PULAU PINANG
PEMUDA HARAPAN BANGSA, PEMUDI TIANG NEGARA
1. Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh remaja untuk merealisasikan cabaran tersebut.
Pendahuluan :
Tokoh pendidik dan motivasi terulung negara, Aminudin Baki pernah menyatakan, “Ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kata-kata tersebut benar-benar menyuntik kesedaran kita agar insaf dan bangkit segera daripada lamunan. Sebagai anak nusa yang mempunyai jati diri, kita dibebani amanah untuk menggalas tanggungjawab kepada negara. Pemuda dan pemudi hendaklah segera bangkit dengan persediaan mental dan fizikal supaya dapat menjadi aset yang paling bernilai kepada tanah air tercinta.
Isi 1 : Bersedia menjadi orang muda yang beriman dan bertakwa kepada Allah – ketakwaan menjadikan kita lebih patuh, bersedia dan tinggi motivasi – kita mempunyai garis panduan dan hala tuju yang jelas
Isi 2 : Memperlengkap diri dengan pakej fizikal, mental, emosi dan sahsiah yang baik – memenuhi prakarsa untuk memperlengkap diri sebelum boleh memberikan sumbangan
Isi 3 : Memanfaatkan usia muda untuk berjuang di medan ilmu – memperlengkap diri dengan ilmu yang strategik dengan tuntutan masa – belajar tanpa jemu dan mesti cemerlang
Isi 4 : Mengenali potensi diri – memilih bidang kemahiran dan profesional yang sesuai dengan bakat dan minat – sebagai set lengkap yang digabungjalinkan dengan ilmu bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja
Isi 5 : Insaf akan tanggungjawab menyelamatkan negara – bersemangat waja dan berjiwa patriotik – mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri dan kelompok
Isi 7 : Menjauhkan diri daripada anasir perosak – gejala samseng, dadah, berpelesiran dan sampah masyarakat dan membebankan negara
Kesimpulan :
Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sebatang;
Kecil-kecil ditimang ibu,
Sudah besar ditimang gelombang.
Demikianlah erti sebuah kehidupan yang banyak menuntut perjuangan dan pengorbanan. Oleh itu, kita harus bersedia untuk berhadapan dengan gelombang kehidupan yang kadang-kadang lebih mencabar daripada gelombang di tengah segara. Bukan senang untuk menjadi warga yang berguna kepada bangsa, agama dan negara, sebaliknya kita dituntut untuk melakukan persediaan yang rapi.
2. Kegawatan ekonomi telah menyebabkan harga barang dan kos perkhidmatan meningkat. Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak agar menjadi pengguna yang bijak.
Pendahuluan :
Boleh dipadankan dan diubahsuaikan daripada sampel pendahuluan soalan nombor 2 negeri Perlis.
Isi 1 : Mengamalkan latihan berjimat cermat - amalan yang harus dipupuk sejak kecil - memupuk nilai-nilai murni dalam keluarga seperti menyayangi harta benda, berbelanja secara berhemat, dan menjauhi amalan boros (peribahasa: gunung pun kalau ditarah akan rebah)
Isi 2 : Mengamalkan latihan menabung dan menyimpan - penyimpanan melalui institusi kewangan dan pelaburan saham - berjimat cermat sewaktu senang dengan memperuntukkan lebihan belanja untuk simpanan
Isi 3 : Mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar sentiasa berpada-pada dengan kemampuan yang ada - tidak meminta-minta sesuatu yang berlebih-lebihan - tidak melampau dan meniru cara hidup di luar kemampuan
Isi 4 : Tidak terlalu terpengaruh akan umpan kebendaan dan berbelanja di luar kemampuan - keinginan untuk hidup bergaya melebihi kemampuan - cepat terpengaruh oleh pelbagai iklan dan pujukan atau tawaran jualan
Isi 5 : Tidak terpengaruh akan sikap ingin bersaing dan menunjuk-nunjuk - elakkan sifat meninggi diri mahu bersaing dengan jiran dan tetangga - mendidik anak-anak supaya tidak terikut-ikut akan gaya hidup mewah jiran atau rakan-rakan
Sampel kesimpulan :
Pendidikan daripada peribahasa ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis amatlah tepat diamalkan dalam situasi seperti ini. Janganlah disebabkan sikap yang terlalu berkehendakkan sesuatu sehingga di luar kemampuan, kita terpaksa menanggung beban terutama dalam krisis gawat seperti ini. Janganlah sudah terhantuk baru hendak menengadah. Oleh itu, rancanglah strategi perbelanjaan secara berhemat dalam erti kata hendak kaya berdikit-dikit, hendak papa bertabur urai.
3. Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang menjadi tarikan pelancong sama ada pelancong tempatan atau pun pelancong asing. Huraikan kepentingan-kepentingan industri pelancongan terhadap pembangunan negara.
Pendahuluan :
Apabila berbicara tentang melancong, banyak orang yang akan mengalih pandang sama ada ke negara-negara Barat mahu pun di negara-negara Asia timur jauh seperti Jepun, Korea, dan Taiwan. Sebenarnya dalam ghairah kita melancong ke tempat lain, tanpa disedari ramai pula pelancong asing yang datang ke negara kita. Oleh tu, jelaslah bahawa Malaysia pun tidak kurang hebatnya dengan destinasi pelancongan yang menarik. Peluang tersebut wajar sekali kita manfaatkan demi faedah kepada negara kerana industri pelancongan sangat banyak impaknya kepada kemajuan ekonomi, sosial, dan politik sesebuah negara.
Isi-isi penting :
Isi 1 : Dari segi politik, hubungan antarabangsa dengan negara asing semakin meluas – imej Malaysia akan dihebahkan oleh duta-duta tidak rasmi yang datang melancong
Isi 2 : Dalam aspek ekonomi – banyak sekali peluang ekonomi yang terjana – kemajuan kepada industri pelancongan itu sendiri seperti dalam bidang perhotelan – memajukan industri hiliran berkaitan pelancongan seperti makanan, pakaian, cenderamata, pengangkutan dan sebagainya.
Isi 3 : Dalam aspek sosial – masyarakat setempat memperoleh pelbagai pendedahan daripada interaksi dengan orang asing – aspek budaya – bahasa dan cara berfikir
Isi 4 : Malaysia dapat memaksimumkan potensi negara – sistem pengangkutan yang dibangunkan, kemudahan prasarana, alam sekitar yang terjaga dan semua potensi alam berjaya dimanfaatkan
Isi 5 : Boleh mempertingkatkan tukaran asing – satu lagi peluang dalam bidang ekonomi – minat yang tinggi daripada pelancong-pelancong dari Timur Tengah, Jepun, Korea, dan Eropah boleh meningkatkan kadar tukaran mata wang negara.
Kesimpulan :
Sektor pelancongan sebenarnya telah lama menjadi penjana ekonomi kepada banyak negara di dunia. Walaupun industri pelancongan sering dilabelkan dengan pelbagai implikasi yang negatif, namun imej tersebut boleh diatasi sekiranya rakyat Malaysia sendiri memiliki jati diri yang kuat terutama dalam aspek budaya dan agama. Janganlah disebabkan nilai setitik rosak susu sebelanga.
4. Pergolakan yang berlaku di beberapa buah negara di dunia telah menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat. Bincangkan peranan pemimpin-pemimpin negara di dunia untuk mewujudkan keamanan sejagat.
Pendahuluan :
“Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”. Petikan daripada peribahasa tersebut mendedahkan betapa besar sungguh impak daripada para pemimpin. Elok pemimpin eloklah rakyat, sebaliknya apabila pemimpin rosak maka rakyatlah yang akan menanggung sengsara. Pergolakan dan kempen berdarah yang melanda negara-negara Timur Tengah benar-benar mendedahkan tembelang buruk para pemimpin yang gagal menguruskan negara dan rakyat masing-masing. Demi keamanan sejagat, para pemimpin di seluruh dunia hendaklah insaf bahawa mereka ialah penentu sama ada dunia ini sebagai syurga kehidupan ataupun menjadi pentas neraka yang sengsaranya bertimpa-timpa ibarat lautan yang tidak bertepi.
Isi-isi penting :
Isi 1 : Para pemimpin harus sedar mereka sebenarnya memikul amanah bukan sebagai penyebar fitnah – sedar akan tanggungjawab kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh berjuta-juta manusia berpunca daripada pemimpin – peristiwa Perang Dunia berpunca daripada sikap tidak bertolak ansur antara blok ‘Triple Antante dan Triple Alliance’
Isi 2 : Pemimpin mesti peka akan order (orde) dunia sekarang yang lebih mengutamakan kebijaksanaan daripada kekerasan dan keganasan – kejatuhan beberapa pemimpin di negara-negara Timur Tengah boleh dijadikan iktibar
Isi 3 : Pemimpin-pemimpin blok negara kaya bertanggungjawab menyelamatkan kesengsaraan di negara-negara miskin dan tertindas – membantu atas dasar kemanusiaan bukan atas dasar muslihat politik
Isi 4 : Badan Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hendaklah diberi lebih peranan untuk menghalang penindasan pihak tertentu – kuasa veto kumpulan negara kuasa besar tidak wajar diamalkan
Isi 5 : Wujudkan musyawarah dan baiah pemimpin seluruh dunia bahawa dunia ini sebagai tempat keamanan dan berkasih sayang – elakkan sikap tamak dan gila akan kuasa
Kesimpulan :
Berdasarkan kata-kata daripada Nabi SAW yang bermaksud, “Tingkah laku rakyat adalah bergantung kepada tingkah laku pemimpin” membuktikan bahawa peranan pemimpin adalah amat besar dalam menerajui order dunia. Kebobrokan dunia yang terjadi pada hari ini bukanlah berpunca daripada malapetaka alam mahupun kemiskinan dan sebagainya, tetapi akibat tiada sikap tolak ansur antara pemimpin. Oleh itu, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.
5. Puisi Melayu lama seperti pantun, seloka, dan gurindam semakin dilupakan oleh masyarakat. Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mempopularkan puisi Melayu lama.
PERAK
1. Anda dipilih sebagai tokoh pelajar setelah anda berjaya memperlihatkan kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum, sahsiah, dan kepimpinan. Anda telah dijemput untuk menyampaikan ucapan dalam satu majlis meraikan kejayaan anda itu.
Tulis teks ucapan anda itu selengkapnya.
2. Ibu bapa merupakan dua insan yang banyak berjasa bagi memastikan kejayaan anak-anak dalam kehidupan. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh anak-anak untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka.
3. Dasar 1 Murid 1 Sukan telah dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara untuk memastikan setiap murid melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh oleh mereka apabila melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
Pendahuluan :
“Merealisasikan Penantian Empat Belas Tahun”, “Harimau Malaysia Membaham Garuda”, “Wira Piala AFF Terima Durian Runtuh”. Demikianlah beberapa slogan daripada ribuan sepanduk dan kain rentang yang memaparkan kegembiraan rakyat Malaysia hasil kejayaan memberangsangkan anak-anak muda Malaysia dalam arena sukan di peringkat antarabangsa. Pujian yang sama turut mengiringi apa-apa acara sukan yang lain sekiranya pulang dengan kejayaan. Sesungguhnya, aktiviti sukan di negara ini telah mendapat sambutan yang amat ghairah daripada rakyat jelata sejak dahulu lagi. Walau bagaimanapun, kekalahan demi kekalahan yang menimpa pasukan kebangsaan menyebabkan industri sukan di negara ini kurang mendapat sambutan. Memandangkan sukan juga sebagai satu daripada wahana yang dapat menonjolkan imej negara di persada antarabangsa, kerajaan telah melaksanakan suatu dasar yang pragmatik, iaitu Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S). Memang tidak syak lagi dasar ini akan banyak memberikan impak positif kepada anak-anak muda negara.
Isi- isi penting :
Isi 1 : Melahirkan remaja yang berperawakan sihat, kental, dan cerdas – sukan merupakan saluran terbaik untuk merangsangkan kecergasan mental dan fizikal dengan cara yang teratur – dilaksanakan secara terancang oleh pihak sekolah, kementerian, dan organisasi sukan – memberikan peluang bergiat aktif berdasarkan kemampuan fizikal dan kemahiran individu – tiada lagi individu yang tersisih – menjadi imbangan antara potensi kognitif, psikomotor, dan afektif (perkembangan yang seimbang antara mental, fizikal, dan sikap)
Isi 2 : Mengasah dan mempertajam bakat sejak awal usia lagi – potensi individu perlu digilap ketika masih kecil – bagi yang berbakat boleh disalurkan kepada bidang profesional dan menjadi saluran kerjaya utama (tokoh-tokoh sukan nasional dan profesional) – boleh melahirkan lebih ramai tokoh profesional sukan
Isi 3 : Menyediakan bakat-bakat sukan untuk menggalas tugas negara di peringkat antarabangsa – program yang menjadi medan melahirkan seberapa ramai jagoan sukan negara – tanpa perancangan yang rapi, negara tidak dapat bersaing di peringkat global (kecuali badminton dan boling semua acara sukan yang lain sangat tercorot – bola sepak di tangga ke-142 dalam ranking dunia)
Isi 4 : Melahirkan rakyat yang setia dan patriotik – sumbangan dalam bidang sukan berjaya menaikkan nama negara (Dato Lee Chong Wei, Dato Nicol David, Shalin Zulkifli dll) – turut menjadi landasan mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk – kejayaan dalam Piala AFF hasil dukungan rakyat pelbagai kaum – mempercepat proses transformasi dan hasrat 1 Malaysia
Isi 5 : Menyokong dalam sumbangan ekonomi negara - kegiatan sukan di peringkat antarabangsa memberikan sumbangan besar dalam sektor ekonomi – hadiah lumayan (Tiger Wood, Lionel Messi, David Beckham, Edmund Hilary dll) – berjaya menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa (kemajuan dalam industri pelancongan sukan)
Sampel kesimpulan :
Ibarat peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya haruslah diterapkan dengan sebenar-benarnya agar matlamat melahirkan lebih ramai jaguh sukan tercapai. Sudah terlalu banyak modal yang dibelanjakan, namun kejayaan atlet negara amatlah menyedihkan. Oleh hal yang demikian, dengan dukungan semua pihak insya-Allah hala tuju baharu oleh KPM ini boleh menatijahkan impak baharu kepada dunia sukan untuk sekurang-kurangnya dalam satu dekad akan datang.
4. Masalah kemiskinan dan tahap pendidikan yang rendah masih membelenggu penduduk di beberapa negara di dunia. Huraikan peranan negara-negara di dunia untuk membantu negara-negara tersebut.
Pendahuluan :
Benarkah pendapat sesetengah pihak bahawa kemiskinan itu sebagai rantaian warisan? Jawapan daripada soalan di atas boleh dilihat dalam banyak perspektif, mungkin benar dan mungkin tidak tepat. Apabila dirujuk kepada beberapa buah negara khususnya negara miskin dalam kumpulan Negara-negara Dunia Ketiga, soalan di atas memang ada kebenarannya. Yang anehnya, kemiskinan terus-menerus menjadi duri dalam daging kepada negara-negara berkenaan. Membiarkan negara-negara miskin terus bergelut dengan malapetaka warisan zaman-berzaman itu adalah suatu tindakan yang tidak bijak. Oleh itu, negara-negara di dunia hendaklah komited mengambil inisiatif membantu mengeluarkan negara-negara miskin daripada terus dicengkam krisis kemiskinan.
Isi-isi penting :
Isi 1 : Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui UNESCO hendaklah berusaha mempertingkatkan mutu pelajaran di negara-negara miskin – kebodohan dan kejahilan adalah punca utama gejala kemiskinan – rujukan : semua negara miskin adalah tinggi kadar buta huruf.
Isi 2 : Negara kaya (perindustrian) hendaklah membuat pelaburan di negara-negara miskin – memanfaatkan hasil negara demi rakyat tempatan – boleh mewujudkan peluang pekerjaan
Isi 3 : PBB melalui WHO hendaklah memulihkan tahap kesihatan penduduk di negara-negara miskin – tahap kesihatan yang rendah seperti kolera dan Aids boleh menyekat tahap produktiviti sesebuah negara
Isi 4 : Mempergiat kempen keamanan dunia – usaha daripada masyarakat antarabangsa dan NGO supaya kuasa besar dunia tidak terus-menerus mengeksploitasi negara-negara miskin sebaliknya mengamalkan tanggungjawab moral dan sosial untuk membantu sesama insan sejagat
Isi 5 : Bantuan segera (makanan, ubat-ubatan, pakaian, dan tempat berlindung) kepada negara-negara yang ditimpa malapetaka (situasi yang sedang melanda Somalia yang dilanda kemarau dan Thailand yang dilanda banjir besar)
Isi 6 : Mempergiatkan misi keamanan dengan kempen berdamai – mengelakkan pegaduhan kaum dan etnik yang menjadi punca kemiskinan di beberapa buah negara ( Somalia, Sudan, dan Burundi )
Kesimpulan :
Sesungguhnya, hidup ibarat roda, ada masa di atas dan ada masa di bawah. Demikianlah dengan nasib dan habuan yang menimpa manusia. Keadaan pasti menjadi lebih dahsyat apabila manusia sendiri yang mengambil peluang menangguk di air keruh terhadap keadaan yang genting. Kemelaratan di negara-negara miskin tidak sepatutnya dijadikan peluang untuk menahan lukah di pergentingan sebaliknya, kita dituntut membantu mereka yang malang.
5. Minat membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat negara ini semakin berkurangan. Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang membaca karya sastera.
Di mana-mana sudut atau simpang jalan kelihatan anak muda yang tersandang dengan gitar di bahunya. Mereka menyanyi dan mendendangkan lagu-lagu ‘top hit’ yang disiarkan melalui hot FM. Dalam situasi yang lain pula, di atas gelegar buluh dan di hujung beranda golongan dewasa sedang asyik dengan lagur-lagu dalam slot Masihkah Kau Ingat, terbitan Klasik Nasional. Sementara di kaca televisyen terpampang anak-anak muda sedang melonjak-lonjak memuja versi muzik kontemporari. Begitulah senario biasa yang mendedahkan bahawa manusia tidak boleh lari daripada menikmati bingkisan seni dan hiburan. Ironinya, apabila mereka diajak untuk menghayati sastera lantas mereka enggan. Sama ada disedari atau tidak, sasteralah yang menjadi medium melahirkan semua produk seni seperti itu. Sastera merupakan unsur induk untuk mempertajam minda dan bahasa dalam mengimpakkan kesan seni dan lagu yang sungguh merdu melodinya. Jikalau demikianlah keadaannya, usaha positif hendaklah diambil untuk menyuburkan minat membaca karya-karya sastera semula dalam kalangan masyarakat.
Memandangkan sikap yang tidak konsisten antara minat terhadap hiburan dengan penolakan terhadap sumber induknya, pemupukan semula untuk menghayati produk-produk sastera harus dihidupkan kembali. Bagi mengembalikan sentimen menghargai idea-idea sastera, masyarakat tidak harus dididik dengan sikap membeza-bezakan semua bidang ilmu. Masyarakat harus berfikiran positif dan bersedia menerima hakikat bahawa sastera juga menjadi input untuk membangunkan perwatakan mereka. Selama ini seolah-olah wujud suatu penyisihan dan pemisahan antara golongan seni dan sastera daripada golongan yang kononnya berperwatakan saintifik. Sebaliknya dalam situasi yang lain golongan saintifik dan sastera mampu duduk berjam-jam di sisi radio untuk menikmati lagu atau menonton drama dalam siri Samarinda. Oleh itu, benarkah sastera tidak diperlukan dalam santapan rohani manusia?
Polemik yang berpanjangan tentang kerelevanan antara subjek sastera dan sains hendaklah dihentikan serta-merta. Langkah kerajaan memasukkan semula KOMSAS dalam pengajaran bahasa Melayu ialah suatu langkah praktikal agar tidak wujud lagi polemik yang sebenarya merugikan budaya bangsa itu. Dalam situasi berpolemik tanpa disedari pelbagai lagu dan filem import mencurah masuk kerana menerima permintaan yang tinggi. Apakah rasional kita memomok-momokkan bahawa sastera sebagai unsur khayal tetapi dalam masa yang sama kita kecanduan dengan pelbagai produk seni yang diimport? Inilah sikap talam dua muka dan telunjuk lurus kelengkeng berkait yang banyak menimbulkan kesan negatif terhadap industri seni dan sastera negara.
Asas terpentng untuk mengembalikan budaya bangsa adalah dengan menghidupkan semula citra bangsa yang berakarumbikan kesenian dan kesusasteraan. Bahan-bahan sastera lama yang sudah hampir luput daripada persada dunia moden hendaklah dihidupkan kembali. Usaha-usaha untuk mementaskan teater klasik seperti Puteri Gunung Ledang dan Naga Tasik Chini semula harus mendapat sokongan semua pihak. Sungguhpun demikian, usaha seumpama itu janganlah membelakangi nilai-nilai agama yang tidak cocok dengan unsur-unsur tahyul, khurafat, dan perkara hukum. Pengaruh yang melampau daripada cerita-cerita hantu dan seram tidak akan mengubah minda dan sikap masyarakat. Sebaliknya, bentuklah insan yang berjiwa kukuh kerana buah yang elok terbit daripada tandan yang kukuh.
Kenyataan bahawa unsur-unsur klasik dan tradisi sudah tidak sealiran dengan pemikiran generasi sekarang masih boleh dipertikai. Sekiranya unsur-unsur klasik sudah terbabas jauh daripda gaya hidup masyarakat sekarang, mengapakah filem-filem klasik Cina masih mampu mengikat ‘rating’ penonton yang begitu besar? Hal demikian adalah kerana kebijaksanaan produser filem Cina memanipulasikan semua tradisi dan budaya silam dengan sedikit pengubahsuaian yang sesuai dengan generasi sekarang untuk dipertontonkan semula. Hal yang sama turut berlaku kepada filem Malim Kundang dan Bawang Puteh Bawang Merah yang turut mendapat rating penonton tertinggi. Akhirnya flem-filem tersebut bukan sahaja laris dalam pasaran tempatan malah mampu dieksport ke pasaran global. Persoalan sekarang, mengapakah dalam kalangan masyarakat kita tidak sudah-sudah dengan polemik sastera sebagai punca khayalan? Tepuklah dada bertanyakan minda.
Lapangan kesusasteraan merupakan bidang yang terlalu luas cakupannya. Bidang tersebut bukan terhad kepada versi novel, cerpen, drama, filem, dan lagu sahaja, malahan aspek berpakaian, gaya hidup dan cara berfikir turut menerima sentuhan. Pada hari ini, akibat landaan ‘ombak besar’ pengaruh Barat, kita seolah-olah lupa akan akar asal usul budaya sendiri. Gaya hidup kebaratan mula menular dalam semua bidang sama ada keilmuan atau nilai-nilai murni. Untuk menebatkan pengaruh tersebut daripada terus menular, unsur-unsur keindahan dalam bahasa dan sastera tempatan wajarlah diberikan nafas semula. Antaranya penggunaan bahasa yang indah dan bersopan santun hendaklah dipelopori bersungguh-sungguh. Pendek kata semua unsur positif yang pernah diwarisi daripada generasi terdahulu hendaklah dipupuk dan diamalkan semula. Dalam konteks ini tentulah versi-versi sastera yang layak perlu diketengahkan.
Ungkapan, budaya cerminan bangsa merupakan suatu asas yang meletakkan budaya dan tradisi tetap unggul untuk kita mengenali sesuatu bangsa itu. Dengan hal yang demikian, kita perlulah berpegang kuat kepada budaya sendiri. Apabila budaya sendiri diberikan nafas baharu, justeru unsur-unsur sastera yang menjadi medium budaya pun akan subur semula
No comments:
Post a Comment