MOGA DAPAT DIJADIKAN PANDUAN/SUMBER PENGETAHUAN MENJELANG PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM NANTI
PERANAN PELBAGAI PIHAK MEMBANTU OKU
Sebagai warganegara Malaysia, rakyat dikehendaki menghayati dan mempraktikkan prinsip-prinsip Rukun Negara untuk memupuk semangat perpaduan. Rukun Negara diperkenalkan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia supaya mereka saling menghormati, membantu, memahami dan bekerjasama. Dengan ini, sebuah masyarakat penyayang dapat diwujudkan. Walau bagaimanapun, masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan sekiranya masyarakat yang bersifat individualistik dan materialistik masih wujud dalam jiwa mereka. Mereka tidak sanggup menghulurkan bantuan kepada golongan yang lemah dan bersikap mementingkan diri sendiri sepertienau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Hal ini jelas diperlihatkan dalam isu Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini. Terdapat sebahagian masyarakat memandang rendah orang kurang upaya dan menganggap mereka tidak mampu memberikan jasa, sumbangan dan perkhidmatan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sebenarnya, ramai orang kurang upaya hanya mempunyai kecacatan dari segi fizikal , akal mereka masih sempurna dan dapat berfikir dengan matang. Mereka masih berupaya dan berkemampuan menyumbang jasa dalam pembangunan negara. Namun, kemampuan mereka telah dinafikan oleh masyarakat. Mereka tidak mempunyai peluang untuk membuktikan keupayaan mereka. Persoalannya, mengapakah langkah-langkah yang diambil untuk menjaga kebajikan serta kedudukan sosial OKU dalam masyarakat cuma bagai mencurahkan air ke daun keladi atau menampal kersik ke buluh? Walaupun kempen demi kempen terus dianjurkan namun, kebajikan golongan OKU tetap diabaikan. Dalam hal ini, siapakah yang harus disalahkan? Sikap menuding jaritidak akan menguntungkan sesiapa melainkan menambahburukkan situasi yang semakin parah. Oleh sebab itu, setiap pihak harus memainkan peranan masing-masing danmenjangkau sehabis tangan dalam melaksanakan prakarsa-prakarsa yang pragmatik lagi efektif bagi membantu golongan OKU.
Sebagai mukadimah perbincangan, saya akan memfokuskan perbincangan saya secara mendalam dan menyeluruh lagi objektif dengan menyelami, membedah siasat dan mendiagnosis cara-cara yang dapat dilaksanakan untuk membantu golongan OKU dari perspektif peranan yang dimainkan oleh ibu bapa. Umum mengetahui bahawa setiap ibu bapa berharap anak-anak mereka sihat supaya kehidupan mereka lebih sempurna dan gembira. Namun, hakikat adalah berlawanan daripada apa-apa yang diharapkan kerana terdapat ibu bapa yang mendapat anak yang cacat dari segi fizikal. Dalam kalangan ibu bapa ini, terdapat segelintir ibu bapa sampai hati untuk meninggalkan anak kandung mereka di rumah anak yatim ataupun di rumah kebajikan. Malahan, terdapat ibu bapa yang mengurungkan anak mereka di dalam bilik kerana malu memiliki anak yang cacat. Mereka juga tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana menganggap anak mereka tidak mampu menerima pelajaran di sekolah. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa anak-anak merupakan anugerah yang terbaik dikurniakan oleh Tuhan kepada ibu bapa. Jadi, di bahu ibu bapa tergalas amanah yang sangat besar untuk memastikan anak-anak mempunyai kehidupan yang bahagia tanpa mengira anak itu cacat atau sempurna. Sebagai ibu bapa, mereka patut melindungi anak yang kurang upaya dan menghantar mereka ke sekolah untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya mereka boleh berdikari dan menyara kehidupan pada masa akan datang. Selain itu, ibu bapa juga patut menghantar anak-anak kurang upaya ke sekolah atau kolej yang menawarkan kursus kemahiran agar mereka mempunyai kemahiran untuk kerjaya masa depan mereka. Bagi ibu bapa yang memiliki anak yang sihat, mereka tidak boleh bersifat berpeluk tubuh malah seharusnya menghulurkan bantuan kepada OKU. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka supaya bersimpati akan nasib malang yang menimpa OKU. Ibu bapa sepatutnya bersedia membantu golongan OKU tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang. Sekiranya ibu bapa terjumpa orang buta melintas jalan raya, ibu bapa hendaklah membantu mereka agar mereka dapat melintas jalan raya dengan selamat. Daripada peristiwa itu, ibu bapa telah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Bak kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak umpama sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan menggilap dan mencanainya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilat. Pada masa lapang, ibu bapa boleh membawa anak mereka pergi ke pusat kebajikan untuk melakukan kerja amal bagi membantu OKU. Dengan melakukan kerja-kerja amal, ibu bapa dan anak-anak dapat membantu OKU di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga persis peribahasa sambil menyelam minum air.
Jika kita bersedia memerah otak dan berikhtar berhempas pulas, jalan penyelesaian yang berkesan tentu ada dan tentu bukan satu sahaja kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pihak kerajaan harus melakukan sesuatu untuk membantu OKU. Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Pusat Kebajikan Masyarakat pada tahun 2009 menunjukkan bahawa kadar kemiskinan semakin meningkat disebabkan tiang keluarga tidak dapat bekerja dan mencari rezeki akibat cacat. Oleh hal yang demikian, kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan tabung bagi membantu keluarga yang miskin malahan perlu menyediakan tabung untuk keluarga yang mempunyai ahli yang cacat supaya dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Tidak dapat menafikan bahawa pertambahan rumah setinggan di negara kita disebabkan oleh cara penyelesaian yang tidak sempurna. Ada angin ada pokoknya, kebanyakan golongan OKU tidak mendapat peluang pekerjaan dan menganggur dalam jangka masa yang panjang malah mereka juga tidak mampu membiayai perbelanjaan perubatan yang besar. Sekelompok daripada mereka tidak mempunyai tempat perlindungan. Dalam konteks ini, pihak kerajaan sepatutnya mewujudkan kebajikan perubatan kepada OKU supaya mereka mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan atau di pusat kesihatan kerajaan. Pihak hospital swasta juga harus bertimbang rasa dengan memberikan keistimewaan kepada golongan OKU melalui pemberian diskaun. Perkhidmatan Kebajikan Am dan Jabatan Kesihatan Negeri harus melipatgandakan usaha mendaftarkan OKU melalui bantuan alat-alat pemulihan seperti kerusi roda dan menyediakan latihan perusahaan dan vokasional. Kerajaan harus memperbanyakkan rumah murah dan memberikan keutamaan kepada mereka supaya mereka dapat membeli rumah dengan kos yang rendah. Pihak kerajaan harus mengalakkan golongan OKU belajar di sekolah teknik yang boleh membekalkan mereka ilmu kemahiran seperti kemahiran menghasilkan kraf tangan. Secara tidak langsung, pengusaha kraf tangan tidak perlu bimbang lagi bahawa tiada generasi muda yang ingin mewarisi malah kemahiran ini akan diwarisi serta dipelajari oleh generasi akan datang. Pihak kerajaan patut menganugerahkan penghargaan seperti pingat dan sijil kepada golongan OKU yang berjaya dan berjasa dalam sesuatu bidang. Agensi-agensi Bukan Kerajaan (NGO) secara sukarela hendaklah menyediakan beberapa kemudahan bagi OKU seperti penubuhan Persatuan Kusta dan Rumah Amal Cheshire yang sejajar dengan cogan kata ‘’Kebajikan Adalah Tanggungjawab Bersama’’. Pihak kerajaan tidak harus mengamalkan sikap memekakkan telinga yang tajam, menutup mata yang celik dan membutakan hati yang insaf dalam peranan membantu OKU.
Sebagaimana kita maklum, media massa juga memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu golongan OKU. Media massa merupakan wahana yang dominan dalam mempengaruhi minda seseorang dengan cepat dan berkesan. Generasi kini terutamanya golongan remaja tidak dapat menjauhkan diri daripada pengaruh media massa. Media massa telah berkembang dengan pesat dan bilangannya tumbuh dengan begitu cepat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Media massa terbahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Media massa merupakan pihak yang dapat memberikan maklumat lanjut tentang golongan OKU dan cara untuk membantu mereka. Media cetak merupakan media yang menggunakan kaedah tulisan seperti surat khabar, majalah dan buku. Media elektronik pula merupakan media yang menggunakan teknologi terkini yang menggunakan kaedah elektronik dan elektrik seperti radio, televisyen dan internet. Media massa harus menekankan keprihatinan masyarakat terhadap golongan OKU dan menghormati mereka sebagai insan ciptaan Tuhan. Iklan yang berkaitan dengan sumbangan yang perlu diberikan oleh golongan OKU harus diuar-uarkan supaya semua masyarakat mengetahui dan menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan. Media massa juga boleh bertindak dengan menyeru masyarakat memberikan sumbangan kepada golongan OKU yang memerlukan bantuan dari segi kewangan. Masyarakat harus diberitahu bahawa golongan OKU berhak mendapat peluang pendidikan dan juga bersosial dengan masyarakat serta tidak dipisahkan daripada aktiviti kemasyarakatan. Masyarakat harus memberikan layanan yang saksama kepada golongan OKU. Artis-artis tempatan yang terkenal sepatutnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada golongan OKU dengan menyeru masyarakat memberikan perhatian dan sokongan kepada OKU dengan menggunakan pengaruh mereka yang kuat terhadap masyarakat. Media massa harus bekerjasama bagai aur dengan tebing bersama-sama artis-artis tempatan menekankan bahawa kecacatan bukan penghalang dalam memberikan sumbangan yang bermakna kepada produktiviti dan kemajuan negara. Banyak individu cemerlang telah berjaya meningkatkan nama baik negara dalam aspek sukan, pertandingan dan juga keputusan yang baik walaupun mereka mempunyai kecacatan dari aspek fizikal.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa remaja sekarang tidak mempunyai pegangan agama dan didikan moral yang kuat. Hal ini menyebabkan mereka memandang rendah terdapat sesiapa yang lemah daripada mereka terutamanya golongan kurang upaya yang cacat dari segi fizikal. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri remaja. Dalam hal ini, pihak sekolah yang bertanggungjawab mendedahkan nilai murni kepada pelajar. Dengan mempunyai nilai murni yang baik, remaja generasi kini akan mempunyai kesedaran untuk menghormati hak golongan OKU. Remaja haruslah dididik oleh pihak sekolah tentang kesusahan yang dialami oleh OKU dan mereka sepatutnya menghulurkan bantuan dan tidak harus menghina mereka lagi. Hal ini adalah kerana golongan OKU juga merupakan makhluk yang diberi peluang untuk menjalani kehidupan biasa seperti manusia normal. Didikan agama juga sering mengajar manusia agar berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira paras rupa, bentuk badan mereka sama ada mereka normal atau sebaliknya. Setiap individu memerlukan pengiktirafan daripada masyarakat bahawa mereka masih diterima oleh semua orang. Guru sendiri harus memainkan peranan yang penting dengan menjadi teladan baik kepada pelajar seperti membantu pelajar yang cacat dan memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka. Pelajar digalakkan membantu rakan mereka yang cacat semasa mereka dalam kesusahan supaya mereka tidak berasa tersisih. Guru harus memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua pelajar. Pihak sekolah sepatutnya menyediakan kemudahan khas untuk pelajar kurang upaya seperti tandas khas. Perlindungan juga harus diberi dalam bentuk biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar kurang upaya. Tindakan sedemikian adalah untuk menggalakkan mereka terus berusaha dan bersemangat gigih serta memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran pada masa akan datang. Melalui sekolah yang merupakan rumah kedua pelajar, pelajar akan menghormati golongan OKU dengan sepenuh hati. Hari Orang-orang Cacat Sedunia boleh dianjurkan oleh pihak sekolah bagi mengiktirafkan sumbangan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara. Pelajar harus diberi kesedaran tentang pentingnya menghormati hak-hak golongan OKU.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak harus bekerjasama untuk memberikan kesedaran kepada semua masyarakat tentang golongan OKU dan cara untuk membantu mereka. Golongan OKU harus dihormati dan dipandang tinggi kerana mereka mampu mencapai kecemerlangan yang tinggi walaupun cacat. Sejarah telah membuktikan bahawa kecacatan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup dan menyumbang bakti kepada pembangunan masyarakat dan negara. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah Beethoven yang merupakan seorang pemuzik terkenal yang cacat pendengaran serta Professor Ismail bin Mohd.Salleh yang cacat penglihatan tetapi mendapat kejayaan dalam bidang akademik . Masyarakat dan pihak lain harus memberi galakan kepada golongan OKU supaya mereka akan terus berusaha dalam bidang yang diminati sehingga mencapai kejayaan kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. PBB juga telah mengiytiharkan sumbangan golongan OKU yang termaktub dalam Hak Orang Kurang Upaya 1975. Mereka mendapat hak serasi dengan semua manusia. Masyarakat harus menghargai golongan OKU dengan memahami mereka kerana kelahiran, keturunan, kemalangan atau penyakit menyebabkan kita lebih faham dan berasa bersyukur kepada Tuhan tentang diri sendiri. Golongan OKU harus diberi penghargaan dan diumumkan kejayaan oleh pihak kerajaan sebagai satu simbol kejayaan dan semangat dedikasi mereka dalam pembangunan negara. Janganlah menghina golongan OKU ini memandangkan mereka juga mempunyai ciri-ciri keperibadian yang istimewa. Marilah kita bersama membantu golongan OKU dan bersama-sama menyahut seruan kerajaan dengan mencapai Wawasan 2020 yang bertujuan untuk mewujudkan kelompok masyarakat yang sama taraf dan bantu-membantu.
SOALAN 5:
Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis.
Sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.
Format : Tiada
Pendahuluan:
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas – warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi – kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara – Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa – remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita
Isi-isi:
(a) Sebagai remaja, saya akan melibatkan diri secara aktif dalam persatuan atau kelab permainan tradisional – menyertai aktiviti dalam kelab tersebut – saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia – tak kenal maka tak cinta – menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita – warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
(b) Anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya – kita akan memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang banyak daripada amalan tersebut – kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut – anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur – pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial – warisan dan amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga – tidak menconteng arang di muka ibu bapa kita
(c) Golongan pelajar seperti saya sewajarnya memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional – pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya – memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan – pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional – bangga jika busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia – harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang
(d) Kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaan makanan tradisional – Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini – nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya – makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda
(e) Peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka – golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan yang baik kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia – membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau – mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita - menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka
Penutup:
Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan – arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar – warisan kita tanggungjawab kita – kita harus mengekalkan warisan nenek moyang kita –menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain – Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!
Anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk "Rumahku Syurgaku" untuk dimuatkan dalam ruangan akhbar tempatan.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Format : Rencana
Pendahuluan:
Rumahku, syurgaku – menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam kehidupan seseorang – keluarga bahagia – ciri-ciri yang harus ada pada sesebuah keluarga bahagia – setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia
Isi-isi:
(a) Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya.”
(b) Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti menatang minyak yang penuh. Didikan agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti kapal tanpa nakhoda.
(c) Ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim.
(d) Anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita? Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa.
(e) Ahli-ahli keluarga saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Penutup:
Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia memerlukan banyak unsur juga seperti kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya. Semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Keluarga bahagia dapat menjamin kemakmuran negara dan dapat menjana kemajuan negara.
Banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan kes gejala sosial dalam kalangan remaja. Sebagai remaja yang berwawasan, apakah yang akan anda lakukan untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah gejala sosial ini.
Pujangga pernah mengatakan bahawa generasi berwawasan pemangkin pembangunan negara sememangnya kata-kata ini tidak dapat disangkal lagi - Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita saban hari pantas meniti dari bibir ke bibir – banyak gejala sosial berlaku dalam kalangan remaja – terutama mereka yang tercicir dalam pelajaran – merempit – pergaulan bebas – merokok dan penagihan dadah – memberikan kesan kepada kehidupan remaja itu sendiri – remaja perlu bertindak sebelum nasi menjadi bubur
Isi-isi penting:
(a) Mempunyai jati diri yang mantap - unsur negatif baik dari Barat mahupun daripada rakan sebaya dapat ditolak dengan baik - sebagai contoh, rakan mengajak merokok, berpeleseran, dan berlumba motosikal di jalan raya akan ditolak kerana mengetahui perbuatan tersebut tidak membawa sebarang faedah
(b) Pilih rakan sebaya yang mempunyai wawasan untuk berjaya dalam hidup - pilih rakan sebaya yang mempunyai kecenderungan untuk berjaya dalam pelajaran - agar tidak tersasar daripada matlamat hidup -tidak bergaul dengan rakan-rakan yang runtuh akhlak – menjauhi rokok dan dadah – sikap kawan akan mempengaruhi diri sendiri
(c) Mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah – membaca buku – mengulang kaji pelajaran – tidak melakukan perkara-perkara yang membazir masa – menonton televisyen – melepak dan berbual-bual kosong – masa itu emas
(d) Mempelajari agama – agama dapat mengelakkan diri seseorang daripada melakukan sesuatu yang tidak baik – menghadiri kuliah-kuliah agama – membaca buku-buku agama - Dengan agama juga, remaja dapat mengetahui sesuatu perbuatan itu halal ataupun haram.
(e) Menggunakan akal sebelum bertindak – tindakan yang dilakukan adalah betul – membezakan antara yang baik dan buruk – tidak menimbulkan kesan yang tidak baik – tidak menyesal sebelum melakukan sesuatu – sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya
Penutup: Mengharapkan diri terhindar daripada sebarang gejala sosial – menjejaskan nama baik diri sendiri dan keluarga – tidak berjaya dalam pelajaran – kehidupan akan terjejas.
Sebagai wartawan sebuah majalah sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk “Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara”.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara
Oleh: Mohd Shahir Mohd Shah
Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.
Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara “sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.
Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.
Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk Negara!
No comments:
Post a Comment