Tuesday, November 29, 2011

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

P & P TEKNIK MENJAWAB SOALAN SPM – SOALAN 3(b)

JENIS-JENIS AYAT.

OBJEKTIF: Memahami beberapa jenis ayat dalam bahasa Melayu.

LANGKAH 1

• Guru menjelaskan kepada pelajar jenis-jenis ayat yang terdapat dalam bahasa Melayu.
• NOTA: Jenis-jenis ayat ini dapat dibezakan berdasarkan gaya pengucapan atau intonasi suara ketika menuturkan ayat-ayat tersebut.
• Ayat-ayat tersebut ialah ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

LANGKAH 2.

• Guru menjelaskan maksud ayat penyata.
• NOTA: Ayat penyata ialah ayat yang bertujua menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini juga disebut sebagai ayat berita atau ayat keterangan.

• Contoh:
1. Mereka sedang bersarapan di rumah Pak Abu.
2. Pasukan bola sepak sekolah itu menang dalam pertandingan tersebut.
3. Majlis jamuan perpisahan itu akan diadakan pada pukul 4.00 petang hari esok.
4. Kedai di hadapan rumah saya itu terbakar semalam.

LANGKAH 3.

• Guru menjelaskan maksud ayat tanya.
• NOTA: ‘Ayat Tanya’ digunakan bagi tujuan menanyakan sesuatu hal.

Terdapat dua jenis ayat tanya:
1. Ayat tanya dengan kata tanya.
2. Ayat tanya tanpa kata tanya.

• Contoh: Ayat tanya dengan kata tanya.
1. ‘Di manakah’ kakak kamu belajar?
2. ‘Siapakah’ yang bersama-sama dengannya?
3. ‘Mengapakah’ dia tidak melanjutkan pelajaran di dalam negara sahaja?
4. ‘Berapakah’ bilangan yang menyertai rombongan itu?
5. ‘Bagaimanakah’ cara dia menjahit corak tersebut?
6. ‘Apa’ nama tempat yang ditujuinya itu?

• Penjelasan guru: Kata tanya yang terdapat dalam ayat-ayat di atas ialah ‘di mana’, ‘siapa’, ‘mengapa’, ‘berapa’, ‘bagaimana’ dan ‘apa’.

• Contoh: Ayat tanya tanpa kata tanya.
1. Dia belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia?
2. Ibu hendak makan sekarang juga?
3. Ramasamy mengajar subjek bahasa Melayu?
4. Ramasamy mengajar subjek bahasa Melayukah?

LANGKAH 4.

• Guru menjelaskan maksud ayat perintah.
• NOTA: Ayat Perintah
• Ayat ini diucapkan bagi tujuan menimbulkan sesuatu tindakan.

• Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis seperti berikut:

1. Ayat suruhan – Makan dahulu sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.
2. Ayat larangan – Jangan suka menaburkan fitnah.
3. Ayat silaan – Sila serahkan barang kes itu kepada pihak pendakwa.
4. Ayat permintaan – Tolong tutupkan pintu itu sebelum meninggalkan rumah.

LANGKAH 5.

• Guru menjelaskan maksud ayat seruan.
• NOTA: Ayat Seruan.
• Ayat seruan dituturkan dengan nada atau intonasi seruan untuk menyatakan perasaan, sama ada ‘gembira’, ‘marah’, ‘hairan’, ‘sakit’ dan sebagainya.

• Contoh:
1. Tahniah, awak telah berjaya dalam pertandingan tersebut!
2. Amboi, beraninya!
3. Aduh, sakitnya perutku!
4. Wah, cantik sungguh halaman rumah awak!

No comments:

Post a Comment