamaan dan nilai murni yang sama. Cita rasa dan hak untuk dihormati telah wujud secara azali sejak manusia dilahirkan lagi. Lebih-lebih lagi dalam dunia siber seperti sekarang, pemisahan secara tradisional sudah tidak relevan lagi. Oleh itu, manusia harus bertemu dan berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Proses tersebut boleh membuang segala syak wasangka dan sebaliknya dapat membina tamadun alaf baru yang saling menyokong dan melahirkan suasana menang-menang. Tahap perintis untuk mewujudkan persefahaman tersebut adalah melalui program pertukaran pelajar antarabangsa. Tidak syak lagi banyak signifikan di sebalik usaha yang telah dilaksanakan oleh NGO antarabangsa itu.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Dapat memperluas jalinan persefahaman politik, ekonomi, dan sosial – mewujudkan suatu era baharu dalam slogan, “Satu Dunia Satu Komuniti” – mewujudkan kedamaian sejagat dalam alaf baru

Isi 2 : Membuka ruang minda – pendedahan tentang kepelbagaian budaya, etika, dan ilmu pengetahuan – pertukaran maklumat antara negara maju dan negara-negara membangun (peribahasa: jauh berjalan luas pandangan, lama hidup banyak pengalaman)

Isi 3 : Mengurangkan persengketaan yang berpunca daripada salah faham politik dan ideologi – para pelajar bakal menjadi duta kecil yang membawa misi damai dan menjadi bakal pemimpin masa depan yang mesra keamanan

Isi 4 : Mewujudkan satu kesatuan budaya masyarakat majuk – saling memahami dan saling menghormati budaya, adat resam, dan agama – mencetuskan keamanan dengan saling menghormati hak dan piagam masyarakat lain

Isi 5 : Sebagai perintis kepada jalinan persahabatan antara negara – wujud hubungan lebih intim antara negara-negara peserta – boleh mengelak sikap mementingkan diri serta dendam kesumat dalam kalangan pemimpin dunia.

Kesimpulan :
Sesungguhnya, manusia dijadikan daripada satu hubungan benih antara Adam dan Hawa. Amatlah ironi apabila manusia sejak dari zaman pratamadun lagi terus bersengketa hingga ke hari ini. Usaha positif hendaklah digemblengkan agar budaya ‘haiwan’ yang telah sekian lama mempengaruhi minda sebahagian daripada pemimpin besar dunia dapat dihapuskan. Alangkah indahnya, apabila manusia dapat merasai nikmat keamanan yang sejati.

5. Karya kesusasteraan Melayu mampu melahirkan generasi yang mempunyai semangat patriotik di negara ini.
Berikan ulasan anda.

KELANTAN

1. Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang mengambil tindakan yang tidak sesuai. Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani stres.

Pendahuluan :
‘Lulus cemerlang dengan 10 A+’, ‘Pergi Tuisyen’, ‘Masuk Kelas Qiraati atau belajar berenang’, dan ‘Masuk Summer Camp’ adalah antara ungkapan yang sudah basah di mulut para ibu bapa. Sebaliknya, ungkapan yang sama pula sudah menjadi mangli dan alergi kepada anak-anak. Antara anak-anak dan ibu bapa, malah guru juga kadang-kadang sudah tidak sealiran sekalipun berada dalam laras matlamat yang sama. Keinginan yang melampau dan impian tinggi menggunung oleh ibu bapa telah meninggalkan kesan fobia dan trauma dalam kalangan anak-anak. Mujurlah bagi yang berupaya, mereka dapat memenuhi hasrat ibu bapa, sebaliknya kepada yang kurang timbullah pelbagai kesan stres dan kemurungan. Bagi diri saya, isu ini ibarat ditelan mati bapa diluah mati emak kerana hakikatnya semua adalah penting. Oleh itu, saya memerlukan beberapa strategi yang berhemah untuk mengimbangi kedua-duanya.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Bersedia lebih awal – menjadikan agenda belajar mengatasi segala yang lain – cuba menuruti ikon-ikon cemerlang sebagai sumber rujukan

Isi 2 : Bawa berbincang dengan ibu bapa dan guru – jelaskan keupayaan sebenar kepada mereka – dapatkan bimbingan dan motivasi

Isi 3 : Mesti jelas matlamat dan hala tuju – cita-cita hendaklah diukur kepada minat dan kemampuan diri

Isi 4 : Bertemu dengan guru-guru kaunseling – mereka mempunyai kelayakan untuk membuat konsultasi – kemukakan segala masalah yang terbuku di hati

Isi 5 : Banyak berdoa dan bermuhasabah diri – tidak melupai Tuhan yang sentiasa memberikan taufiq dan hidayah-Nya.

Kesimpulan :
Memetik kata-kata dalam pepatah Arab, bahawa setiap penyakit ada ubatnya, jelas menunjukkan kita tidak boleh tenggelam punca dalam menangani sebarang masalah. Kita wajar berlapang dada dan dingin kepala untuk mencari langkah penyelesaian. Kebijaksanaan bukan terletak kepada jumlah A yang dikutip tetapi bijaksana dalam menguruskan diri umpama sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.

2. Ibu bapa merupakan penentu kerjaya anak-anak pada masa hadapan. Ulaskan pernyataan tersebut.

Pendahuluan :
Peribahasa Melayu menyatakan kenal getah batang lihatlah daunnya. Peribahasa tersebut menjelaskan bahawa tingkah laku dan latar belakang ibu bapa akan menentukan hala tuju anak-anak. Baik ibu bapa, justeru baiklah anak-anak. Anak-anak yang terdidik daripada keluarga yang harmoni akan menjadi insan yang berguna dan demikian pula di sebaliknya. Sementara ibu bapa yang mementingkan pelajaran pula akan menentukan bahawa pelajaran bakal mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Dengan yang demikian, saya berpendapat bahawa keluargalah yang menjadi penyumbang utama ke arah kecemerlangan masa depan anak-anak.

Isi 1 : Pertumbuhan minda dan sahsiah anak-anak paling berkait rapat dengan iklim rumah tangga - sikap dan gaya pemikiran anak-anak bermula di rumah – ibu menunjukkan “role model” terbaik kepada anak-anak - tingkah laku positif atau negatif ibu menjadi ikutan anak-anak (peribahasa: bagaimana acuan begitulah kuihnya)

Isi 2 : Keluarga ialah orang yang paling dekat dengan anak-anak - ibu bapa khususnya lebih mengenali peribadi anak-anak – mewujudkan suasana keluarga harmoni di rumah

Isi 3 : Melahirkan zuriat yang sempurna dan seimbang dalam aspek fizikal, mental, rohani dan emosi - asuhan dan belaian yang sempurna menjadi ‘baja’ kepada pertumbuhan sahsiah anak-anak – hidup dalam suasana bermawadah

Isi 4 : Membina sebuah keluarga yang mementingkan akhlak, agama, dan ilmu pengetahuan - anak-anak cenderung untuk menuruti jejak ibu bapa terutama ibu bapa yang memiliki kerjaya yang menarik - ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua sentiasa memberikan motivasi dan menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak yang baru meningkat remaja

Isi 5 : Terhindar daripada sebarang tingkah laku negatif - emosi yang tenteram dan minda yang cerdas menjadi benteng penebat melakukan perbuatan antimoral - ibu bapa mengawal anak-anak daripada bergaul dengan budak-budak nakal - minda yang tidak tercemar oleh tingkah laku negatif mendorong seseorang berfikiran positif

Isi 6 : Menyemaikan bakat dan kebolehan kepada anak-anak - mendominasikan bakat dan kebolehan daripada ibu bapa kepada anak-anak - ibu bapa dan ahli keluarga lebih mengenali bakat dan kecenderungan anak-anak – mendorongi mereka dengan bakat yang positif.

Kesimpulan :
Keluarga pasti menjadi nukleus utama untuk anak-anak. Keluarga merupakan institusi tertua menentukan arah dan hala tuju seseorang. Oleh itu, keluarga yang harmoni pasti menjanakan kejayaan yang cemerlang terhadap anak-anak. Terbentuk hakikat, bagaimana acuan demikianlah kuihnya.

3. Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara. Anda ingin menulis rencana yang menyentuh peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan. Tulis rencana tersebut selengkapnya.
Nota:
Karangan ini dalam bentuk berformat rencana. Pastikan anda mematuhi arahan format.

Pendahuluan :
Sudah acap kali penganjuran tarikan pelancong ke luar negara oleh pelbagai agensi sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan. Penganjuran tersebut turut disokong oleh pihak kerajaan dengan menganjurkan Kempen Tahun Melawat Malaysia. Kini Malaysia mula dikenali di saentero dunia sebagai destinasi pelancongan yang menarik, murah, dan eksotik. Sejajar dengan hasrat negara untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, maka semua pihak di Malaysia patut memainkan peranan aktif masing-masing.

Isi 1 : Penglibatan aktif agensi kerajaan - Kementerian Pelancongan - agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan perlu aktif mempromosikan Malaysia ke peringkat global

Isi 2 : Inisiatif hendaklah turut digerakkan oleh sektor swasta juga - menyokong dan mengambil bahagian dalam program galakan pelancongan di luar negara - membangunkan prasarana pelancongan seperti kemudahan penginapan dan pengangkutan

Isi 3 : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah menjaga dan memperindah kawasan jagaan masing-masing - mengutamakan aspek kebersihan dan keindahan - membangunkan tempat-tempat yang berpotensi menjadi daya tarikan pelancong

Isi 4 : Menyuntik minda masyarakat agar lebih berfikiran terbuka - melihat sektor pelancongan secara positif - menyokong usaha pihak kerajaan dan PBT menjaga alam sekitar - mengamalkan budaya sopan santun, peramah, dan berbudi bahasa

Isi 5 : Penglibatan aktif duta-duta di luar negara - menyampaikan mesej yang jelas tentang Malaysia, masyarakat dan budaya majmuknya

Kesimpulan :
Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, Malaysia amat strategik untuk dikunjungi oleh pelancong-pelancong sama ada dari Timur atau dari Barat. Peluang harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya pada masa ini apabila Malaysia begitu popular kepada pelancong dari Timur Tengah dan Asia Timur jauh. Peluang yang sedia terhidang hendaklah bijak direbut, bak kata peribahasa rezeki jangan ditolak, aral jangan diraih.

4. Akhir-akhir ini beberapa negara di dunia telah mengalami bencana alam. Jelaskan usaha-usaha negara di dunia untuk membantu negara yang dilanda bencana alam.
Nota :
Soalan hampir sama dengan soalan Negeri Sembilan. Sila rujuk.

5. Peribahasa ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’ menggambarkan bahawa nilai sepakat penting dalam kehidupan. Bincangkan manfaat nilai tersebut dalam masyarakat.

MELAKA
1. Sebagai ketua pengawas. Anda dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Persiapan Untuk Memasuki Sekolah Menengah” kepada murid-murid tahun enam di sebuah sekolah. Sediakan teks ceramah itu selengkapnya.

2. Keluarga dianggap sebagai tempat perlindungan untuk ahli-ahlinya berlindung daripada bahaya dan pengaruh persekitaran.
Berikan saranan anda tentang peranan keluarga dalam menjamin keselamatan ahli-ahlinya.

3. Dalam keresahan gejala sosial yang semakin meruncing, institusi keluarga diyakini masih mampu menangani gejala tersebut.
Ulaskan peranan yang dapat dimainkan oleh institusi keluarga untuk membanteras gejala tersebut.

Pendahuluan:
Gejala perbuatan sumbang antara remaja lelaki dan perempuan, ketagihan dadah, kemaruk hiburan, mat rempit (samseng jalanan), dan pelbagai ragam kemacetan remaja lagi sedang terpampang di hadapan mata kita. Pusat-pusat hiburan dan pusat beli-belah telah ‘ditakluki’ oleh golongan yang rosak akhlak terutama sekali pada waktu hujung minggu. Naik jeluak pada fikiran kita apabila melihat aksi remaja yang tidak segan melakukan aksi sumbang di tengah-tengah khalayak ramai itu. Apabila keadaan ini sudah semakin kronik, pelbagai pihak mula menuding jari antara satu sama lain. Masing-masing saling menuduh tentang angkara siapakah yang menyebabkan gejala ini semakin sukar dibendung? Selain itu, tidak kurang pula yang berharap supaya ada pihak yang sudi bertanggungjawab untuk mengatasi krisis ini. Jawapan kepada krisis ini, banyak pihak berpendapat bahawa institusi keluarga masih diyakini memiliki kewibawaan untuk menanganinya.

Isi 1 : Memperkasakan institusi keluarga semula - banyak institusi keluarga yang longgar, goyah, dan bermasalah - pengendali keluarga perlu faham akan fungsi masing-masing dan berusaha menyelamatkan ahli keluarga

Isi 2 : Ibu bapa dan anggota keluarga sering mengambil tahu masalah - perlu lebih banyak berinteraksi dengan anak-anak terutama apabila mereka meningkat remaja

Isi 3 : Menyediakan keperluan asas yang sewajarnya kepada anak-anak - peka akan keperluan asas anak-anak - menunaikan permintaan anak-anak sekadar yang terdaya

Isi 4 : Mengutamakan pakej ilmu dan pendidikan keluarga melebihi agenda lain dalam keluarga - menjaminkan anak-anak menerima pendidikan yang secukupnya sama ada dunia atau akhirat - mendedahkan anak-anak dengan iklim kehidupan yang baik – kunjungan ke masjid, institusi sosial, dan ke pusat-pusat kelimuan seperti perpustakaan dan melawat ke IPT

Isi 5 : Mewujudkan interaksi yang sihat dan mesra dengan jiran tetangga - untuk melahirkan semangat kerjasama dan saling bertanggungjawab terhadap segala masalah terutama yang melibatkan anak-anak remaja.

Kesimpulan :
Kesempurnaan minda dan akhlak dalam kalangan anak-anak bermula di rumah. Oleh yang demikian, untuk melahirkan anak-anak yang baik seharusnya suasana dalam rumah tangga perlu menjadi baik terlebih dahulu. Dalam arus kebejatan sosial yang semakin rencam sekarang, wajarlah institusi keluarga diperkasakan agar menjadi benteng terawal dan terakhir untuk menyelamatkan remaja daripada terus tenggelam dalam gelombang ancaman wabak sosial.

3. Industri batik dan songket negara telah mendapat tempat dalam masyarakat melalui pelbagai usaha yang telah dijalankan dari semasa ke semasa. Huraikan langkah-langkah yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak bagi memajukan industri tersebut.

Pendahuluan :
Warisan etika dan budaya bangsa merupakan aset bernilai yang dapat mengangkat imej sesuatu bangsa itu. Bukan setakat mengangkat tinggi imej bangsa malahan terdapat sumber warisan yang boleh dijadikan produk ekonomi khususnya dalam industri pelancongan. Pada hari ini produk batik sebagai antara produk yang dibanggakan telah mendapat pengiktirafan dunia. Kehalusan seni reka, canting, dan coraknya amat mengagumkan sekali. Selain itu, bergerak seiringan dengan industri batik ialah industri songket turut mendapat sentuhan imej yang cukup membanggakan. Dalam era globalisasi berinspirasi tinggi kini, kedua-dua produk tersebut mampu bersaing di pasaran global sekiranya diberikan sentuhan produk yang kompetatif. Oleh itu, semua pihak harus seiringan menggemblengkan tenaga untuk mengangkat kedua-dua produk tersebut setaraf dengan industri berstatus internasional.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Pengusaha produk batik perlu melipatgandakan pengeluaran – untuk memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa

Isi 2 : Pengusaha juga harus mengutamakan kualiti bahan – fabrik yang halus, warna yang menarik, dan corak yang kontemporari

Isi 3 : Kerajaan (Kementerian Perdagangan dan Perindustrian) hendaklah memperluas bidang industri ke seluruh negara – tidak terhad kepada kawasan tradisional, khususnya di Kelantan dan Terengganu

Isi 4 : Rakyat harus menerima baik pakaian batik – diperagakan sama ada di tempat kerja mahupun dalam majlis rasmi

Isi 5 : Kerajaan (Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa) hendaklah mempromosikan produk batik dan songket di pasaran global

Isi 6 : Peniaga hendaklah menawarkan harga pada kadar yang kompetitif dan mampu milik oleh masyarakat di semua lapisan – pendapat umum yang menyatakan secara relatif harga batik dan songket tempatan terlalu mahal

Kesimpulan :
Imej Malaysia pada hari ini bukan sahaja dikenali sekadar juara masyarakat majmuk semata-mata, malah masyarakat antarabangsa telah mula membuka mata terhadap pelbagai pencapaian negara. Oleh itu, produk yang amat berpotensi ini harus mendapat sokongan padu seluruh rakyat Malaysia. Kita menaruh harapan yang amat tinggi pada suatu masa nanti akan lahir slogan, “Ingat Batik, Ingat Malaysia”.

4. Malaysia terkenal sebagai destinasi pilihan kepada pelajar asing untuk mencari peluang perniagaan berdasarkan kekukuhan asas ekonomi, pelaksanaan pelbagai dasar, dan insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia. Berikan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.

5. Bakat semula jadi tidak mencukupi untuk menghasilkan sastera yang bermutu. Berdasarkan pengalaman anda membaca novel, berikan pendapat anda tentang ciri-ciri yang diperlukan bagi menghasilkan karya yang bermutu.

SABAH
1. Guru merupakan antara insan yang banyak berjasa kepada negara dan jasa mereka wajar diberi penghargaan. Anda ingin menulis esei bertajuk “Cara-cara Menghargai Jasa Guru” untuk dimuatkan dalam buletin khas sempena Perayaan Hari Guru sekolah anda.
Tulis esei tersebut selengkapnya.

Perhatian :
Soalan ini jenis karangan berformat. Pelajar jangan lupa memasukkan tajuk rencana yang sesuai dan nama penulis.

Pendahuluan :
Kalangan bijaksana pernah menukilkan bahawa, matahari dan bulan yang terang-benderang cahayanya pun akan gelap apabila sampai masanya, namun suluhan sinar ilmu daripada para guru akan tetap bercahaya abadi dan selama-lamanya. Kata-kata tersebut menjelaskan bahawa sumbangan guru terhadap muridnya bukan suatu perkara yang boleh dihitung dengan jari, malahan percikan liur basah daripada gurulah yang telah mencipta mutiara kehidupan untuk pelajar-pelajar. Oleh hal yang demikian, saya dengan penuh kesedaran merakamkam penghargaan kepada para guru tentang “Langkah dan Cara-cara Menghargai Jasa Guru”.

Isi-isi penting
Isi 1 : Sentiasa berdoa kepada Allah agar melimpahi guru dengan rahmat dan keberkatan – guru dipanjangi usia dalam kesihatan – bertambah ilmu dan hikmah dengan segala kebijaksanaan – dimurahi rezeki dan selamat di dunia dan di akhirat

Isi 2 : Memetik dan menyunting segala mutiara kata dan tunjuk ajar guru – dijadikan panduan hidup sebagai insan yang berjaya

Isi 3 : Menghormati guru – menghargai jasa mereka sama ada yang telah bersara (mantan guru) atau yang masih mengajar – tunduk merendah diri dan bersopan

Isi 4 : Menziarahi mereka sama ada dalam waktu sihat atau sakit – sebagai tanda hubungan kasih sayang yang tidak pernah putus

Isi 5 : Mempraktikkan ilmu pengetahuan yang diperoleh sama ada untuk diri sendiri mahupun masyarakat – membudayakan ilmu dalam kehidupan – menjadi masyarakat terpelajar

Kesimpulan :
Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW telah berpesan bahawa, “Dua insan yang tidak terputus doa mereka sama ada baik atau buruk ialah kedua-dua ibu ibu dan guru yang pernah mendidik kita. Oleh itu, demi kejayaan di dunia dan akhirat, percayalah kepada nasihat dan tunjuk ajar guru dan taatilah mereka. Sebenar-benarnya insan yang tidak pernah berbohong kepada kita ialah para guru kerana ilmu bukan perkara yang boleh dibohongi.

2. Kemelesetan ekonomi negara telah memberikan kesan kenaikan harga barangan dan peningkatan kadar pengangguran. Bincangkan peranan keluarga dalam menangani kemelesetan ekonomi negara.

3. Penyertaan masyarakat dalam industri kecil dan sederhana seperti kraftangan, perusahaan makanan ringan dan pembuatan batik dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Huraikan faedah-faedah industri kecil dan sederhana kepada masyarakat dan negara.
Pendahuluan :
Sektor perindustrian di Malaysia adalah antara penjana utama kemajuan ekonomi negara. Bidang pembuatan seperti elektronik, pakaian dan automobil turut melonjakkan Malaysia untuk dudk sebaris dengan negara-negara perindustrian baru khususnya di Asia. Kini satu lagi sayap perindustrian yang turut dijanakan ialah sektor industri kecil dan sederhana (IKS) seperti kraftangan, perusahaan makanan ringan dan pembuatan batik turut menyumbang kepada perkapita negara. Walaupun dipelopori oleh pemain-pemain industri tempatan, namun IKS telah menatijahkan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara ini.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Dapat menjanakan pendapatan kepada masyarakat setempat – menyediakan peluang pekerjaan yang secara relatifnya menyokong pertumbuhan ekonomi setempat

Isi 2 : Menghasilkan produk yang memenuhi keperluan domestik dan pasaran luar – industri yang berkaitan dengan pemprosesan makanan

Isi 3 : Memaksimumkan penggunaan barang-barang mentah tempatan – mengeksport barang-barang yang siap diproses – produk-produk IKS turut dieksport ke negara-negara jiran, termasuk di pasaran Timur Tengah

Isi 4 : Melahirkan tenaga pakar dan korporat dalam kalangan masyarakat setempat – sebagai akses untuk membuka peluang kepada anak-anak tempatan menjadi pemain industri yang mampu bersaing di peringkat tempatan dan internasional

Isi 5 : Menyokong pasaran setempat – urus niaga bertambah cergas dengan kemasukan pelbagai jenama baharu (makanan, pakaian, perhiasan, dan barang-barang utiliti)

Kesimpulan :
Berpandukan kata-kata dalam peribahasa, berjagung-jagung dahulu sementara padi masak, IKS merupakan akses yang strategik sebelum sesuatu industri itu mampu bersaing di arena global. Pada hari ini IKS telah menjadi harapan utama kepada penduduk setempat untuk meraih peluang mencari rezeki. Dengan hal yang demikian, pihak kerajaan dan swasta disaran agar lebih proaktif mengenal pasti segala potensi industri untuk dibangunkan oleh IKS.

4. Kerjasama antara negara-negara di dunia dapat membantu meningkatkan pembangunan pendidikan. Jelaskan bentuk-bentuk kerjasama antara negara untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di sesebuah negara.

Pendahuluan :
Manusia pada dasarnya mempunyai impian dan matlamat yang sama iaitu untuk hidup bebas dan berjaya. Sementara itu, setiap orang dituntut agar menghormati hak asasi orang lain. Hak-hak tersebut seperti hak untuk kebebasan, hak memperoleh kasih sayang dan hak untuk mencari ilmu pengetahuan. Walau bagaimanapun, dalam konteks mencari ilmu ada golongan yang masih tersisih dan terperap dalam kepompong buta huruf. Kalangan negara-negara miskin khususnya masih jauh ketinggalan dalam revolusi ilmu. Dalam dunia ilmu sebagai wahana perubahan, semua pihak harus proaktif mengadakan pelbagai kerjasama antara negara agar ilmu pengetahuan dan pembangunan pendidikan dapat dicambahsuburkan di seluruh pelosok alam.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Menjalinkan hubungan diplomatik antara negara – jalinan di bawah payung keamanan dunia tajaan PBB – menyingkirkan perasaan benci dan tamak haloba antara sesama manusia

Isi 2 : Menyumbangkan pelbagai prasarana dan logistik ilmu untuk negara-negara miskin – suatu pelaburan jangka panjang untuk memakmukan dunia

Isi 3 : Mengeksport tenaga pengajar sama ada secara sukarela ataupun kontrak – tenaga pakar dari negara-negara maju boleh berhijrah ke negara-negara miskin dan membangun

Isi 4 : Menjalinkan hubungan talian pintar antara cendekiawan dan ilmuwan – memanfaatkan kemudahan teknologi siber

Isi 5 : Mengadakan program pertukaran tenaga pakar dan tenaga akademik – membolehkan peluasan ilmu pengetahuan berkembang secara global – sifat dengki, busuk hati dan cemburu akan nilai ilmu harus diketepikan.

Isi 6 : Melaksanakan rangkaian institusi berkembar – jalinan kerjasama antara universiti dan kolej dalam usaha memindahkan ilmu dan memandaikan insan.

Kesimpulan:

Ilmu apabila dimanfaatkan pasti menjadi lautan rahmat bak kata Pendeta Za’ba,
Ilmu alat sangat berguna,
Idaman orang yang bijaksana;
Hamparnya luas amat saujana,
Tepinya ajal sempadannya fana.

Oleh itu, agenda peluasan ilmu tidak boleh tersekat dan tidak harus dijadikan milik peribadi orang tertentu. Ilmu perlu disebarluaskan agar manfaatnya dirasai insan sejagat – dunia tanpa sempadan pada alaf sains dan teknologi canggih ini

No comments:

Post a Comment