Sunday, November 13, 2011

Bahasa Melayu: Soalan dan Cadangan Jawapan Karangan Percubaan Negeri Sembilan dan Terengganu

NEGERI SEMBILAN

1. Remaja hari ini kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Huraikan punca-punca berlakunya gejala ini.

Pendahuluan :
Peribahasa pernah menyatakan, bagaimana rentak gendang begitulah tarinya. Berdasarkan petikan peribahasa tersebut, barangkali sangat tepat untuk kita mengasosiasikan gerak laku sesebuah masyarakat dengan gelombang dan trend semasa masyarakat. Menyalahkan remaja yang tidak mahu berjinak-jinak dengan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong adalah umpama meludah ke langit menimpa batang hidung sendiri. Memang benar remaja hari ini tidak berminat dengan aktiviti seumpama itu akibat didalangi oleh pelbagai faktor yang menjadi latar kehidupan masyarakat masa kini.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Masyarakat kini kurang mengamalkan kerja-kerja kemasyarakatan seperti bergotong-royong – masyarakat sibuk dengan urusan sendiri – situasi negatif seperti itu turut mempengaruhi sikap dan minda remaja

Isi 2 : Hubungan yang kadang-kadang agak renggang antara golongan dewasa dan remaja – kedua-dua pihak lebih senang membawa haluan masing-masing – remaja tidak berpeluang untuk bersama-sama dalam aktiviti sosial golongan dewasa

Isi 3 : Bebanan berat yang terpaksa dipikul oleh remaja – bebanan terhadap pelajaran (menyiapkan tugasan sekolah, menghadiri kelas tuisyen dan kelas tambahan) – masa untuk remaja hari ini terlalu eksklusif

Isi 4 : Pengaruh permodenan dan teknologi – remaja terlalu terikat dengan budaya ICT, media elektronik, dan hiburan – menganggap aktiviti kemasyarakatan sebagai tidak relevan dan tidak ekonomik

Isi 5 : Kesan daripada budaya kuning – remaja lebih gemar berpelesiran, bergaul bebas, kecanduan hiburan dan merempit (samseng jalanan) – kesan daripada runtuhnya nilai-nilai murni dalam masyarakat – remaja tidak terdidik dengan kehidupan yang mementingkan sikap saling menyokong

Kesimpulan :
Merujuk kepada peribahasa arus di muara dibentuk oleh alur di hulu, maka ternyatalah bahawa segala bentuk tingkah laku remaja amat berkait rapat dengan acuan kehidupan semasa mereka. Keengganan mereka melakukan aktiviti yang berfaedah berkait rapat dengan asuhan yang diterima oleh mereka. Kini tibalah masanya semua pihak menyedari bahawa segala yang tersasar di hujung jalan perlu balik ke pangkal jalan. Kegiatan seperti bergotong-royong hendaklah disuburkan semula dalam kalangan remaja agar mereka dapat merasai roh dan nilai insaniahnya secara tersirat.

2. Anda akan menyertai pertandingan pidato 1 Malaysia peringkat daerah. Tajuk pidato yang anda pilih ialah ‘Peranan Masyarakat untuk Menangani Gejala sosial dalam kalangan Remaja’. Sediakan teks pidato anda selengkapnya.

Kata alu-aluan :
Sediakan kata alu-aluan yang sesuai dengan konteks pidato.

Pendahuluan :
Ibarat peribahasa, datang bersambut, kata bersulam, dan pergi bersalam, justeru saya memulakan kalam pidato ini dengan versi pendefinisian. ‘Peranan Masyarakat untuk Menangani Gejala sosial dalam kalangan Remaja’ boleh saya definisikan sebagai gemblengan atau usaha bersepadu masyarakat dalam setiap peringkat untuk mendepani masalah dan keruntuhan akhlak dalam kalangan anak-anak muda belia yang semakin kronik. Apabila disimpulkan kembali, jelaslah bahawa masyarakat merupakan lokomotif utama untuk menggerakkan kekuatan dalam menghadapi segala kepincangan yang ditimbulkan oleh golongan remaja.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Masyarakat hendaklah menjadi mata dan telinga kepada setiap gerak geri remaja – menjadi masyarakat prihatin, proaktif dan penyayang

Isi 2 : Menjadi masyarakat yang saling bersatu padu, bekerjasama, aman dan harmoni – meletakkan kepentingan komuniti sama penting dengan kepentingan peribadi

Isi 3 : Menjadi masyarakat yang bijak dan berpandangan jauh – mengutamakan masa depan remaja – memandu remaja ke jalan yang benar – remaja sebagai pewaris generasi

Isi 4 : Mengembalikan suasana kehidupan yang sentiasa menjaga tepi kain orang – sentiasa peka akan masalah jiran dan masyarakat umum (peribahasa: cubit paha kanan paha kiri pun sakit juga)

Isi 5 : Menubuhkan badan-badan sukarela dan NGO – sebagai organisasi yang menyelaraskan semua kegiatan masyarakat – menjalankan aktiviti seperti pertemuan ramah mesra, gotong-royong dan aktiviti ziarah

Kesimpulan :
Meminjamkan kata-kata ‘terdidik remaja sejahteralah negara’ justeru masyarakat tidak boleh berpeluk tubuh dan bersikap sinis terhadap sebarang kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Masyarakat yang beku, jumud dan tidak prihatin sebenarnya telah menyediakan suatu jurang untuk menjerumuskan remaja. Masyarakat yang dinamik sentiasa berpegang kepada kata-kata, “Pemuda harapan bangsa. Pemudi tiang negara”.

3. Pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan permainan tradisional semakin dipinggirkan. Sebagai remaja yang berwawasan, berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mempopularkan permainan tradisional di Malaysia.

4. Bencana alam yang berlaku pada hari ini semakin mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa. Huraikan peranan yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membantu negara yang terbabit dalam masalah ini.

Sampel Pendahuluan :
Hukum alam merupakan fenomena yang sukar ditandingi oleh kudrat manusia. Bencana seperti ribut taufan, tanah runtuh, gempa bumi, tsunami, ribut salji, dan sebagainya bukanlah padan saingannya dengan tenaga manusia. Selain fenomena alam, kekacauan seperti peperangan turut membawa musibah dan kesengsaraan kepada manusia. Penderitaan akibat kemusnahan yang tidak tertanggung itu sentiasa menggamit perasaan terharu kepada insan yang prihatin untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan. Dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri nilai kemanusiaan sudah lama terbentuk untuk melakukan pelbagai sumbangan kepada pihak yang ditimpa musibah. Keperihatinan yang sama turut dikongsikan oleh masyarakat antarabangsa dengan menghulurkan pelbagai misi bantuan kemanusiaan.

Isi 1 : Melaksanakan tanggungjawab sebagai insan yang prihatin - kita hendaklah prihatin akan nasib malang yang ditanggung oleh insan yang lain - sumbangan yang diberikan seolah-olah kita turut merasakan keperitan yang ditanggung oleh mereka - segala bantuan dan sokongan akan melahirkan semangat setia kawan dalam kalangan warga dunia

Isi 2 : Menyahut seruan daripada badan dunia, iaitu PBB dan NGO internasional - sebagai negara yang bergabung di bawah badan induk dunia perlu saling membantu - turut serta bersama-sama agensi dan NGO seluruh dunia memberikan bantuan - melaksanakan tugas kemanusiaan tanpa dibatasi agama, bangsa, adat, dan budaya

Isi 3 : Melahirkan perasaan bersyukur dalam kalangan rakyat Malaysia - rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana bebas daripada malapetaka dan bencana yang besar-besar - menunjukkan bukti kesyukuran dengan membantu pihak yang memerlukan bantuan

Isi 4 : Memberikan pendedahan kepada sukarelawan dan pasukan penyelamat Malaysia – membina kekuatan minda dan kecekapan untuk membantu dan menyelamat dalam sesuatu malapetaka besar – menghantar sukarelawan atas kadar segera

Isi 5 : Menyalurkan bantuan keperluan asas (makanan, pakaian, khemah, dan ubat-ubatan) dengan segera – langkah darurat untuk menyelamatkan nyawa mangsa

Isi 6 : Mengadakan konvensyen antarabangsa tentang malapetaka alam – mewujudkan resolusi mengurangkan kerenah birokrasi politik terhadap misi bantuan kemanusiaan antrabangsa (perlu wujud gabungan merentas sempadan politik seperti pertubuhan Palang Merah Antarabangsa)

Kesimpulan :
Peribahasa yang menyatakan, geruh tidak berbunyi dan malang tidak berbau menunjukkan bahawa bencana dan malapetaka tidak pernah memilih tempat, masa, dan mangsa. Bagi yang bernasib baik perlulah bersyukur. Malahan mereka wajar membantu sesama manusia yang ditimpa malang. Segala bantuan dan sokongan tersebut pasti diganjari Allah dengan pahala yang berlimpah.

5. Anda telah membaca sebuah novel yang mengandungi banyak nilai murni dan pengajaran. Berdasarkan novel tersebut, jelaskan nilai-nilai yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita.

TERENGGANU

1. Kejayaan seseorang bermula daripada impian dan cita-cita. Sebagai remaja yang berwawasan, jelaskan usaha-usaha yang anda lakukan dalam memastikan impian tersebut menjadi kenyataan.

(Soalan ini saya gantikan dengan sampel jawapan yang sudah ada dalam simpanan saya yang bentuknya lebih kurang sama. Sila ambil perhatian.)

Anda telah diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu. Anda ingin menyampaikan ucapan penghargaan kepada guru-guru anda seterusnya memberikan motivasi kepada calon-calon yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.

Tulis teks ucapan anda selengkapnya.
Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang dikasihi sekalian.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,
Terlebih dahulu saya dengan segala besar hati, merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana diberi peluang untuk menyampaikan ucapan dan berkongsi idea dalam majlis yang sudah pastinya memberikan impaks yang positif kepada semua yang hadir. Sesungguhnya saya amat berbesar hati dan ingin menyampaikan penghargaan kepada pihak sekolah yang telah bersusah payah mengadakan majlis meraikan kejayaan saya pada hari ini. Terima kasih daun keladi. Pada kesempatan yang amat berharga ini, saya ingin berkongsi idea untuk menyampaikan sebuah ucapan yang bertajuk, “Ciri-ciri Pelajar Yang Cemerlang.”

Guru-guru yang saya hormati,
Terlebih dahulu sebelum meneroka lebih jauh, izinkan saya memberikan penghargaan istimewa pada para pendidik yang telah membimbing saya untuk menggapai kejayaan. Teringat saya kepada kata-kata orang bijaksana yang menyebut, guru ibarat lilin, membakar diri demi menerangi orang lain. Pada hari ini kata-kata bijaksana itu benar-benar menepati sasarannya, apabila anak didik tuan-tuan dan puan-puan yang sedang berdiri di sini adalah hasil jelmaan daripada kerja keras anda. Kejayaan saya bukan datang secara bergolek tanpa kerahan keringat daripada para guru sekalian. Saya menangis dan saya bergembira kerana kejayaan ini dan saya yakin siapalah saya di sini tanpa anda? Terima kasih cikgu!

Rakan-rakan sekalian,
Ciri-ciri pelajar cemerlang bermaksud keterampilan diri dalam aspek peribadi, kejayaan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum serta dapat membina interaksi sosial yang sihat dan berhemah tinggi. Peribahasa Melayu ada menyatakan, rajin dan usaha tangga kejayaan Selain itu, para pujangga pernah menyatakan, “Hidup tanpa cita-cita, ibarat sepohon rendang yang tidak berbuah.” Kedua-dua ungkapan peribahasa dan kata pujangga tersebut memperihalkan seseorang yang tidak mempunyai matlamat dan cita-cita adalah sia-sia sahaja dalam hidupnya. Pada masa ini, cita-cita kita yang sebenarnya adalah untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup khususnya dalam bidang akademik. Cita-cita yang bertapak kukuh dalam sanubari tidak akan menjadi kenyataan tanpa disertai usaha yang gigih. Kegigihan dan kesabaran semasa belajar menjadi indikator utama kepada setiap orang yang berjaya. Barangkali kita boleh berkongsi kebanggaan apabila melihat seseorang itu berjaya dalam peperiksaan. Sebaliknya pula, tidak ramai yang sanggup berkongsi kepenatan mengerah keringat dan memerah otak ketika belajar. Hakikatnya, saya ingin memberikan nasihat apabila anda mengingini kejayaan maka bersedialah dengan mental dan fizikal yang digarapkan dengan ketabahan. Sesungguhnya, tiada pil atau mukjizat yang boleh menjadi jalan pintas untuk berjaya,

Saudara/i,
Untuk menjadi pelajar yang cemerlang juga kita hendaklah memiliki ciri-ciri sahsiah yang boleh dikagumi. Sahsiah yang baik akan menunjukkan akhlak yang terpuji. Bak kata filosof Imam Al Ghazali, “Mencantikkan wajah bersuluhlah pada cermin, mencantikkan akhlak bercerminlah pada wajah.” Peribadi yang baik menjadi modal tanpa wang membolehkan kita disenangi dan diterima baik oleh sesiapa sahaja. Dengan elok perangai kita mudah memperoleh rakan, kita mudah berkomunikasi dengan sesiapa jua lantaran penampilan diri kita yang menyenangkan semua orang. Para akan berbangga apabila memiliki pelajar yang berperibadi mulia. Mereka pasti berlapang dada untuk mengajar kita ilmu dan sentiasa berdoa agar kita berjaya.

Para intelek sentiasa mengingatkan diri kita tentang suatu falsafah yang berbunyi, “Apabila kita gagal merancang membuktikan kita merancang untuk gagal.” Oleh itu, setiap kejayaan tidak akan datang bak peribahasa yang bulat datang menggolek dan yang pipih datang melayang. Setiap kejayaan yang ingin dikecapi perlu disertai dengan perancangan yang teliti dan perlu dilaksanakan dengan penuh iltizam. Kita hendaklah menjadi manusia yang berdisiplin dan bersistematik. Kita perlu kepada rutin yang teratur seperti masa makan, berehat, tidur, dan jadual belajar yang teratur. Sebagai pelajar, kita sedang memikul tugas berat untuk memperlengkap diri menjadi insan yang berilmu. Jadi pada kesempatan ini saya berseru kepada rakan-rakan agar bijak merancang supaya masa depan kita tidak dibayangi awan kegelapan atau kemunduran.

Saudara/i,
Bakal seseorang pelajar yang cemerlang semestinya pelajar yang tahu tempat dan latar asal jadinya. Latar kehidupan kita sebagai pelajar ialah sekolah dan rumah. Di sekolah pembimbing kita ialah para guru, manakala di rumah pula yang membimbing dan membentuk kita ialah ibu bapa dan kaum keluarga. Kepada merekalah kita bernaung dan kepada merekalah kita memperoleh ilmu sebagai petunjuk dan arah tuju. Hubungan baik dan sikap patuh serta merendah diri khususnya kepada ibu bapa dan para guru adalah suatu perkara yang wajib kita lakukan. Janganlah kita bertindak membelakangi mereka dalam setiap tindakan dan jauh sekali kita menjadi biadab terhadap mereka. Sentiasalah bermanis muka dan bersangka baik terhadap guru-guru kerana percikan liur basah mereka bakal menjadikan mutiara yang bernilai kepada kita. Sementara itu keikhlasan dan doa mereka bakal memberikan restu dan makbul daripada Allah. Ingatlah, tidak jauh seluang melaut akhirnya balik juga ke muara.

Rakan-rakan yang dikasihi,
Dalam arena pendidikan pula, pelajar cemerlang sering diukur berasaskan pencapaian akademik. Pencapaian akademik yang cemerlang sentiasa menjadi pengukur untuk menilai kekuatan seseorang pelajar itu. Walau bagaimanapun, akademik bukanlah segala-galanya yang boleh menentukan pelajar itu unggul. Adik kembar kepada akademik, iaitu kokurikulum juga menjadi sumber terpenting yang perlu dikuasai pelajar yang cemerlang. Hal tersebut mampu memberikan imbangan antara keterampilan mental, jasmani, rohani dan emosi. Penglibatan aktif dalam bidang kokurikulum membolehkan seseorang pelajar itu menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi. Pelajar sentiasa terbuka minda dan sikapnya serta bijak menyelesaikan masalah. Pelajar juga dapat mempelajari selok-belok kepimpinan apabila terlibat secara aktif dalam bidang kokurikulum.

Hadirin sekalian,
Sebelum mengundurkan diri, terimalah serangkap pantun daripada saya,

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Sekian, selamat maju jaya. Terima kasih.

2. Pelbagai masalah yang timbul dalam keluarga seperti masalah kewangan, masalah anak-anak dan masalah yang melibatkan ibu bapa itu sendiri. Keadaan ini menimbulkan stres kepada setiap ahli keluarga. Huraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga dalam menghadapi tekanan atau stres ke arah melahirkan keluarga yang bahagia.

Pendahuluan :
Tragedi-tragedi pelik seperti bapa mencurah asid ke muka anak, suami membunuh isteri di tempat tidur, anak membunuh ahli keluarga dan pelbagai kerenah dalam keluarga bagaikan menjadi suatu fenomena dalam masyarakat moden. Masyarakat yang kononnya semakin bijak telah mula tenggelam punca dan sanggup melakukan tindakan ganas di luar batasan. Pelbagai krisis yang melanda keluarga telah menjadi anasir peledak sehingga keharmonian dalam rumah tangga bertukar menjadi neraka kehidupan. Pelbagai tekanan emosi mula melanda keluarga sehingga boleh menimbulkan kesan kemurungan, halunisasi, dan gila. Memandangkan fenomena ini boleh mengancam kesejahteraan institusi tertua di dunia itu, pelbagai langkah menanganinya harus diambil dengan seberapa segera.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi sebelum anak-anak mengharungi alam berumah tangga –

Isi 2 : Ibu bapa hendaklah sedar bahawa tanggungjawab membahagiakan rumah tangga ialah suatu amanah dan ibadah – menjadi motivasi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera

Isi 3 : Memperlengkap ahli keluarga dengan imu pengetahuan dunia dan akhirat – ilmu dunia sebagai alat untuk kesenangan hidup sementara ilmu agama sebagai pengimbang dan kedamaian batiniah

Isi 4 : Menjalinkan perasaan mesra dan seronok sesama ahli keluarga – mengetepikan perkara-perkara negatif yang boleh mencetuskan perasaan marah – menikmati kehidupan berkeluarga ibarat syurga

Isi 5 : Memilih pihak ketiga sebagai pendamai – langkah penyelesaian terakhir sekiranya masalah terlalu rumit – semua pihak hendaklan mengetepikan ego masing-masing – menerima hakikat bahawa bukan semua masalah harus diselesaikan bersendirian
Kesimpulan :
Fenomena semasa yang semakin mencabar secara tidak langsung boleh mempengaruhi mod dan emosi seseorang. Oleh itu, jikalau darah sudah mengalir ke mata, justeru padahnya terlalu besar. Jangan dibiarkan dendam yang membara, sebaliknya setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan hemah dan pemikiran yang positif. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan ibarat, hendak seribu daya tidak mahu seribu helah.

3. Kebersihan tempat awam dan kawasan sekitar kerap kali menimbulkan masalah dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak. Huraikan peranan pelbagai pihak dalam menangani masalah tersebut.

Pendahuluan :
Dalam perjuangannya mencari kesejahteraan alam semula jadi yang hakiki, nama seorang tokoh dengan tiba-tiba melonjak naik. Setiap pencinta alam sudah pasti mengenali Karam Walia. Beliau begitu tega memperjuangkan kebersihan alam sekitar di Malaysia melalui wadah TV3. Sama ada dipuji mahupun dikeji misi memperjuangkan alam sekitar yang lestari terus dipertahankan. Sama ada yang didedahkan oleh saudara Karam Singh mahu pun oleh pihak-pihak yang lain, hakikat bahawa alam sekitar di Malaysia semakin tercemar tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Pelbagai isu dan aduan sering terpampang sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Menyedari kepentingan alam kepada kesejahteraan insan, semua pihak hendaklah bersikap positif untuk menangani masalah tersebut.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Kerajaan hendaklah mempunyai perancangan yang jelas tentang hala tuju alam sekitar di Malaysia – melaksanakan suatu program yang rakyat benar-benar faham akan kelestarian alam sekitar

Isi 2 : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memiliki suatu dasar yang tegas dalam menangani isu alam sekitar – penjagaan yang rapi, pemantauan yang kerap, dan tindakan undang-undang yang tegas dan adil

Isi 3 : Pihak sekolah dan institusi pendidikan menyediakan kurikulum yang langkap tengan silibus alam sekitar – usaha memperkasakan subjek alam dan manusia di sekolah dan menawarkan kursus alam sekitar yang wajib diambil oleh pelajar di IPT

Isi 4 : Orang awam hendaklah mempunyai kesedaran sivik terhadap langkah menjaga alam sekitar – sikap lepas tangan dan curi tulang membiarkan alam sekitar dijaga oleh pihak lain hendaklah dikikis

Isi 5 : Ibu bapa mendidik anak-anak agar mesra alam sekitar dan kebersihan – pendidikan bermula di rumah

Kesimpulan :
Kemusnahan alam sekitar sebenarnya suatu malapetaka yang pasti ditanggung oleh manusia. Secara sedar atau tidak sedar, perbuatan mencemarkan alam sekitar adalah mengundang bencana kepada kehidupan manusia. Oleh itu, tiada sesiapa yang boleh menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya semua orang dituntut supaya memberikan lebih komitmen terhadap keselamatan persekitaran kita.

4. Perkembangan industri kecil dan sederhana (IKS) dan Produk Halal Malaysia dapat membantu menjanakan pendapatan rakyat serta memastikan industri tersebut ke peringkat antarabangsa. Sehubungan dengan itu, anda diminta menulis rencana tentang faedah-faedah yang diperoleh daripada usaha-usaha kerajaan dan pihak swasta dalam memajukan industri tersebut.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.
(Sila rujuk rangka isi dalam soalan yang sama dengan negeri Sabah)

No comments:

Post a Comment