Monday, November 21, 2011

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

LATIHAN BERCORAK PEPERIKSAAN

PENGUKUHAN ISTILAH & TATABAHASA

LATIHAN 1.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dirantau ini.

ii. Cita-citanya untuk memanjangkan pelajaran ke universiti belum tercapai lagi oleh kerana hidupnya yang susah itu.

iii. Mariamah makan goreng pisang sambil menghiris bawang dengan menggunakan parang.

LATIHAN 2.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Jalan pintas sering diharungi oleh murid-murid yang hendak pergi sekolah pada waktu pagi.

ii. Bapa saya memeriksa semua fail-fail yang diingini oleh ketua jabatannya semalam.

iii. Kerja-kerja mencekup sotong sesuai dilakukan di waktu malam sahaja.

LATIHAN 3.

(d). Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Agenda perbincangan pada pagi ini sudah diserahkan oleh Sarah pada saya untuk diedarkan.

ii. Projek itu dijangka akan sudah sepenuhnya pada tahun depan dan akan dirasmikan oleh Menteri Perdana.

iii. Semalam dia tidak betul tidur kerana diganggu oleh mimpi yang paling menakutkan sekali.

JAWAPAN:

LATIHAN 1.

i. Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk ‘menjadikan / meletakkan’ Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan ‘di rantau’ ini.

ii. Cita-citanya untuk ‘melanjutkan’ pelajaran ke universiti belum tercapai lagi oleh ‘sebab’ hidupnya yang susah itu.

iii. Mariamah makan ‘pisang goreng’ sambil menghiris bawang dengan menggunakan ‘pisau.’

LATIHAN 2.

i. Jalan pintas sering ‘digunakan / dilalui’ oleh murid-murid yang hendak pergi ‘ke’ sekolah pada waktu pagi.

ii. Bapa saya memeriksa semua ‘fail’ yang ‘dikehendaki / diminta’ oleh ketua jabatannya semalam.

iii. Kerja-kerja ‘mencandat’ sotong sesuai dilakukan ‘pada’ waktu malam sahaja.

LATIHAN 3.

i. Agenda ‘mesyuarat’ pada pagi ini sudah diserahkan oleh Sarah ‘kepada’ saya untuk diedarkan.

ii. Projek itu dijangka akan ‘siap’ sepenuhnya pada tahun depan dan akan dirasmikan oleh ‘Perdana Menteri’.

iii. Semalam dia tidak ‘lena / nyenyak’ tidur kerana diganggu oleh mimpi yang ‘paling menakutkan.’

No comments:

Post a Comment