Tuesday, November 29, 2011

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

LATIHAN BERCORAK PEPERIKSAAN

PENGUKUHAN ISTILAH & TATABAHASA

LATIHAN 10.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Perjalanan yang kami tempuh untuk sampai ke puncak Gunung Ledang bersimpang-siur dan penuh dengan dugaan yang mencabar fizikal dan mental.

ii. Pencipta ais itu mengambil masa selama satu setengah jam untuk menyiapkan hasil seni yang tinggi nilainya.

iii. Matlamat penganjuran Sukan SEA, bukan setakat bersaing di dalam acara sukan, tetapi juga mendekatkan semangat setiakawan sesama negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian.

[6 markah]

LATIHAN 11.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Para-para peserta Kem Motivasi itu telah pulang ke kampung halaman mereka semalam.

ii. Husin memberi makanan pada kucingnya yang comel tetapi berbulu lebat itu.

iii. Kali ini, semua mereka berjaya menaikkan dua ekor kakap hitam dan berbelas-belas ekor kerisi merah dengan menggunakan habuan ikan basong atau sardin.

[6 markah]

LATIHAN 12.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Rosli tidak pergi ke sekolah di hari ini kerana menghadiri peraturan pengebumian datuknya di Sabah.

ii. Hujan turun dengan kuatnya pagi semalam menyebabkan jalan-jalan utama pada ibu kota dinaiki air sedalam satu meter.

iii. Oleh kerana anaknya telah berumur tujuh bulan, dia membawa anaknya ke hospital untuk diberikan pelali campak.

[6 markah]

JAWAPAN:

LATIHAN 10.

i. Perjalanan yang kami ‘tempuhi’ untuk sampai ke puncak Gunung Ledang ‘berliku-liku’ dan penuh dengan dugaan yang mencabar fizikal dan mental.

ii. ‘Pengukir’ ais itu mengambil masa selama ‘satu jam setengah’ untuk menyiapkan hasil seni yang tinggi nilainya.

iii. Matlamat penganjuran Sukan SEA, bukan setakat bersaing ‘dalam’ acara sukan, tetapi juga ‘mengeratkan’ semangat setiakawan sesama negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian.

[6 markah]

LATIHAN 11.

i. ‘Para peserta’ Kem Motivasi itu telah pulang ke kampung halaman ‘masing-masing’ semalam.

ii. Husin memberi makanan ‘kepada’ kucingnya yang comel ‘dan/serta’ berbulu lebat itu.

iii. Kali ini, ‘mereka’ berjaya menaikkan dua ekor kakap hitam dan berbelas-belas ekor kerisi merah dengan menggunakan ‘umpan’ ikan basong atau sardin.

[6 markah]

LATIHAN 12.

i. Rosli tidak pergi ke sekolah ‘pada’ hari ini kerana menghadiri ‘upacara / istiadat’ pengebumian datuknya di Sabah.

ii. Hujan turun dengan lebatnya pagi semalam menyebabkan jalan-jalan utama ‘di’ ibu kota dinaiki air sedalam satu meter.

iii. Oleh ‘sebab’ anaknya telah berumur tujuh bulan, dia membawa anaknya ke hospital untuk ‘disuntik’ pelali campak.

[6 markah]

No comments:

Post a Comment