Tajuk : Langkah-langkah untuk Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan
Awam
Zaman beralih, musim bertukar, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang akan menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan Terbitkan Catatan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses pelaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne yang penumpangnya hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur perjalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali.
Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan penggunaan perkhidmatan KTM oleh rakyat di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan penggunaan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kualiti pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan penumpang secara keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kualiti perkhidmatan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengangkutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk menambat semula keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.
Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluas dalam pengangkutan awam seperti komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terkini dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi cita rasa rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan bayaran yang minimum. Manifestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menggalakkan para penumpang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanamkan konsep yang mendalam dalam minda pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja didedahkan kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberikan kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka. Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam secara mendalam kepada mereka.
Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
TEMA 4 : HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG SEMAKIN RENGGANG – USAHA-
USAHA MERAPATKANNYA
Tajuk 1 : Rencana ‐ Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang (Kesan, faktor dan usaha)
Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang
Oleh Zaidora Zahid
Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami transformasi daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan kemewahan, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar umbi sejak dahulu lagi. Keluarga boleh ditakrifkan sebagai satu institusi yang terdiri daripada orang‐orang yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan moyang yang sama. Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga nukleus dan keluarga besar. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak serta adik. Keluarga besar pula terdiri daripada keluarga nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir ini, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dan bobrokkian menggamit perhatian semua pihak.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mampu menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan daripada kemelut ini ialah kegagalan ahli keluarga dalam memahami serta saling menghormati antara ahli keluarga sendiri. Hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dapat dilihat dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok. Sebagai contoh, keratan akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan orang lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden yang amat menyedihkan dam memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan semakin renggang, ahli‐ahli keluarga akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dan saling bertukar fikiran. Hal ini demikian kerana hubungan yang renggang ini telah memusnahkan jalinan kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu, ahli‐ahli keluarga tidak memahami antara satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan faham mudah berlaku. Kejadian ini akan mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahli‐ahli keluarga bermusuhan sesama sendiri.
Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada masalah pengabaian ahli‐ahli keluarga khususnya golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan warga emas yang uzur dan pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi asing kepada masyarakat metropolitan khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden pada hari ini beranggapan bahawa golongan warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka. Oleh itu, mereka bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan uzur ke rumah orang tua‐tua. Mereka langsung tidak memahami perasaan ibu bapa mereka yang terasa diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula golongan ibu bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya bertindak membuang bayi mereka ke dalam tong sampah mahupun meletakkannya di tepi jalan dan di kaki lima. Perbuatan yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu bapa tidak bersedia dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk membela seorang bayi. Angkara mengabaikan ahli keluarga khususnya warga emas merupakan senario yang amat memalukan. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.
Peribahasa Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin yang bertiup. Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu sendiri. Isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang kian hangat diperdebatkan oleh media massa. Memang tidak dapat dinafikan bahawasikap ibu bapa yang individualistik dan materialistik merupakan pemangkin utama kepada kemelut ini. Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Mereka turut beranggapan bahawa kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai status sosial mahupun kemampuan individu dalam masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama sekali kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi semua insan di seantero marcapada. Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat ditukar beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih mementingkan kerjaya semata‐mata untuk kepuasan dan keselesaan diri sendiri telah mengabaikan anak‐anak mereka dan menggantikan kasih sayang dengan sogokan wang ringgit. Anak‐anak ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan meluahkan segala isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu mereka. Bertitik‐tolak dari sinilah, gejala sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya. Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru haruslah ditangani dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik, sistematik dan konkrit haruslah diambil secara berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih banyak meluangkan masa untuk keluarga. Masa yang diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sebaik‐baiknya, segala konflik atau masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-sama. Tambahan pula, ahli‐ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai hari keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama‐sama tanpa gangguan aktiviti lain seperti mesyuarat dan aktiviti kokurikulum.
Selain itu, ahli‐ahli keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada didikan agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng mengenai didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (1989), subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah diperkenalkan. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai‐nilai murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam menghargai dan mencintai keluarga. Namun demikian, pelajar mutakhir ini hanya menganggap bahawa subjek‐subjek ini lebih berorientasikan peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan erti kata yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu praktikal. Jadi, pihak sekolah dan pelajar haruslah berganding bahu sama ada dalam memberikan kesedaran tentang kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan kekeluargaan agar pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.
Sebagai intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua pihak. Penerapan nilai‐nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak‐anak muda haruslah dilakukan sejak dari usia yang muda lagi. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya dijadikan azimat demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya golongan muda haruslah diberikan kesedaran mengenai keperluan sebuah institusi keluarga yang harmonis. Remaja merupakan pemangkin dan pelopor kepada kepimpinan negara kelak. Merekalah bakal pemimpin dan akan mengetuai pucuk pimpinan negara kelak. Tambahan pula, remaja haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral supaya hubungan kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita menjangkau sehabis tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini. Janganlah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari segi kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang bukanlah masanya untuk menopang dagu dan menuding jari. Misi dan visi rakyat jelata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan terkemuka di seantero marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan pemimpin negara kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga yang sempurna. Pendek kata, segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara haruslah berganding bahu dalam menangani kemelut hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku Syurgaku” sebagai tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Jangan jadikan rumah sebagai lembah pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang menimbulkan suasana yang tegang.
TEMA 6 : KEMALANGAN JALAN RAYA – FAKTOR / USAHA
Tajuk : Usaha Menangani Kemalangan Jalan Raya
Isu nahas atau kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah negara yang sering menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya yang banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja satu kerugian kepada keluarga mangsa dan rakan-rakannya, tetapi kerugian modal insan yang besar kepada negara. Setiap nyawa yang hilang akibat kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan persekolahan, peperiksaan dan latihanpekerjaan. Oleh itu, prakarsa yang pragmatik haruslah dilaksanakan dengan drastik, efektif bagi mengekang kadar kemalangan jalan raya yang saban tahun semakin meningkat.
Sebenarnya pelbagai modus operandi telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran dan termasuk penguatkuasaan dijalankan merupakan antara prakarsa kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya. Ops Sikap yang telah diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini misalnya lebih menumpukan kepada sikap pengguna jalan raya yang menjadi faktor kemalangan dan peningkatan kadar kematian di jalan raya terutamanya pada musim perayaan. Namun, perkara yang masih membimbangkan ialah banyak jumlah kemalangan dicatatkan dan nahas jalan raya kini menjadi ancaman nombor satu di Malaysia yang semakin menggawatkan lebih-lebih lagi dengan penambahan jumlah kenderaan saban tahun. Angka kematian bukan sahaja tidak pernah menurun malah pemandu-pemandu semakin rakus menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba selain, mengambil kesempatan menguji kemampuan kenderaan masing-masing memecut.
Usaha mensifarkan kemalangan jalan raya bukanlah impian pihak kerajaan semata-mata. "Tiada apa yang mustahil di dalam dunia ini." Ungkapan kata ini sangat sinonim dengan sesiapa sahaja yang bertekad untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan. Hal ini juga seolah-olahnya merupakan kenyataan beramaran bahawa sekiranya seseorang mahukan sesuatu, mereka akan melakukan apa-apa sahaja. Manusia, sekiranya dalam keadaan terpaksa boleh melakukan sesuatu yang luar biasa. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan bahawa kerajaan tidak mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil. Menurutnya, keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi nyawa yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya, takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan, Anda Mampu Mengubahnya memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Enam belas menara pemerhati polis beroperasi di seluruh Negara bermula penghujung Jun tahun ini dalam usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut. Dengan kehadiran polis trafik yang dapat dilihat dari jarak jauh oleh pengguna jalan raya di semua menara berkenaan akan memberikan kesedaran dan mengingatkan pengguna supaya memandu dengan lebih berhemah dan bertimbang rasa. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengatakan bahawa tiga buah menara itu yang dibina oleh Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad sebelum ini telah terbukti keberkesannya. Manakala, Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) dapat membantu memberikan kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi berkesan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Selain usaha pihak kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang paling tepat untuk dilaksanakan ialah melalui pendidikan. Tidak ada yang tidak kena dengan kempen atau ops yang dilancarkan setakat ini, cuma pemandu di Malaysia ini perlu diberikan pendidikan, barangkali seawal mungkin. Melalui pendidikan sahaja, sikap pemandu di Malaysia ini berupaya diperbetul. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih akan dapat membantu memberikan kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi. Begitu juga dengan terlaksananya program keselamatan jalan raya melalui komuniti yang membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan profesional, sukarelawan dan belia juga diharapkan akan menjadi pemangkin bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh warganegara.
Analisis dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain merupakan punca peningkatan kemalangan. Dengan kata lain, pemandu secara umumnya hanya mematuhi peraturan atau bersikap hipokrit apabila ada kelibat polis dan bukan kerana sikap untuk keselamatan jalan raya. Peraturan jalan raya sepatutnya dipatuhi atas dasar sedar tentang kebaikannya dan bukan takut daripada disaman pihak berkuasa. Sebenarnya, kesediaan untuk mematuhi peraturan, arahan, dan barisan tidak memerlukan kita berpendidikan tinggi dan tidak pula menjatuhkan apa-apa juga nilai baik yang ada dalam diri kita. Kempen Keselamatan Jalan Raya bukanlah untuk menyusahkan tetapi memberikan faedah kepada pengguna. Segala peraturan jalan raya, serta papan-papan tanda amaran adalah sebagai panduan bagi memelihara keselamatan jalan raya untuk semua pemandu.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini mahu kaedah pemberian mata 'demerit' kepada pesalah jalan raya dihidupkan semulabagi memastikan pemandu kenderaan yang banyak menerima saman disenaraihitamkan. Sistem tersebut berupaya beroperasi dengan baik sekiranya diselenggarakan dengan betul. Malah, kaedah pemberian mata 'demerit' itu mampu mengurangkan masalah kemalangan jalan raya kerana lesen pemandu yang kerap melakukan kesalahan jalan raya tidak dibenarkan diperbaharui. Pada awal tahun ini, PDRM meminta supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghidupkan kembali kaedah pemberian mata "demerit" kepada pesalah jalan raya bagi membendung jumlah kemalangan maut yang semakin serius sehingga mencecah 6,000 kematian setiap tahun dan mengakibatkan negara kerugian kira-kira RM9 bilion setiap tahun. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman ketika itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) II Nooryah Md. Anuar memberitahu, sistem pemberian mata demerit bagi setiap kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu itu terbukti mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Melalui kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya (KEJARA) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan dikira. Selagi JPJ tidak menghidupkan semula sistem itu, pihaknya tidak dapat menguatkuasakan penggunaan kaedah berkenaan yang dilihat sebagai kaedah terbaik menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya. Menurutnya di Paris, jumlah kematian akibat kemalangan hanya 50 orang setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit berkesan dalam mengurangkanjumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan.
Pemasangan Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang antaranya berfungsi sebagai perangkap had laju dan merakamkan pelbagai kesalahan trafik akan dipasang di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan sekitar Kuala Lumpur, serta Shah Alam. Pemasangan kamera itu yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga 2010. Di bawah fasa pertama dan kedua,Unit Kamera Pengawasan Bergerak telah diwujudkan untuk memantau pemandu dan pengguna jalan raya yang memandu dengan laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. Di bawah fasa ketiga, kamera pengawasan akan mengawasi aspek kesalahan lalu lintas yang lain seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan. Pemasangan sistem yang dilaksanakan oleh JPJ itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan sebagai bukti pendakwaan. AES ialah antara empat projek yang dicadangkan kementerian itu di bawah Pelan Induk Keselamatan Jalan Raya selama lima tahun (2006-2010). Projek lain pula membabitkan program dalam pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, dan perlindungan alam sekitar. AES akan diletakkan di lorong-lorong kenderaan awam di Kuala Lumpur, lampu-lampu isyarat di seluruh Shah Alam dan juga di kawalan perangkap had laju di Lebuh Raya Utara Selatan. Melalui AES, kamera mengawasi setiap pergerakan kenderaan dan mencatat kelajuan dan maklumat itu dihubungkan ke pusat kawalan untuk mengenal pasti kenderaan yang melakukan kesalahan lain lintas. Anggota JPJ yang bertugas di pusat kawalan itu nanti akan memproses gambar yang diterima itu bagi mengenal pasti identiti dan alamat pemandu. Sistem itu terbukti berkesan dalam mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas itu. Negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Eropah, China, dan Korea Selatan telah lama menggunakan sistem ini dalam usaha mendisiplinkan pemandu dan pengguna.
Secara tuntas, pihak polis atau penguat kuasa memang sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk mengekang kemalangan daripada terus bertambah. Namun, soal keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab setiap individu sebagai pengguna jalan raya dan bukannya tanggungjawab pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata. Pengguna perlu menganggap sasaran menurunkan statistik kemalangan jalan raya ke peringkat sifar merupakan satu tuntutan sosial. Usaha mensifarkan nahas jalan raya tidak kira sama ada sempena perayaan mahupun di luar musim perayaan bukanlah suatu perkara yang mustahil. Tegasnya, setiap pengguna haruslah mempunyai komitmen yang perlu ditunaikan setiap kali berada di jalan raya.
[1 361 patah kata]
TEMA 7 : PERPADUAN – PERANAN PELBAGAI PIHAK
Tajuk 1 : Kaedah Dan Langkah Yang Telah Diambil Oleh Pihak Kerajaan Dalam Menyuburkan
Integrasi Dan Perpaduan Di Malaysia
PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin partipembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi(perbuatan /ucapan yang memperlihatkan sesuatu(menjadi nyata)perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum. Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar (Ekonomi Baru. Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.
Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perpaduan Negara
Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.” Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistempeperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar. Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran
Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan
Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-
sifat mulia serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati
sesama manusia.
Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah
Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang
Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri
pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau
menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun
Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan
tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000
yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun
Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya
golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan
yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.
USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN DI PERINGKAT MASYARAKAT SETEMPAT
Program Pemuafakatan Masyarakat
Program pemuafakatan antara masyarakat setempat boleh diadakan melalui program- program ilmiah seperti ceramah motivasi, aktiviti keagamaan, makan beradab, gotong royong, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Hari Keluarga dan Sukan Rakyat
Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga masyarakat.
Acara kebudayaan dan kesenian
Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan tradisi, boria, dikir barat, tarian singa, tarian bharathanatiyam, tarian bhangra serta pelbagai persembahan kebudayaan setiap kaum di Malaysia dan lain-lain lagi yang disertai oleh anggota masyarakat. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.
Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali
Setiap kali menjelang hari perayaan, masyarakat melalui pertubuhan atau organisasi seperti JKKK atau NGO mengatur program yang melibatkan seluruh warga masyarakat. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperoleh daripada pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam komuniti tempatan.
Aktiviti Riadah
Seterusnya, kerajaan perlu menggalakkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Agama Islam, Rakan Muda,INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah senamrobik, mencari harta karun, Perarakan Sambutan Maulidur Rasul dan Ma’al Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat dapat berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat-menghormati sesama masyarakat.
KAEDAH DAN LANGKAH YANG BOLEH DI AMBIL DI PERINGKAT SEKOLAH
Sekolah Penyayang
Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Sekolahku Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan bersama ibu bapa pelajar melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan pelajar yang cinta akan sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibu bapa para pelajar.
Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu, namun mereka berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan iaitu pelajar-pelajar dari sekolah ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolah–sekolah lain yang, mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah dan kelompok dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga sekolah dalam program ini adalah sangat baik. Hal ini membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan mesra seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat.
Penyertaan Dalam Kokurikulum
Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam pasukan unit beruniform, persatuan dan kelab, serta permainan dan sukan. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan, persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tertentu semasa mengikuti program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan secara demokrasi dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih daripada pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi secara sihat serta mematuhi peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil daripada penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan dapat membantu dalam usaha memupuk perpaduan sekali gus dapat membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat yang berdisiplin, berharmoni, bersatu padu dan berintegrasi.
Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan
Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulang tahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cinta akan kehidupan bersatu padu dan kestabilan negara.
Lawatan dan ziarah di peringkat sekolah
Sekolah menggalakkan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara, Rumah- rumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan kanak- kanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong, persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan daripada program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberikan kesedaran kepada pelajar peri pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum dan keturunan.
Perkhemahan Bina Insan bagi pelajar sekolah
Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai.
PENUTUP:
Kejeleketan(hubungan yang sangat erat/sinergi) perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak, kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip Rukun Negara. Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi jitu dilaksanakan di negara ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang, penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi dalaman sekolah dan di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warganegara Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat yang bersatu padu secara kolektif(bersama-sama) serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia. Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupunterdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Sumber: Rakan FB
Sumber: Rakan FB
No comments:
Post a Comment