Tuesday, November 29, 2011

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

AYAT PASIF.

OBJEKTIF: Pelajar boleh memahami bentuk ayat pasif.

LANGKAH 1

Guru menerangkan bentuk ayat pasif.

AYAT PASIF:

NOTA: Dalam ayat pasif, kata kerjanya menggunakan kata kerja pasif yang menggunakan imbuhan di..., teR-..., beR-..., atau ke-...an.

i. Ayat pasif: Penggunaan imbuhan ‘di-... oleh’:

CONTOH AYAT:

a. Pesta itu ‘dianjurkan oleh’ Majlis Daerah Tangkak.
b. Baju merah itu ‘dijahit oleh’ banduan yang tinggal di penjara Kajang.

ii. Ayat pasif menggunakan imbuhan ter-...

a. Pakaian kotor yang berlonggok di dalam bilik itu ‘terbasuh oleh’ kakak Amir.
b. Perkara itu sudah ‘termaktub’ dalam Perlembagaan Negara Malaysia.

iii. Ayat pasif menggunakan imbuhan ber-...,

a. Baju sekolah saya sudah ‘berbasuh’.
b. Kain tudung itu belum ‘berpakai’.

iv. Ayat pasif menggunakan imbuhan ke-...-an,

a. Kami ‘kehausan’ ketika menjalani latihan merentas desa petang kelmarin.
b. Mangsa banjir di pusat pemindahan itu ‘kelaparan’ kerana lewat menerima bekalan makanan.

LANGKAH 2.

Guru meminta pelajar menyenaraikan kata kerja pasif yang menggunakan , ‘di..., teR-..., beR-..., atau ke-...an.

NOTA TAMBAHAN: Ayat-ayat pasif dengan kata kerja di-…, digunakan hanya dengan frasa nama objek orang ketiga.

LANGKAH 3.

Guru menerangkan penggunaan kata kerja pasif:

A. AYAT PASIF DENGAN KATA GANTI NAMA DIRI ORANG PERTAMA

Ayat pasif kata ganti nama diri orang pertama, ganti nama diri diletakkan di hadapan kata kerja dasar.

Contohnya ‘saya’, ‘aku’, ‘hamba’, ‘patik’, ‘kami’, ‘kita’, ‘ku’.

a) Kerja-kerja itu sudah ‘saya laksanakan’ petang semalam.
b) Minuman itu masih belum ‘aku cubai’ lagi.
c) Masakan itu belum ‘kurasai’ lagi.

B. AYAT PASIF DENGAN KATA GANTI NAMA DIRI ORANG KEDUA.

Kata diri seperti ‘engkau’, ‘awak’, ‘anda’, ‘kamu’ dan ‘kau’, tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif ‘di-... .’ atau ‘di- ... oleh’.

Contoh sebagaimana dalam ayat-ayat yang berikut:

a. Bayaran sewa itu perlu 'engkau' jelaskan secara beransur-ansur dalam satu minggu.
b. Segala tugasan itu perlu' kau'siapkan dengan secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment