Thursday, August 25, 2011

Bahasa Melayu: Bahagian B

Tajuk 2 : Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia

Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat.

     Usaha pertama untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah denganmengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

     Perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui aktiviti kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan akibat kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

     Aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

     Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.


     Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi.Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.
[686 patah kata]

TEMA 8 : FAEDAH MENABUNG

Tajuk 1 : Faedah Menabung Sejak Kecil

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik danindividualistik, kita seyogianya memahami kemaslahatan wang. Cendekiawan memfasiqkan bahawa dengan wang, kita dapat melakukan segala-galanya tetapi wang tidak dapat membeli segala-galanya. Oleh hal yang demikian, menabung memang sinonim dengan wang dan masa depan. Orang yang mengabaikan amalan ini diumpamakan orang yang menagak cabaran pada hari muka. Realitinya, peribahasa Melayu ada menjelaskan bahawa sediakan payung sebelum hujan.

     Marcapada menyaksikan bahawa tabiat menabung dikatakan dapatmendisiplinkan diri kita. kesabaran dan kesanggupan berkorban demi masa depan menjadi titik tolak seseorang menabung. Apabila menabung, prinsipsedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang tabungan ini dapat mengekangdiri kita daripada lalai dalam merancang masa hadapan. Disiplin diri yang terbentuk dalam amalan menabung dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ringkasnya, menabung merupakan rencah untuk mengawal diri daripada memboros.
Walakin begitu, amalan yang dituntut agama ini dapat memupuk pemikiran yang mengapresiasi kesusahan mencari wang. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam bagai lebah mengumpulkan madu demi membiayai kos kehidupan yang meningkat harus kita sedari. Baki wang saku yang diberi mestilah dimasukkan ke dalam tabung. Apabila kita memerlukannya pada kala kecemasan, pertolongan orang lain tidak diperlukan. Oleh sebab itu, nilai berdikari dapat ditanam di samping mengetahui setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang bermakna.

     Ibu bapa memainkan peranan sebagai mencorakkan amalan ini kepada anak-anak sejak kecil lagi kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkan dan mewarnakan kehidupan mereka dengan amalan murni seperti menabung. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat diajar tentang perancangan masa hadapan. Mereka akan menyedari hakikat kepentingan berjimat cermat. Anak-anak yang pandaiberjimat-jimat nescaya dapat berusaha dengan lebih giat untuk menjamin masa hadapan kerana “asal ditugal, adalah benih”.

     Wang tabungan yang dikumpulkan acap kali dibawa ke bank untuk disimpan. Di samping menabung, kita juga berpeluang untuk mempelajari perkembangandunia perbankan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan kita warga yang sentitif akan perkembangan ekonomi semasa. Dari perspektif ekonomi, kita dapat memainkan peranan sebagai penjana virus yang dapat membebaskan negara daripada serangan wabak kemelesetan ekonomi. Tegasnya, simpanan tidak seberapa yang kita laburkan dalam simpanan bank dapat digunakan oleh pihak bank untuk pelaburan mega lain sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

   Walhasil, sebagai anak bangsa yang bakal dibentuk menjadi modal insan kepadanusa tercinta, kita sewajarnya menjadikan amalan menabung sebagai rutinkehidupan. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis merupakan kata-kata mutiara yang mesti kita hayati. Dengan menabung, kualiti kehidupan yang lebih baik dapat kita nikmati. Wang yang ditabung boleh menjadi modal melanjutkan pelajaran demi memberi pulangan kehidupan yang lebih baik kepada ayahanda dan bonda tercinta. Pulangan yang lumayan daripada amalan menabung dapat dirasai bukan sahaja untuk diri justeru kepada seantero jagatraya.

                                                                                                                            [436 patah kata]

Tajuk 2 : Amalan Menabung Perlu Dipupuk Sejak Kecil Lagi. Bincangkan Faedah-Faedah Yang Diperoleh Melalui Amalan Menabung Ini.

Amalan menabung dapat didefinisikan sebagai suatu budaya menyimpan wang yang dilaksanakan secara berterusan. Terdapat pelbagai jenis bekas tabung yang diperbuat daripada variasi bahan sama ada semula jadi atau tiruan seperti buluh daripada bahan semula jadi dan plastik daripada bahan tiruan. Namun, kebelakangan ini, amalan menabung kurang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia dan ini jelas mengundang kerisauan kepada beberapa pihak yang telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai kempen berkenaan amalan menabung ini. Mahu ataupun tidak, pihak yang terlibat haruslah memerah otakmencari alternatif lain bagi menjadikan amalan menabung ini merupakan suatu perkara yang sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sekiranya penerangan tentang faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan menabung mampu memberikan reaksi positif, mengapa tidak kita melakukannya?

     Salah satu faedah yang diperoleh melalui amalan menabung ialah individu itu akan dapat memupuk diri menjadi seorang yang berjimat cermat. Hal ini berlaku demikian kerana individu tersebut akan sentiasa mengawal perbelanjaan harian agar dapat menyimpan wang di dalam tabung. Justeru, individu tersebut akan berjaya mengawal perasaan dan keinginan mereka untuk memperoleh sesuatu barangan walaupun pada hakikatnya mereka tidak menjadikan barangan tersebut sebagai suatu keperluan. Tamsilannya, seorang anak yang telah diajar untuk mengamalkan sikap berjimat cermat oleh ibu bapa mereka akan bijak menggunakan wang yang diberi dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, pendedahan amalan menabung kepada anak-anak sejak kecil lagi umpama melentur buluh dari rebungnya akan memberikan kesan positif kepada mereka sekali gus menyematkan sikap suka berjimat cermat dalam diri mereka.

    Faedah lain yang diperoleh melalui amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi ialah dapat menjamin masa hadapan yang cerah bagi anak-anak. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul mereka daripada kecil sehingga dewasa akan dapat digunakan untuk tujuan tertentu apabila mereka dewasa kelak. Lantaran itu, jika anak-anak berkehendakkan sesuatu, mereka mampu untuk mendapatkannya tanpa perlu membebankan atau bergantung harap pada kedua-dua orang tua mereka. Tamsilannya, jika anak-anak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading sama ada di dalam atau di luar negara, ibu bapa mereka tidak begitu risau dan akan menerima tawaran tersebut dengan hati yang terbuka tanpa perlu memikirkan soal pembiayaan pengajian anak-anak mereka. Oleh itu, amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi jelas memberikan masa hadapan yang cerah buat cahaya mata mereka.

     Amalan menabung yang disemat dalam diri individu sejak kecil lagi juga akan dapat menjadi penyelamat pada waktu runcing atau kecemasan. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul dari usia setahun jagung sehingga dewasa akan dapat digunakan ketika berhadapan sesuatu kejadian yang tidak diduga. Bak kata peribahasa Melayu, malang tidak berbau. Impaknya, individu tersebut tidak berada dalam keadaan terdesak apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini sekiranya mereka menjadikan aktiviti menabung sebagai suatu amalan. Tamsilannya, hasil tabungan yang dikumpul dari usia muda dapat digunakan untuk membiayai kos rawatan yang dikenakan pihak hospital sekiranya salah seorang ahli keluarga penabung berdepan masalah seperti kemalangan, menghidapi penyakit dan sebagainya sekali gus dapat memupuk sikap saling membantu dalam ahli keluarga. Oleh itu, amalan menabung yang dididik sejak anak-anak kecil lagi jelas membantu meringankan masalah keluarga ketika berdepan situasi rumit.

     Intihanya, jelaslah bahawa amalan menabung perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Dengan demikian, ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling haruslah sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak muda masa ini dalam usaha membudayakan amalan menabung dalam diri mereka. Sekiranya semua pihak menjalankan kewajipan mereka dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak yang diasuh supaya membudayakan amalan menabung ini akan menjadi individu yang pemurah, berjimat cermat serta seorang pekerja yang amanah terutamanya apabila melibatkan urusan kewangan. Jelaslah, amalan menabung ini juga merupakan usaha untuk menyediakan payung sebelum hujan dan juga suatu amalan yang mendatangkan banyak kebaikan kepada individu itu sendiri, keluarga, masyarakat juga negara.
                                                                                                                       [605 patah perkataan]

TEMA 9 : KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA ASING

Tajuk 1 : Kelebihan Menguasai Bahasa Asing

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat dan perlu ditempuhi oleh setiap individu.Penguasaan pelbagai bahasa merupakan satu aset utama dalam diri individu untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Oleh itu, kelebihan atau kepentingan menguasai pelbagai bahasa yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan secara terperinci demi manfaat bersama.

     Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa merupakan medium perantaraan yang penting dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.Bahasa menjadi alat perhubungan dan spektrum komunikasi yang paling efektif kepada organisasi dan individu dalam segala hal. Kemampuan menguasai pelbagai bahasa mampu menjamin masa hadapan yang cerah dan berpeluang untuk maju ke hadapan di samping mengilap potensi diri yang sebenar. Sebagai contoh, seseorang individu yang mampu menguasai pelbagai bahasa asing akanlebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan individu yang hanya menguasai satu bahasa. Hal ini adalah kerana, persaingan untuk mendapat pekerjaan sangat sengit. Mereka yang mempunyai kelulusan yang baik, berketrampilan menarik dan berkebolehan menguasai lebih daripada satu bahasa akan dapat menjawat sesuatu pekerjaan dengan lebih mudah. Sebagai intihanya, seseorang individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa menjadi jambatan untuk mereka mendapat pekerjaan dengan mudah.

     Kita juga dapat menyaksikan betapa pentingnya seseorang yang menguasai bahasa asing untuk memudahkannya berinteraksi dan berkomunikasi. Bagi sesetengah orang yang mempu menguasai lebih daripada satu bahasa lebih mudah untuknya berkomunikasi, terutamanya apabila kita berurusan dengan individu yang berasal dari luar negara. Hal ini juga akan meningkatkan keyakinan diri kita dan mengelakkan kita tertipu apabila berurusan dengan orang lain. Sebagai contoh, individu yang melanjutkan pelajaran di luar negara, mereka akan lebih yakin untuk bergaul, berinteraksi dan berkomunikasi sekiranya menguasai lebih daripada satu bahasa. Biar kita ambil contoh seorang usahawan yang berurusniaga di luar negara, sekiranya beliau menguasai lebih daripada satu bahasa akan mengelakkan dirinya daripada ditipu. Konklusinya, menguasai lebih daripada satu bahasa akan memudahkan seseorang untuk berinteraksi dan mengelakkan daripada ditipu.

     Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, mempelajari bahasa asing juga dapat membantu kita memupuk semangat perpaduan yang tinggi. Sekiranya bahasa kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dan di luar negara dapat dipelajari dan difahami, sudah tentu kita akan dapat mengenali budaya dan adat resam kaum tersebut dengan lebih mendalam. Sebagai analoginya, dengan menguasai bahasa Kadazan atau bahasa Iban, maka perpaduan akan dapat dipupuk dengan lebih mudah. Konklusinya, penguasaan lebih daripada satu bahasa akan memupuk perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik, sesuai dengan peribahasa tak kenal maka tak cinta.

     Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah mempelajari bahasa asing dapat membantu kita meneroka maklumat dalam pelbagai bidang. Oleh itu, dengan menguasai pelbagai bahasa, dapat membantu kita mengumpul maklumat yang ditulis dalam semua bahasa yang kita kuasai. Sebagai contoh, maklumat yang terkandung dalam buku, jurnal, akhbar dan internet yang menggunakan bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Perancis dan Bahasa Arab akan lebih difahami dan dikuasai sekiranya kita menguasai bahasa-bahasa tersebut. Jelaslah bahawa, mempelajari bahasa asing dapat membantu kita menelusuri pelbagai maklumat sekali gus dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Sebagaimana yang kita maklumi, menguasai bahasa asing dapat mengisi masa lapang. Sesungguhnya, dengan mempelajari bahasa asing bukanlah sesuatu yang sukar. Sebagai contoh, kita boleh mempelajari bahasa Mandarin, bahasa Jepun, bahasa Arab dan bahasa Perancis dengan menghadiri kelas tersebut, tambahan pula pengajaran bahasa-bahasa asing ini juga disediakan di pusat-pusat pengajian tinggi dan di sekolah-sekolah berasrama penuh. Selain itu, kemahiran tersebut boleh mendatangkan nilai komersial bak kata peribahasasambil menyelam, minum air apabila kemahiran menguasai bahasa asing ini boleh diaplikasikan mengikut keperluan. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa asing mudah untuk dipelajari serta dapat mengisi masa lapang.

Sebagai kesimpulannya, penguasaan bahasa asing banyak mendatangkan implikasi yang positif terhadap diri kita agar menjadi ilmu penyuluh kehidupan pada masa hadapan. Oleh itu, kita perlu menguasai pelbagai bahasa asing agar menjadi satu kelebihan atau aset untuk menjadi modal insan yang cemerlang kepada negara sekali gus dapat melahirkan individu yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.                                                                                                      [656 patah kata]

Tajuk 2 : Penguasaan Pelbagai Bahasa Asing Dan Kepentingannya

Bahasa merupakan alat untuk berkomunikasi. Bahasa juga di gunakan sebagai alat penyebar ilmu dan maklumat. Kita digalakkan menguasai lebih dari satu bahasa. Menguasai lebih dari satu bahasa merupakan suatu bonus khususnya untuk berkomunikasi dengan bangsa asing. Hal ini memudahkan kita berkomunikasi dengan pelancong. Dengan menguasai pelbagai bahasa kita juga akan berasa lebih berkeyakinan kepada diri kita sendiri. Di dalam negara Malaysia ini ada lima bahasa kerana negara ini mempunyai 5 kaum utama. Sekiranya kita dapat menguasai bahasa tersebut, kita dapat berbual dengan orang yang bukan seagama dengan kita atau bukan sekaum dengan kita. Bahasa Melayu, India, Cina, Iban dan Kadazan semuanya daripada pelbagai kaum dan agama.Sekiranya kita fasih berbahasa lain kita dapat mengetahui adat resam mereka dan mereka juga akan mengetahui adat resam kita. Kita juga boleh membaca dalam pelbagai bahasa, dengan memperbanyakkan pembacaan kita akan memperoleh banyak ilmu. Jelaslah bahawa menguasai pelbagai bahasa mempunyai banyak kepentingan dan maslahatnya.

     Kita lihat pula dari sudut propenguasaan pelbagai bahasa ini. Umum mengetahui dan tidak menafikan kepentingan dan faedah menguasai pelbagai bahasa asing. Di Malaysia, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan kepada sektor ekonomi mahupun maruah negara itu sendiri. Pada tahun 2004 sahaja jumlah pelancong dari China yang berkunjung ke negara ini telah mencecah 16.4 juta orang. Hal ini menunjukkan betapa besarnya sumbangan industri pelancongan kepada Malaysia. Tetapi angkaan jutaan itu sebenarnya menunjukkan kemerosotan dalam tinjauan ketidakpuasan hati pelancong yang pernah datang ke Malaysia. Mengapakah hal ini terjadi? Kebanyakan jawapan yang diberi ialah kesukaran untuk berkomunikasi dengan rakyat tempatan. Rata-rata rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Cina, Inggeris, Jepun dan Perancis. Hal ini menjadi masalah kerana bahasa di atas merupakan antara bahasa yang menjadi keutamaan di dunia. Tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa yang sering digunakan oleh kebanyakan negara sebagai bahasa kedua mereka. Akibatnya, akan tercalarlah maruah negara di mata dunia. Negara akan dikenali sebagai rakyat yang mempunyai mentaliti yang rendah dan seterusnya akan menjejaskan ekonomi Malaysia.

     Dalam pada masa itu juga, bahasa asing juga penting sebagai satu perantaraan yang memudahkan bual bicara untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu. Apakah tidak berkualiti bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu? Apakah bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang layak menjadi bahasa ilmu? Tepuk dada, tanya selera.Dewasa ini, penerokaan, penguasaan dan pengabdian terhadap ilmu pengetahuan banyak didalami oleh bangsa asing. Bangsa yang mana sejak lahir hingga mati akan menuturkan bahasa mereka sendiri. Sebagai umat Islam pula, bagaimana untuk kita merebut kembali tempat pertama dalam penguasaan ilmu yang suatu ketika dahulu didahului kita jika kita tidak mampu menkaji hasil kerja bangsa-bangsa asing. Ilmuan terkemuka dunia seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khawarizmi juga mempelajari bahasa asing untuk mengembangkan ilmu yang mereka ada sehingga mereka menjadi terkenal sekarang ini. Yunani telah menyebabkan karya Ibnu Sina seperti buku perubatan, Kanun Fi’al Tib diterima pakai lebih 500 tahun lamanya di universiti-universiti di Barat hampir sealaf lalu.Bahasa Hindus juga telah menyebabkan Ibnu Khawarizmi diiktiraf sebagai ahli matematik terbaik di dunia sehingga sekarang dengan teori berkaitan aljebra. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya bahasa asing terhadap perkembangan ilmu,

     Berkisar tentang ilmu juga, bahasa asing amat penting terutamanya dalam melayari cabang pendidikan pada masa ini. Alam pendidikan sekarang ini lebih bersifat terbuka dan tanpa sempadan. Jika kita perhatikan, kebanyakan universiti yang wujud di dalam mahupun di luar negara sering menjadi tumpuan pelajar-pelajar yang bukan dari negara mereka sendiri. Pelajar-pelajar yang datang ke universiti itu bukan sahaja datang dari negara jiran malah beribu-ribu batu jauhnya untuk melanjutkan pelajaran. Malaysia sendiri mempunyai ramai rakyat yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Cabang pendidikan tanpa sempadan ini menghendaki golongan pelajar lebih prihatin terhadap penguasaan bahasa asing.Bagaimana hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara jika diri sendiri tidak tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka? Bagaimana untuk kita bergaul dengan rakyat tempatan di negara mereka jika kita hanya tahu bahasa ibunda sendiri?Oleh hal yang demikian, individu khususnya golongan pelajar perlu lebih mengambil berat terhadap penguasaan bahasa asing. Mungkin pada hari inipelajar-pelajar mampu berbicara dan berdebat tentang tidak perlunya bahasa asing ini, tetapi sedarlah bahawa pada suatu hari nanti kita juga yang akan merangkak untuk mempelajari bahasa tersebut.

     Dalam meniti arus globalisasi yang sangat berbeza dengan arus pemodenan, kita dihimpit dengan tekanan dari peringkat antarabangsa berkaitan kewangan dan pekerjaan. Disebabkan ini juga ramai rakyat Malaysia yang menganggur dan ramai yang menyalahkan tekanan antarabangsa sebagai penghalang kemajuan sedangkan salah itu datangnya daripada diri mereka sendiri. Salah satu faktor yang menyumbang kepada pengangguran ini adalah kelemahan dan kekurangan dalam menguasai bahasa selain bahasa ibunda.Majikan sekarang ini lebih menumpukan perhatian kepada pekerja-pekerja yang mempunyai kelebihan dalam bahasa lain. Maka, pekerja-pekerja seperti ini akan menjadi kegemaran majikan untuk diterima bekerja dan malanglah bagi individu lain yang mempunyai kemahiran dan kelulusan yang sama tetapi mempunyai kelemahan dalam menguasai bahasa asing. Bagi pekerja-pekerja ini, mereka tidak menyedari kelemahan mereka dan menyalahkan orang lain sedangkan kelemahan itu datangnya daripada diri mereka sendiri. Akhirnya, tahun demi tahun dihabiskan dengan melihat kepada satu rumusan yang dibuat sendiri dengan meletakkan kesalahan di bahu majikan yang memilih bulu kononnya. Maka, tidak ada suatu perubahan mahupun reformasi yang dilakukan untuk merubah diri sendiri.

     Selain pelancongan, pendidikan dan pekerjaan, bahasa asing boleh dijadikan platform yang sangat berguna untuk mengeratkan satu individu dengan individu yang lain. Hubungan antarabangsa juga boleh dijalinkan lebih erat dengan menguasai bahasa mereka. Bahasa Melayu juga pernah menjadi lingua franca sewaktu zaman kegemilangan empayar Melaka pada suatu masa dahulu.Pedagang-pedagang yang datang berdagang juga memilih bahasa Melayu untuk dituturkan sedangkan masih ada berpuluh-puluh bahasa yang digunakan para pedagang pada masa itu. Pedagang-pedagang berasakan bahawa bahasa Melayu mudah difahami dan dituturkan. Negara China juga menjalinkan hubungan yang baik dengan negeri Melaka dari segi pertahanan sehinggakan China sanggup menghantar jeneralnya yang terkemuka iaitu Jeneral Cheng Ho untuk bertemu dengan pemerintahan Melaka. Disebabkan hubungan Melaka-Chinajugalah, Siam tidak berani untuk terus memberikan tekanan ke atas Melaka.Begitulah betapa pentingnya penguasaan bahasa asing dalam mengeratkan hubungan antarabangsa. Malaysia juga sebagai sebuah negara majmuk, mengharapkan rakyatnya menguasai bahasa asing terutamanya bahasaMandarin dan bahasa Tamil .

    Walaupun pelbagai tafsiran sama ada positif ataupun negatif dibuat berkaitan penguasaan bahasa asing, kita perlu menyedari kepentingan bahasa asing dari skop yang lebih luas. Dalam bahasa yang lebih mudah, bahasa asing mempunyai pengaruh yang besar terhadap sektor pelancongan, pendidikan, pekerjaan dan perhubungan malah dalam kehidupan seharian kita. Di Malaysia, penguasaan bahasa asing adalah sangat lemah.Altitud ini pula ditambah lagi dengan sikap segelintir golongan masyarakat yang tidak mengambil tahu kepentingannya malah menentang bahasa asing.Sememangnya bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris merupakan bahasa penjajah tetapi bukankah Tunku Abdul Rahman juga menggunakan bahasa tersebut semasa menuntut kemerdekaan di London? Bukankah kita juga merubah kosa kata bahasa asing untuk dimelayukan? Bukankah bahasa Melayu sendiri terbentuk daripada bahasa Sanskrit? Mengata bahasa asing, sekurang-kurangnya bahasa tersebut ada pengiktirafan tersendiri. Jika hendak menentang dan membunuh bahasa asing dalam jiwa rakyat Malaysia adalah lebih baik kita menentang dan membunuh bahasa rojak yang semakin hari semakin menjadi-jadi di Malaysia. Malah tanpa kita sedar, kita menggunakan bahasa tersebut dalam pertuturan seharian. Mengata dulang paku serpih, mengata orang diri sendiri yang lebih. Jangan sampai terjadi menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri. Sebelum nasi menjadi bubur, seharusnya semua pihak bersinergi dalam meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa dalam diri. Usaha yang padu dan komited bukan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam daripada semua rakyat Malaysia amatlah diharapkan dalam merealisasikan Wawasan 2020.
[1208 patah kata]

TEMA 10 : BARANG BUATAN MALAYSIA (STRATEGI MENGGALAKKAN RAKYAT MEMBELI
BARANGAN MALAYSIA)

Tajuk : Cara-Cara Menggalakkan Pengguna Tempatan Membeli Barangan Malaysia

Dalam menongkah arus perdana era globalisasi, liberalisasi dan dunia tanpa sempadan,memang tidak dinafikan bahawa dunia kita telah melangkah ke arah modenisasi. Abad ke-21 telah menyaksikan bahawa pelbagai cetusan idea dan percubaan yang membanggakan yang dilaksanakan supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara moden yang lain. Sama ada kita sedar atau tidak lantaran, kita selalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan yang beronak yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan. Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan seharusnya dilontar jauh-jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri. Walau bagaimanapun, berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati bahawa peratusan rakyat Malaysia yang menggunakan barang buatan negara malah menyokong barangan buatan Malaysia telah menurun setiap tahun. Mengapakah perkara sebegini berlaku ? Mengapakah rakyat negara tidak sanggup menyokong buatan negara? Tepuk dada tanyalah selera kerana isu-isu ini telah menjadi buah mulut masyarakat negara kini. Berita ini sering dipaparkan di dada-dada akhbar dan tidak kurangnya di media massa. Pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia terutamanya rakyat negara sendiri. 
     Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap rakyat kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini. Rakyat Malaysa perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Manfaat serampang dua mata akan dinikmati oleh pelbagai pihak apabila rakyat mengutamakan barangan tempatan. Manfaat pertama ialah dapat mengelakkan pengaliran keluar wang negara ini. Kedua, dapat menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing. Berikutan itu,FOMCA(Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia) dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai itu boleh diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat-syarikat terbabit yang mengeluarkan barangan berkenaan. Jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapatmenjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu. Berikutan itu, pengguna dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barang buatan tempatan, serta kurang bergantung pada produk import.

     Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya sehingga menyebabkan ramai yang rambang mata. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran di luar negara. Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran. Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara. Untuk mengalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia, rakyat sendiri perlu mengamalkan tabiat berbelanja secara berhemat. Tabiat pembaziran dan berbelanja melebihi kemampuan pendapatan di kalangan rakyat negara ini yang turut menyumbang kepada penurunan ringgit disebabkan kemudahan memperolehi kemudahan kredit. Berikutan itu, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja dengan mengamalkan tabiat berhemat dalam perbelanjaan seperti menabung untuk mengurangkan kesan hutang. Dengan mengamalkan tabiat berjimat cermat dan berfikir sebelum membeli, rakyat dapat menjimat pembelanjaan malah dapat digunakan samasa kecemasan . Tindakan ini bagai sambil menyelam minum air. Rakyat sepatutnya menyokong barang buatan Malaysia yang tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Kalau rakyat Malaysia sendiri tidak menyokong negara sendiri lebihnya kepada pendatang dan pembeli daripada luar negara. Rakyat seharusnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada negara sendiri dengan membeli barang buatan Malaysia yang semakin meningkat mutunya dan mampu bertanding dengan negara lain yang maju.

     Pada era langit terbuka ini, media massa merupakan satumedium yang signifikan dalam mempengaruhi pemikiran orang ramai. Sebagaimana, yang kita tahu, media massa boleh dibahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Dalam hal ini, pihak media memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan buatan Malaysia. Pihak media cetak memainkan peranan dalammenerangkan kebaikan barangan buatan Malaysia serta faedahnya malalui surat khabar dan majalah. Media cetak digalakkan mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan Malaysia kerana dapat mempengaruhi minda manusia yang ramai bagai mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Hal ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Manakala, media elektronik seperti radio, televisyen dan internet juga merupakan wadah yang penting dalam penyebaran maklumat. Sebagai contoh, kewujudkan online membeli-belah membolehkan rakyat membeli barang buatan Malaysia dengan senang melalui internet. Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Usaha sama kerajaan dan artis tempatan dalam mempromosikan barang buatan Malaysia dapat menarik minat orang ramai terutamanya golongan remaja. Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa media massa merupakan elemen yang penting dalam usaha mengalakkan orang ramai membeli barang buatan Malaysia.

     Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat adalah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna. Ketika ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai contohnya, ekspo kosmetik dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh digunakan tanpa was-was. Sehubungan dengan itu,ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke semasa. Hakikatnya, Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagaigenggam bara api biarlah sampai jadi arang. Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan tidak sekadar bekerja bagai melepaskan batuk di tangga.
Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barang tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk-penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini.

    Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jusco, Tesco, Metrojaya, Parkson, Mydin dan sebagainya boleh mengadakan jualan megah atau jualan murah tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya. Para pelancong juga turut terpukau oleh potongan harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Usaha mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantumerancakkan dan memacu tranformasi ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru itu, semua agensi, sektor swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing.Pihak berkenaan harus mengadakan pertandingan kuiz, melukis poster, menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen tersebut. Kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan amat sinonim dengan kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Dengan mengadakan kempen kesedaran dan ceramah yang pelbagai bentuk, barang buatan Malaysia dapat diperkenalkan kepada orang ramai supaya semua orang tidak kira orang tempatan atau pendatang dapat mENARIK minat terhadap barang buatan Malaysia.

     Pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara ,dan sanggup berkorban untuk negara boleh disuntik kepada generasi muda kita. Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keEMPAT malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik nagara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke araf baru. Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita ,ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kita mendapati bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam mengalakkan masyarakat membeli barang buatan Malaysia.

    Secara tuntasnya, pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan masyarakat membeli barang buatan Malaysia. Berbagai-bagai pihak perlu berganding bahu dan bekerjasamabagai aur dengan tebing dalam mempromosikan kabaikan dan faedah membeli barangan buatan Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja seperti melepaskan batuk di tangga. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini. Ibu bapa juga harus menjadi rol model dan suri teladan yang baik kepada anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Anak-anak seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berSINAR. Natijahnya, rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasimenyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekatasebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

petikan: FB kawan

Bahasa Melayu: Karangan

TEMA 1 : PENGANGKUTAN AWAM

Tajuk : Langkah-langkah untuk Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan
Awam

Zaman beralih, musim bertukar, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang akan menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan Terbitkan Catatan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses pelaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne yang penumpangnya hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur perjalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali.
Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan penggunaan perkhidmatan KTM oleh rakyat di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan penggunaan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kualiti pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan penumpang secara keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kualiti perkhidmatan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengangkutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk menambat semula keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.

Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluas dalam pengangkutan awam seperti komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terkini dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi cita rasa rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan bayaran yang minimum. Manifestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menggalakkan para penumpang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanamkan konsep yang mendalam dalam minda pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja didedahkan kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberikan kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka. Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam secara mendalam kepada mereka.
Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

TEMA 4 : HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG SEMAKIN RENGGANG – USAHA-
USAHA MERAPATKANNYA

Tajuk 1 : Rencana ‐ Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang (Kesan, faktor dan usaha)

Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang
Oleh Zaidora Zahid

Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami transformasi daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan kemewahan, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar umbi sejak dahulu lagi. Keluarga boleh ditakrifkan sebagai satu institusi yang terdiri daripada orang‐orang yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan moyang yang sama. Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga nukleus dan keluarga besar. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak serta adik. Keluarga besar pula terdiri daripada keluarga nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir ini, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dan bobrokkian menggamit perhatian semua pihak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mampu menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan daripada kemelut ini ialah kegagalan ahli keluarga dalam memahami serta saling menghormati antara ahli keluarga sendiri. Hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dapat dilihat dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok. Sebagai contoh, keratan akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan orang lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden yang amat menyedihkan dam memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan semakin renggang, ahli‐ahli keluarga akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dan saling bertukar fikiran. Hal ini demikian kerana hubungan yang renggang ini telah memusnahkan jalinan kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu, ahli‐ahli keluarga tidak memahami antara satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan faham mudah berlaku. Kejadian ini akan mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahli‐ahli keluarga bermusuhan sesama sendiri.

Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada masalah pengabaian ahli‐ahli keluarga khususnya golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan warga emas yang uzur dan pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi asing kepada masyarakat metropolitan khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden pada hari ini beranggapan bahawa golongan warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka. Oleh itu, mereka bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan uzur ke rumah orang tua‐tua. Mereka langsung tidak memahami perasaan ibu bapa mereka yang terasa diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula golongan ibu bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya bertindak membuang bayi mereka ke dalam tong sampah mahupun meletakkannya di tepi jalan dan di kaki lima. Perbuatan yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu bapa tidak bersedia dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk membela seorang bayi. Angkara mengabaikan ahli keluarga khususnya warga emas merupakan senario yang amat memalukan. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.

Peribahasa Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin yang bertiup. Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu sendiri. Isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang kian hangat diperdebatkan oleh media massa. Memang tidak dapat dinafikan bahawasikap ibu bapa yang individualistik dan materialistik merupakan pemangkin utama kepada kemelut ini. Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Mereka turut beranggapan bahawa kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai status sosial mahupun kemampuan individu dalam masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama sekali kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi semua insan di seantero marcapada. Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat ditukar beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih mementingkan kerjaya semata‐mata untuk kepuasan dan keselesaan diri sendiri telah mengabaikan anak‐anak mereka dan menggantikan kasih sayang dengan sogokan wang ringgit. Anak‐anak ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan meluahkan segala isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu mereka. Bertitik‐tolak dari sinilah, gejala sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya. Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru haruslah ditangani dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik, sistematik dan konkrit haruslah diambil secara berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih banyak meluangkan masa untuk keluarga. Masa yang diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sebaik‐baiknya, segala konflik atau masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-sama. Tambahan pula, ahli‐ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai hari keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama‐sama tanpa gangguan aktiviti lain seperti mesyuarat dan aktiviti kokurikulum.

Selain itu, ahli‐ahli keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada didikan agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng mengenai didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (1989), subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah diperkenalkan. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai‐nilai murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam menghargai dan mencintai keluarga. Namun demikian, pelajar mutakhir ini hanya menganggap bahawa subjek‐subjek ini lebih berorientasikan peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan erti kata yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu praktikal. Jadi, pihak sekolah dan pelajar haruslah berganding bahu sama ada dalam memberikan kesedaran tentang kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan kekeluargaan agar pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.

Sebagai intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua pihak. Penerapan nilai‐nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak‐anak muda haruslah dilakukan sejak dari usia yang muda lagi. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya dijadikan azimat demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya golongan muda haruslah diberikan kesedaran mengenai keperluan sebuah institusi keluarga yang harmonis. Remaja merupakan pemangkin dan pelopor kepada kepimpinan negara kelak. Merekalah bakal pemimpin dan akan mengetuai pucuk pimpinan negara kelak. Tambahan pula, remaja haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral supaya hubungan kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita menjangkau sehabis tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini. Janganlah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari segi kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang bukanlah masanya untuk menopang dagu dan menuding jari. Misi dan visi rakyat jelata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan terkemuka di seantero marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan pemimpin negara kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga yang sempurna. Pendek kata, segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara haruslah berganding bahu dalam menangani kemelut hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku Syurgaku” sebagai tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Jangan jadikan rumah sebagai lembah pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang menimbulkan suasana yang tegang.

TEMA 6 : KEMALANGAN JALAN RAYA – FAKTOR / USAHA

Tajuk : Usaha Menangani Kemalangan Jalan Raya

Isu nahas atau kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah negara yang sering menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya yang banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja satu kerugian kepada keluarga mangsa dan rakan­-rakannya, tetapi kerugian modal insan yang besar kepada negara. Setiap nyawa yang hilang akibat kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan persekolahan, peperiksaan dan latihanpekerjaan. Oleh itu, prakarsa yang pragmatik haruslah dilaksanakan dengan drastik, efektif bagi mengekang kadar kemalangan jalan raya yang saban tahun semakin meningkat.

Sebenarnya pelbagai modus operandi telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran dan termasuk penguatkuasaan dijalankan merupakan antara prakarsa kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya. Ops Sikap yang telah diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini misalnya lebih menumpukan kepada sikap pengguna jalan raya yang menjadi faktor kemalangan dan peningkatan kadar kematian di jalan raya terutamanya pada musim perayaan. Namun, perkara yang masih membimbangkan ialah banyak jumlah kemalangan dicatatkan dan nahas jalan raya kini menjadi ancaman nombor satu di Malaysia yang semakin menggawatkan lebih-lebih lagi dengan penambahan jumlah kenderaan saban tahun. Angka kematian bukan sahaja tidak pernah menurun malah pemandu-pemandu semakin rakus menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba selain, mengambil kesempatan menguji kemampuan kenderaan masing-masing memecut.

Usaha mensifarkan kemalangan jalan raya bukanlah impian pihak kerajaan semata-mata. "Tiada apa yang mustahil di dalam dunia ini." Ungkapan kata ini sangat sinonim dengan sesiapa sahaja yang bertekad untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan. Hal ini juga seolah-­olahnya merupakan kenyataan beramaran bahawa sekiranya seseorang mahukan sesuatu, mereka akan melakukan apa-­apa sahaja. Manusia, sekiranya dalam keadaan terpaksa boleh melakukan sesuatu yang luar biasa. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan bahawa kerajaan tidak mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil. Menurutnya, keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi nyawa yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya, takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan, Anda Mampu Mengubahnya memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.

Enam belas menara pemerhati polis beroperasi di seluruh Negara bermula penghujung Jun tahun ini dalam usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut. Dengan kehadiran polis trafik yang dapat dilihat dari jarak jauh oleh pengguna jalan raya di semua menara berkenaan akan memberikan kesedaran dan mengingatkan pengguna supaya memandu dengan lebih berhemah dan bertimbang rasa. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengatakan bahawa tiga buah menara itu yang dibina oleh Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad sebelum ini telah terbukti keberkesannya. Manakala, Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) dapat membantu memberikan kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi berkesan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Selain usaha pihak kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang paling tepat untuk dilaksanakan ialah melalui pendidikan. Tidak ada yang tidak kena dengan kempen atau ops yang dilancarkan setakat ini, cuma pemandu di Malaysia ini perlu diberikan pendidikan, barangkali seawal mungkin. Melalui pendidikan sahaja, sikap pemandu di Malaysia ini berupaya diperbetul. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih akan dapat membantu memberikan kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi. Begitu juga dengan terlaksananya program keselamatan jalan raya melalui komuniti yang membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan profesional, sukarelawan dan belia juga diharapkan akan menjadi pemangkin bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh warganegara.

Analisis dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain merupakan punca peningkatan kemalangan. Dengan kata lain, pemandu secara umumnya hanya mematuhi peraturan atau bersikap hipokrit apabila ada kelibat polis dan bukan kerana sikap untuk keselamatan jalan raya. Peraturan jalan raya sepatutnya dipatuhi atas dasar sedar tentang kebaikannya dan bukan takut daripada disaman pihak berkuasa. Sebenarnya, kesediaan untuk mematuhi peraturan, arahan, dan barisan tidak memerlukan kita berpendidikan tinggi dan tidak pula menjatuhkan apa-apa juga nilai baik yang ada dalam diri kita. Kempen Keselamatan Jalan Raya bukanlah untuk menyusahkan tetapi memberikan faedah kepada pengguna. Segala peraturan jalan raya, serta papan-papan tanda amaran adalah sebagai panduan bagi memelihara keselamatan jalan raya untuk semua pemandu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini mahu kaedah pemberian mata 'demerit' kepada pesalah jalan raya dihidupkan semulabagi memastikan pemandu kenderaan yang banyak menerima saman disenaraihitamkan. Sistem tersebut berupaya beroperasi dengan baik sekiranya diselenggarakan dengan betul. Malah, kaedah pemberian mata 'demerit' itu mampu mengurangkan masalah kemalangan jalan raya kerana lesen pemandu yang kerap melakukan kesalahan jalan raya tidak dibenarkan diperbaharui. Pada awal tahun ini, PDRM meminta supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghidupkan kembali kaedah pemberian mata "demerit" kepada pesalah jalan raya bagi membendung jumlah kemalangan maut yang semakin serius sehingga mencecah 6,000 kematian setiap tahun dan mengakibatkan negara kerugian kira-kira RM9 bilion setiap tahun. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman ketika itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) II Nooryah Md. Anuar memberitahu, sistem pemberian mata demerit bagi setiap kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu itu terbukti mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Melalui kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya (KEJARA) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan dikira. Selagi JPJ tidak menghidupkan semula sistem itu, pihaknya tidak dapat menguatkuasakan penggunaan kaedah berkenaan yang dilihat sebagai kaedah terbaik menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya. Menurutnya di Paris, jumlah kematian akibat kemalangan hanya 50 orang setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit berkesan dalam mengurangkanjumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Pemasangan Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang antaranya berfungsi sebagai perangkap had laju dan merakamkan pelbagai kesalahan trafik akan dipasang di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan sekitar Kuala Lumpur, serta Shah Alam. Pemasangan kamera itu yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga 2010. Di bawah fasa pertama dan kedua,Unit Kamera Pengawasan Bergerak telah diwujudkan untuk memantau pemandu dan pengguna jalan raya yang memandu dengan laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. Di bawah fasa ketiga, kamera pengawasan akan mengawasi aspek kesalahan lalu lintas yang lain seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan. Pemasangan sistem yang dilaksanakan oleh JPJ itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan sebagai bukti pendakwaan. AES ialah antara empat projek yang dicadangkan kementerian itu di bawah Pelan Induk Keselamatan Jalan Raya selama lima tahun (2006-2010). Projek lain pula membabitkan program dalam pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, dan perlindungan alam sekitar. AES akan diletakkan di lorong-lorong kenderaan awam di Kuala Lumpur, lampu-lampu isyarat di seluruh Shah Alam dan juga di kawalan perangkap had laju di Lebuh Raya Utara Selatan. Melalui AES, kamera mengawasi setiap pergerakan kenderaan dan mencatat kelajuan dan maklumat itu dihubungkan ke pusat kawalan untuk mengenal pasti kenderaan yang melakukan kesalahan lain lintas. Anggota JPJ yang bertugas di pusat kawalan itu nanti akan memproses gambar yang diterima itu bagi mengenal pasti identiti dan alamat pemandu. Sistem itu terbukti berkesan dalam mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas itu. Negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Eropah, China, dan Korea Selatan telah lama menggunakan sistem ini dalam usaha mendisiplinkan pemandu dan pengguna.

Secara tuntas, pihak polis atau penguat kuasa memang sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk mengekang kemalangan daripada terus bertambah. Namun, soal keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab setiap individu sebagai pengguna jalan raya dan bukannya tanggungjawab pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata. Pengguna perlu menganggap sasaran menurunkan statistik kemalangan jalan raya ke peringkat sifar merupakan satu tuntutan sosial. Usaha mensifarkan nahas jalan raya tidak kira sama ada sempena perayaan mahupun di luar musim perayaan bukanlah suatu perkara yang mustahil. Tegasnya, setiap pengguna haruslah mempunyai komitmen yang perlu ditunaikan setiap kali berada di jalan raya.
[1 361 patah kata]

TEMA 7 : PERPADUAN – PERANAN PELBAGAI PIHAK

Tajuk 1 : Kaedah Dan Langkah Yang Telah Diambil Oleh Pihak Kerajaan Dalam Menyuburkan
Integrasi Dan Perpaduan Di Malaysia

PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin partipembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi(perbuatan /ucapan yang memperlihatkan sesuatu(menjadi nyata)perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum. Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar (Ekonomi Baru. Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perpaduan Negara

Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.” Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistempeperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar. Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran
Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan
Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-
sifat mulia serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati
sesama manusia.

Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah

Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang
Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri
pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau
menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun
Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan
tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000
yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun
Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya
golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan
yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN DI PERINGKAT MASYARAKAT SETEMPAT
Program Pemuafakatan Masyarakat
Program pemuafakatan antara masyarakat setempat boleh diadakan melalui program- program ilmiah seperti ceramah motivasi, aktiviti keagamaan, makan beradab, gotong royong, majlis perkahwinan dan sebagainya.

Hari Keluarga dan Sukan Rakyat
Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga masyarakat.

Acara kebudayaan dan kesenian
Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan tradisi, boria, dikir barat, tarian singa, tarian bharathanatiyam, tarian bhangra serta pelbagai persembahan kebudayaan setiap kaum di Malaysia dan lain-lain lagi yang disertai oleh anggota masyarakat. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.
Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali
Setiap kali menjelang hari perayaan, masyarakat melalui pertubuhan atau organisasi seperti JKKK atau NGO mengatur program yang melibatkan seluruh warga masyarakat. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperoleh daripada pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam komuniti tempatan.

Aktiviti Riadah
Seterusnya, kerajaan perlu menggalakkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Agama Islam, Rakan Muda,INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah senamrobik, mencari harta karun, Perarakan Sambutan Maulidur Rasul dan Ma’al Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat dapat berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat-menghormati sesama masyarakat.

KAEDAH DAN LANGKAH YANG BOLEH DI AMBIL DI PERINGKAT SEKOLAH

Sekolah Penyayang
Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Sekolahku Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan bersama ibu bapa pelajar melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan pelajar yang cinta akan sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibu bapa para pelajar.

Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu, namun mereka berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan iaitu pelajar-pelajar dari sekolah ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolah–sekolah lain yang, mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah dan kelompok dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga sekolah dalam program ini adalah sangat baik. Hal ini membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan mesra seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat.

Penyertaan Dalam Kokurikulum
Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam pasukan unit beruniform, persatuan dan kelab, serta permainan dan sukan. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan, persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tertentu semasa mengikuti program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan secara demokrasi dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih daripada pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi secara sihat serta mematuhi peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil daripada penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan dapat membantu dalam usaha memupuk perpaduan sekali gus dapat membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat yang berdisiplin, berharmoni, bersatu padu dan berintegrasi.

Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan
Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulang tahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cinta akan kehidupan bersatu padu dan kestabilan negara.

Lawatan dan ziarah di peringkat sekolah
Sekolah menggalakkan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara, Rumah- rumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan kanak- kanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong, persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan daripada program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberikan kesedaran kepada pelajar peri pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum dan keturunan.

Perkhemahan Bina Insan bagi pelajar sekolah
Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai.

PENUTUP:

Kejeleketan(hubungan yang sangat erat/sinergi) perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak, kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip Rukun Negara. Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi jitu dilaksanakan di negara ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang, penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi dalaman sekolah dan di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warganegara Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat yang bersatu padu secara kolektif(bersama-sama) serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia. Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupunterdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Sumber: Rakan FB

Bahasa Melayu: Tatabahasa


Soalan 3(a)
  1. Bina ayat dengan perkataan yang berikut tanpa menambah atau menggugurkan imbuhan bagi setiap perkataan yang berikut:

(i)                  lebaran
(ii)                lebarkan
(iii)               dilebarkan
(iv)              melebarkan
(v)                perlebar
(vi)              memperlebar

Soalan 3(b)
1. Menganalisis Ayat

Nyatakan jenis ayat di bawah ini sama ada ayat aktif transitif, ayat aktif tak transitif atau ayat pasif.
(i) Baju itu masih belum berjahit lagi.
(ii) Dia suka bergurau.
(iii)Dia keletihan setelah penat bekerja.
(iv)Mereka suka membaca buku.
(v) Dia teringat akan isterinya di hospital.
(vi) Hazami teringat oleh ibunya di kampung.

2. Menukarkan Ayat Aktif kepada Ayat Pasif

Tukarkan ayat-ayat aktif di bawah ini kepada ayat pasif.
(i)                  Beta akan menganugerahi beliau gelaran Datu`.
(ii)                Saya membeli buku itu di kedai koperasi .
(iii)               Kami akan membantu guru pada hari pendaftaran pelajar baharu itu nanti.


3. Menukarkan Ayat Pasif kepada Ayat Aktif

Tukarkan ayat-ayat pasif. di bawah ini kepada ayat aktif
(i)                  Kursus itu akan saya jalani pada minggu depan.
(ii)                Peperiksaan itu akan kami duduki pada bulan Jun nanti.
(iii)               Kita tuntut  kemerdekaan daripada penjajah.

4. Menyambungkan ayat

Sambungkan ayat-ayat tunggal di bawah ini supaya menjadi ayat majmuk.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mewujudkan forum.  Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah mewujudkan forum . Kedua-dua pihak membincangkan langkah untuk menangani gejala samseng .Gejala samseng itu kini menular di sekolah. Pihak polis  sedang membincangkan kaedah terperinci untuk mengekang gejala samseng berkenaan. Pihak Kementerin Pelajaran sedang membincangkan kaedah terperinci untuk mengekang gejala samseng berkenaan.  Dato` Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan sesuatu. Kementerian itu sudah mengenal pasti kumpulan kongsi gelap. Kongsi gelap itu  melakukan kegiatan merekrut pelajar sekolah. Pelajar sekolah menyertai kumpulan terbabit.

5. Memisahkan Ayat

Pisahkan ayat-ayat di bawah ini kepada 4 ayat dengan mengekalkan maksud dan struktur asalnya.

Pasangan suami isteri yang menghadapi tuduhan mengambil deposit secara haram berjumlah RM1.22 juta daripada orang ramai itu telah melantik  peguam bela bagi mengendalikan penggulungan hujah kes mereka di Mahkamah Sesyen pada hari ini.

6.  Menukarkan Ayat Cakap Ajuk kepada Ayat Cakap Pindah

Tukarkan ayat-ayat di bawah ini daripada ayat cakap ajuk kepada ayat cakap pindah.
"Saya dapati kamu telah melakukan satu kesalahan yang amat besar hari ini," Pengetua mula membuat tuduhan terhadap Faizal yang masih terpinga-pinga.
"Tidak Cikgu! Saya tak buat apa-apa kesalahan," Faizal cuba mempertahankan diri.
"Cikgu Aziz pengsan, kamu tahu?" tanya Pengetua.


Soalan 3(c) Kesalahan ejaan dan imbuhan

Dalam ayat-ayat di bawah ini, terdapat dua penggunaan ejaan  dan imbuhan yang salah. Kenal pasti kesalahan-kesalahan tersebut dan betulkannya  dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
i. Percikkan bunga api itu dilihat sungguh indah pada malam sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
ii. Zarul Amin berbaring keletihan setelah pulang daripada menjaja ais krim.
iii. Saya tidak dapat dengar apa-apa  yang diperkatakan oleh Salmah kerana suasana hangar bingar.

Soalan 3(d) Kesalahan kata/istilah dan bahasa
Dalam setiap ayat di bawah, terdapat dua  kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti  kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula  tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i)                  Kontingen negara akan menghantar satu pasukan peninju muda yang paling handal sekali di negara kita dalam kejohonan tinju peringkat amatur di Bangkok, Thailand .
(ii)                Petunjuk-petunjuk perasaan yang menentang campur tangan Amerika di negara Iraq itu sedang berarak di jalan raya-jalan raya di seluruh negara.
(iii)               Penyanyi yang menagih dadah itu akan diletakkan di bawah perhatian pihak polis selama dua setengah tahun.

Soalan 3(e) Peribahasa
1.Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini.

Hidupnya begitu sukar untuk diteruskan kerana dia terpaksa bekerja pada setiap masa untuk sesuap nasi. Untuk meneruskan kehidupan, dia terpaksa bekerja kerana tanpa usaha rezeki tidak akan menjelma. Apabila sudah mendapat rezeki, dia perlu berusaha dengan lebih gigih lagi kerana rezeki yang sedikit tidak akan menjadi banyak atau bertambah jika dia tidak melipatgandakan usaha.
 [ 6 markah ]

2. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam ayat-ayat ini.

(i)                  “Saya yakin bahawa kamu akan berjaya kerana jika kamu berusaha dengan bersungguh-sungguh kejayaan sudah pasti menjadi milik kamu.” Kata Cikgu Haris kepada Wati.
(ii)                Kita hendaklah berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi negara yang tercinta ini.
(iii)               Dia terpaksa berada di perantauan untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya.
 [ 6 markah ]

Soalan Contoh 3
Bina ayat berdasarkan peribahasa yang diberikan di bawah ini.
(i)                  Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.
(ii)                Tak lapuk dek hujan dan  tak lekang dek panas.
(iii)               Indah khabar daripada rupa
[ 6 markah ]

Soalan Contoh 4

Isi tempat kosong di bawah ini dengan peribahasa yang sesuai.
(i)                  Orang yang selalu mengikut kemahuan orang lain.          _____________________________________________.
(ii)                Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.         ______________________________________________ .
(iii)               Sesuatu perkara yang muncul terlalu banyak pada sesuatu masa.  ________________________________________________ .
[ 6 markah ]

Soalan Contoh 5

Berikan  maksud setiap peribahasa  di bawah ini.
(i) Bulat air kerana  pembetung,bulat manusia  kerana muafakat
(ii) Bagai kaca terhempas ke batu.
(iii)Lintah darat
[ 6 markah ]

Nyatakan jenis kata bagi perkataan yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas.

(i) Mereka berbicara tentang bioteknologi.
(ii) Kami telah menyaksikan perlawanan yang hebat pada malam itu.
(iii) Guru menghadiahi kami sebuah buku cerita.
(iv) Kami sekeluarga berada dalam keadaan sihat.
(v) Hadiah ini disediakan untuk ibuku yang tersayang.
(vi) Dia bimbang akan keadaan ibunya yang masih belum sedar.


Panduan untuk Mengenal Jenis Kata
Terdapat panduan atau rumus untuk mengenal jenis kata. Untuk mengenal kata nama, kata itu dapat didampingkan dengan kata bilangan. Sebagai contoh, pen ialah kata nama kerana dapat didampingkan dengan kata bilangan, iaitu lima batang pen (/). Cantik pula bukan kata nama kerana tidak dapat didampingkan dengan kata bilangan, iaitu lima batang cantik (x). Untuk mengenal kata adjektif, kata itu dapat didampingkan dengan kata penguat. Sebagai contoh, cantik ialah kata adjektif kerana kata ini dapat didampingkan dengan kata penguat, iaitu, sangat cantik (/), manakala pen bukan kata adjektif kerana kata ini tidak dapat didampingkan dengan kata penguat, iaitu sangat pen (x). Untuk mengenal kata kerja, kata kerja tidak dapat didampingi kata penguat dan kata bilangan tetapi dapat didampingi kata bantu. Kata tidur ialah kata kerja kerana dapat didampingi kata bantu. Sebagai contoh, sedang tidur (/), sangat tidur (x), lima buah tidur (x). Untuk mengenal kata tugas pula, kata tugas tidak dapat didampingkan dengan kata penguat, kata bilangan atau kata bantu. Kata untuk ialah kata tugas kerana kata ini tidak dapat didampingi ketiga-tiga kata tersebut. Sebagai contoh, sangat untuk(x), lima buah untuk(x) atau telah untuk(x).

Nyatakan jenis frasa yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada Frasa Nama, Frasa Kerja, atau Frasa Sendi Nama.

(i) Mereka berkelah di tepi sungai.
(ii) Pemuda itu kehujanan ketika pulang dari pejabat.
(iii) Saya ke Hotel Nikko pada petang esok.
(iv) Ibu saya akan pergi ke Mekah pada tahun ini.
(v) Jika mereka ada, saya pun ada.
(vi) Beliau amat gembira apabila memenangi Anugerah Tinta Kencana 2004.

Panduan untuk Mengenal jenis frasa
Untuk mengenal frasa dalam bahasa Melayu, kita mestilah mengenal kepala frasa. Dalam bahasa Melayu, hanya kata nama, kata kerja, kata adjektif sahaja yang boleh menjadi kepala frasa. Kata tugas tidak boleh menjadi kepala frasa kecuali kata sendi nama yang membentuk Frasa Sendi. Jika kata kerja mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa kerja. Sebagai contohnya, berbicara tentang perkara itu, akan mengadakan kursus, tinggal di kampung dan sebagainya. Jika kata nama mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa nama. Sebagai contohnya, mereka, anak mereka, lelaki yang berjambang itu, dan sebagainya. Jika kata sendi nama mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa sendi nama. Sebagai contohnya, untuk abang, di Kuala Lumpur dan sebagainya. Dalam bahasa Melayu, frasa boleh terdiri daripada satu perkataan atau lebih.
Nyatakan jenis-jenis ayat di bawah ini sama ada ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan, atau ayat perintah. (SPM JUN 2004)

(i) Siapakah pemuda yang sedang berdiri di tepi jalan itu?
(ii) Dia bertanya kepada saya tentang perkara itu.
(iii) Oh, cantik sungguh bunga-bunga di taman itu!
(iv) Jangan merokok di dalam kawasan sekolah.
(v) Dia menulis cerpen itu?
(vi) Pengetua menanyai pelajar itu tentang ketidakhadirannya semalam.