Thursday, August 25, 2011

Bahasa Melayu: Bahagian B

Tajuk 2 : Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia

Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat.

     Usaha pertama untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah denganmengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

     Perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui aktiviti kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan akibat kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

     Aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

     Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.


     Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi.Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.
[686 patah kata]

TEMA 8 : FAEDAH MENABUNG

Tajuk 1 : Faedah Menabung Sejak Kecil

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik danindividualistik, kita seyogianya memahami kemaslahatan wang. Cendekiawan memfasiqkan bahawa dengan wang, kita dapat melakukan segala-galanya tetapi wang tidak dapat membeli segala-galanya. Oleh hal yang demikian, menabung memang sinonim dengan wang dan masa depan. Orang yang mengabaikan amalan ini diumpamakan orang yang menagak cabaran pada hari muka. Realitinya, peribahasa Melayu ada menjelaskan bahawa sediakan payung sebelum hujan.

     Marcapada menyaksikan bahawa tabiat menabung dikatakan dapatmendisiplinkan diri kita. kesabaran dan kesanggupan berkorban demi masa depan menjadi titik tolak seseorang menabung. Apabila menabung, prinsipsedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang tabungan ini dapat mengekangdiri kita daripada lalai dalam merancang masa hadapan. Disiplin diri yang terbentuk dalam amalan menabung dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ringkasnya, menabung merupakan rencah untuk mengawal diri daripada memboros.
Walakin begitu, amalan yang dituntut agama ini dapat memupuk pemikiran yang mengapresiasi kesusahan mencari wang. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam bagai lebah mengumpulkan madu demi membiayai kos kehidupan yang meningkat harus kita sedari. Baki wang saku yang diberi mestilah dimasukkan ke dalam tabung. Apabila kita memerlukannya pada kala kecemasan, pertolongan orang lain tidak diperlukan. Oleh sebab itu, nilai berdikari dapat ditanam di samping mengetahui setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang bermakna.

     Ibu bapa memainkan peranan sebagai mencorakkan amalan ini kepada anak-anak sejak kecil lagi kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkan dan mewarnakan kehidupan mereka dengan amalan murni seperti menabung. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat diajar tentang perancangan masa hadapan. Mereka akan menyedari hakikat kepentingan berjimat cermat. Anak-anak yang pandaiberjimat-jimat nescaya dapat berusaha dengan lebih giat untuk menjamin masa hadapan kerana “asal ditugal, adalah benih”.

     Wang tabungan yang dikumpulkan acap kali dibawa ke bank untuk disimpan. Di samping menabung, kita juga berpeluang untuk mempelajari perkembangandunia perbankan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan kita warga yang sentitif akan perkembangan ekonomi semasa. Dari perspektif ekonomi, kita dapat memainkan peranan sebagai penjana virus yang dapat membebaskan negara daripada serangan wabak kemelesetan ekonomi. Tegasnya, simpanan tidak seberapa yang kita laburkan dalam simpanan bank dapat digunakan oleh pihak bank untuk pelaburan mega lain sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

   Walhasil, sebagai anak bangsa yang bakal dibentuk menjadi modal insan kepadanusa tercinta, kita sewajarnya menjadikan amalan menabung sebagai rutinkehidupan. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis merupakan kata-kata mutiara yang mesti kita hayati. Dengan menabung, kualiti kehidupan yang lebih baik dapat kita nikmati. Wang yang ditabung boleh menjadi modal melanjutkan pelajaran demi memberi pulangan kehidupan yang lebih baik kepada ayahanda dan bonda tercinta. Pulangan yang lumayan daripada amalan menabung dapat dirasai bukan sahaja untuk diri justeru kepada seantero jagatraya.

                                                                                                                            [436 patah kata]

Tajuk 2 : Amalan Menabung Perlu Dipupuk Sejak Kecil Lagi. Bincangkan Faedah-Faedah Yang Diperoleh Melalui Amalan Menabung Ini.

Amalan menabung dapat didefinisikan sebagai suatu budaya menyimpan wang yang dilaksanakan secara berterusan. Terdapat pelbagai jenis bekas tabung yang diperbuat daripada variasi bahan sama ada semula jadi atau tiruan seperti buluh daripada bahan semula jadi dan plastik daripada bahan tiruan. Namun, kebelakangan ini, amalan menabung kurang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia dan ini jelas mengundang kerisauan kepada beberapa pihak yang telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai kempen berkenaan amalan menabung ini. Mahu ataupun tidak, pihak yang terlibat haruslah memerah otakmencari alternatif lain bagi menjadikan amalan menabung ini merupakan suatu perkara yang sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sekiranya penerangan tentang faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan menabung mampu memberikan reaksi positif, mengapa tidak kita melakukannya?

     Salah satu faedah yang diperoleh melalui amalan menabung ialah individu itu akan dapat memupuk diri menjadi seorang yang berjimat cermat. Hal ini berlaku demikian kerana individu tersebut akan sentiasa mengawal perbelanjaan harian agar dapat menyimpan wang di dalam tabung. Justeru, individu tersebut akan berjaya mengawal perasaan dan keinginan mereka untuk memperoleh sesuatu barangan walaupun pada hakikatnya mereka tidak menjadikan barangan tersebut sebagai suatu keperluan. Tamsilannya, seorang anak yang telah diajar untuk mengamalkan sikap berjimat cermat oleh ibu bapa mereka akan bijak menggunakan wang yang diberi dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, pendedahan amalan menabung kepada anak-anak sejak kecil lagi umpama melentur buluh dari rebungnya akan memberikan kesan positif kepada mereka sekali gus menyematkan sikap suka berjimat cermat dalam diri mereka.

    Faedah lain yang diperoleh melalui amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi ialah dapat menjamin masa hadapan yang cerah bagi anak-anak. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul mereka daripada kecil sehingga dewasa akan dapat digunakan untuk tujuan tertentu apabila mereka dewasa kelak. Lantaran itu, jika anak-anak berkehendakkan sesuatu, mereka mampu untuk mendapatkannya tanpa perlu membebankan atau bergantung harap pada kedua-dua orang tua mereka. Tamsilannya, jika anak-anak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading sama ada di dalam atau di luar negara, ibu bapa mereka tidak begitu risau dan akan menerima tawaran tersebut dengan hati yang terbuka tanpa perlu memikirkan soal pembiayaan pengajian anak-anak mereka. Oleh itu, amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi jelas memberikan masa hadapan yang cerah buat cahaya mata mereka.

     Amalan menabung yang disemat dalam diri individu sejak kecil lagi juga akan dapat menjadi penyelamat pada waktu runcing atau kecemasan. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul dari usia setahun jagung sehingga dewasa akan dapat digunakan ketika berhadapan sesuatu kejadian yang tidak diduga. Bak kata peribahasa Melayu, malang tidak berbau. Impaknya, individu tersebut tidak berada dalam keadaan terdesak apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini sekiranya mereka menjadikan aktiviti menabung sebagai suatu amalan. Tamsilannya, hasil tabungan yang dikumpul dari usia muda dapat digunakan untuk membiayai kos rawatan yang dikenakan pihak hospital sekiranya salah seorang ahli keluarga penabung berdepan masalah seperti kemalangan, menghidapi penyakit dan sebagainya sekali gus dapat memupuk sikap saling membantu dalam ahli keluarga. Oleh itu, amalan menabung yang dididik sejak anak-anak kecil lagi jelas membantu meringankan masalah keluarga ketika berdepan situasi rumit.

     Intihanya, jelaslah bahawa amalan menabung perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Dengan demikian, ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling haruslah sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak muda masa ini dalam usaha membudayakan amalan menabung dalam diri mereka. Sekiranya semua pihak menjalankan kewajipan mereka dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak yang diasuh supaya membudayakan amalan menabung ini akan menjadi individu yang pemurah, berjimat cermat serta seorang pekerja yang amanah terutamanya apabila melibatkan urusan kewangan. Jelaslah, amalan menabung ini juga merupakan usaha untuk menyediakan payung sebelum hujan dan juga suatu amalan yang mendatangkan banyak kebaikan kepada individu itu sendiri, keluarga, masyarakat juga negara.
                                                                                                                       [605 patah perkataan]

TEMA 9 : KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA ASING

Tajuk 1 : Kelebihan Menguasai Bahasa Asing

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat dan perlu ditempuhi oleh setiap individu.Penguasaan pelbagai bahasa merupakan satu aset utama dalam diri individu untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Oleh itu, kelebihan atau kepentingan menguasai pelbagai bahasa yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan secara terperinci demi manfaat bersama.

     Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa merupakan medium perantaraan yang penting dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.Bahasa menjadi alat perhubungan dan spektrum komunikasi yang paling efektif kepada organisasi dan individu dalam segala hal. Kemampuan menguasai pelbagai bahasa mampu menjamin masa hadapan yang cerah dan berpeluang untuk maju ke hadapan di samping mengilap potensi diri yang sebenar. Sebagai contoh, seseorang individu yang mampu menguasai pelbagai bahasa asing akanlebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan individu yang hanya menguasai satu bahasa. Hal ini adalah kerana, persaingan untuk mendapat pekerjaan sangat sengit. Mereka yang mempunyai kelulusan yang baik, berketrampilan menarik dan berkebolehan menguasai lebih daripada satu bahasa akan dapat menjawat sesuatu pekerjaan dengan lebih mudah. Sebagai intihanya, seseorang individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa menjadi jambatan untuk mereka mendapat pekerjaan dengan mudah.

     Kita juga dapat menyaksikan betapa pentingnya seseorang yang menguasai bahasa asing untuk memudahkannya berinteraksi dan berkomunikasi. Bagi sesetengah orang yang mempu menguasai lebih daripada satu bahasa lebih mudah untuknya berkomunikasi, terutamanya apabila kita berurusan dengan individu yang berasal dari luar negara. Hal ini juga akan meningkatkan keyakinan diri kita dan mengelakkan kita tertipu apabila berurusan dengan orang lain. Sebagai contoh, individu yang melanjutkan pelajaran di luar negara, mereka akan lebih yakin untuk bergaul, berinteraksi dan berkomunikasi sekiranya menguasai lebih daripada satu bahasa. Biar kita ambil contoh seorang usahawan yang berurusniaga di luar negara, sekiranya beliau menguasai lebih daripada satu bahasa akan mengelakkan dirinya daripada ditipu. Konklusinya, menguasai lebih daripada satu bahasa akan memudahkan seseorang untuk berinteraksi dan mengelakkan daripada ditipu.

     Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, mempelajari bahasa asing juga dapat membantu kita memupuk semangat perpaduan yang tinggi. Sekiranya bahasa kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dan di luar negara dapat dipelajari dan difahami, sudah tentu kita akan dapat mengenali budaya dan adat resam kaum tersebut dengan lebih mendalam. Sebagai analoginya, dengan menguasai bahasa Kadazan atau bahasa Iban, maka perpaduan akan dapat dipupuk dengan lebih mudah. Konklusinya, penguasaan lebih daripada satu bahasa akan memupuk perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik, sesuai dengan peribahasa tak kenal maka tak cinta.

     Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah mempelajari bahasa asing dapat membantu kita meneroka maklumat dalam pelbagai bidang. Oleh itu, dengan menguasai pelbagai bahasa, dapat membantu kita mengumpul maklumat yang ditulis dalam semua bahasa yang kita kuasai. Sebagai contoh, maklumat yang terkandung dalam buku, jurnal, akhbar dan internet yang menggunakan bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Perancis dan Bahasa Arab akan lebih difahami dan dikuasai sekiranya kita menguasai bahasa-bahasa tersebut. Jelaslah bahawa, mempelajari bahasa asing dapat membantu kita menelusuri pelbagai maklumat sekali gus dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Sebagaimana yang kita maklumi, menguasai bahasa asing dapat mengisi masa lapang. Sesungguhnya, dengan mempelajari bahasa asing bukanlah sesuatu yang sukar. Sebagai contoh, kita boleh mempelajari bahasa Mandarin, bahasa Jepun, bahasa Arab dan bahasa Perancis dengan menghadiri kelas tersebut, tambahan pula pengajaran bahasa-bahasa asing ini juga disediakan di pusat-pusat pengajian tinggi dan di sekolah-sekolah berasrama penuh. Selain itu, kemahiran tersebut boleh mendatangkan nilai komersial bak kata peribahasasambil menyelam, minum air apabila kemahiran menguasai bahasa asing ini boleh diaplikasikan mengikut keperluan. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa asing mudah untuk dipelajari serta dapat mengisi masa lapang.

Sebagai kesimpulannya, penguasaan bahasa asing banyak mendatangkan implikasi yang positif terhadap diri kita agar menjadi ilmu penyuluh kehidupan pada masa hadapan. Oleh itu, kita perlu menguasai pelbagai bahasa asing agar menjadi satu kelebihan atau aset untuk menjadi modal insan yang cemerlang kepada negara sekali gus dapat melahirkan individu yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.                                                                                                      [656 patah kata]

Tajuk 2 : Penguasaan Pelbagai Bahasa Asing Dan Kepentingannya

Bahasa merupakan alat untuk berkomunikasi. Bahasa juga di gunakan sebagai alat penyebar ilmu dan maklumat. Kita digalakkan menguasai lebih dari satu bahasa. Menguasai lebih dari satu bahasa merupakan suatu bonus khususnya untuk berkomunikasi dengan bangsa asing. Hal ini memudahkan kita berkomunikasi dengan pelancong. Dengan menguasai pelbagai bahasa kita juga akan berasa lebih berkeyakinan kepada diri kita sendiri. Di dalam negara Malaysia ini ada lima bahasa kerana negara ini mempunyai 5 kaum utama. Sekiranya kita dapat menguasai bahasa tersebut, kita dapat berbual dengan orang yang bukan seagama dengan kita atau bukan sekaum dengan kita. Bahasa Melayu, India, Cina, Iban dan Kadazan semuanya daripada pelbagai kaum dan agama.Sekiranya kita fasih berbahasa lain kita dapat mengetahui adat resam mereka dan mereka juga akan mengetahui adat resam kita. Kita juga boleh membaca dalam pelbagai bahasa, dengan memperbanyakkan pembacaan kita akan memperoleh banyak ilmu. Jelaslah bahawa menguasai pelbagai bahasa mempunyai banyak kepentingan dan maslahatnya.

     Kita lihat pula dari sudut propenguasaan pelbagai bahasa ini. Umum mengetahui dan tidak menafikan kepentingan dan faedah menguasai pelbagai bahasa asing. Di Malaysia, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan kepada sektor ekonomi mahupun maruah negara itu sendiri. Pada tahun 2004 sahaja jumlah pelancong dari China yang berkunjung ke negara ini telah mencecah 16.4 juta orang. Hal ini menunjukkan betapa besarnya sumbangan industri pelancongan kepada Malaysia. Tetapi angkaan jutaan itu sebenarnya menunjukkan kemerosotan dalam tinjauan ketidakpuasan hati pelancong yang pernah datang ke Malaysia. Mengapakah hal ini terjadi? Kebanyakan jawapan yang diberi ialah kesukaran untuk berkomunikasi dengan rakyat tempatan. Rata-rata rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Cina, Inggeris, Jepun dan Perancis. Hal ini menjadi masalah kerana bahasa di atas merupakan antara bahasa yang menjadi keutamaan di dunia. Tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa yang sering digunakan oleh kebanyakan negara sebagai bahasa kedua mereka. Akibatnya, akan tercalarlah maruah negara di mata dunia. Negara akan dikenali sebagai rakyat yang mempunyai mentaliti yang rendah dan seterusnya akan menjejaskan ekonomi Malaysia.

     Dalam pada masa itu juga, bahasa asing juga penting sebagai satu perantaraan yang memudahkan bual bicara untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu. Apakah tidak berkualiti bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu? Apakah bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang layak menjadi bahasa ilmu? Tepuk dada, tanya selera.Dewasa ini, penerokaan, penguasaan dan pengabdian terhadap ilmu pengetahuan banyak didalami oleh bangsa asing. Bangsa yang mana sejak lahir hingga mati akan menuturkan bahasa mereka sendiri. Sebagai umat Islam pula, bagaimana untuk kita merebut kembali tempat pertama dalam penguasaan ilmu yang suatu ketika dahulu didahului kita jika kita tidak mampu menkaji hasil kerja bangsa-bangsa asing. Ilmuan terkemuka dunia seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khawarizmi juga mempelajari bahasa asing untuk mengembangkan ilmu yang mereka ada sehingga mereka menjadi terkenal sekarang ini. Yunani telah menyebabkan karya Ibnu Sina seperti buku perubatan, Kanun Fi’al Tib diterima pakai lebih 500 tahun lamanya di universiti-universiti di Barat hampir sealaf lalu.Bahasa Hindus juga telah menyebabkan Ibnu Khawarizmi diiktiraf sebagai ahli matematik terbaik di dunia sehingga sekarang dengan teori berkaitan aljebra. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya bahasa asing terhadap perkembangan ilmu,

     Berkisar tentang ilmu juga, bahasa asing amat penting terutamanya dalam melayari cabang pendidikan pada masa ini. Alam pendidikan sekarang ini lebih bersifat terbuka dan tanpa sempadan. Jika kita perhatikan, kebanyakan universiti yang wujud di dalam mahupun di luar negara sering menjadi tumpuan pelajar-pelajar yang bukan dari negara mereka sendiri. Pelajar-pelajar yang datang ke universiti itu bukan sahaja datang dari negara jiran malah beribu-ribu batu jauhnya untuk melanjutkan pelajaran. Malaysia sendiri mempunyai ramai rakyat yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Cabang pendidikan tanpa sempadan ini menghendaki golongan pelajar lebih prihatin terhadap penguasaan bahasa asing.Bagaimana hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara jika diri sendiri tidak tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka? Bagaimana untuk kita bergaul dengan rakyat tempatan di negara mereka jika kita hanya tahu bahasa ibunda sendiri?Oleh hal yang demikian, individu khususnya golongan pelajar perlu lebih mengambil berat terhadap penguasaan bahasa asing. Mungkin pada hari inipelajar-pelajar mampu berbicara dan berdebat tentang tidak perlunya bahasa asing ini, tetapi sedarlah bahawa pada suatu hari nanti kita juga yang akan merangkak untuk mempelajari bahasa tersebut.

     Dalam meniti arus globalisasi yang sangat berbeza dengan arus pemodenan, kita dihimpit dengan tekanan dari peringkat antarabangsa berkaitan kewangan dan pekerjaan. Disebabkan ini juga ramai rakyat Malaysia yang menganggur dan ramai yang menyalahkan tekanan antarabangsa sebagai penghalang kemajuan sedangkan salah itu datangnya daripada diri mereka sendiri. Salah satu faktor yang menyumbang kepada pengangguran ini adalah kelemahan dan kekurangan dalam menguasai bahasa selain bahasa ibunda.Majikan sekarang ini lebih menumpukan perhatian kepada pekerja-pekerja yang mempunyai kelebihan dalam bahasa lain. Maka, pekerja-pekerja seperti ini akan menjadi kegemaran majikan untuk diterima bekerja dan malanglah bagi individu lain yang mempunyai kemahiran dan kelulusan yang sama tetapi mempunyai kelemahan dalam menguasai bahasa asing. Bagi pekerja-pekerja ini, mereka tidak menyedari kelemahan mereka dan menyalahkan orang lain sedangkan kelemahan itu datangnya daripada diri mereka sendiri. Akhirnya, tahun demi tahun dihabiskan dengan melihat kepada satu rumusan yang dibuat sendiri dengan meletakkan kesalahan di bahu majikan yang memilih bulu kononnya. Maka, tidak ada suatu perubahan mahupun reformasi yang dilakukan untuk merubah diri sendiri.

     Selain pelancongan, pendidikan dan pekerjaan, bahasa asing boleh dijadikan platform yang sangat berguna untuk mengeratkan satu individu dengan individu yang lain. Hubungan antarabangsa juga boleh dijalinkan lebih erat dengan menguasai bahasa mereka. Bahasa Melayu juga pernah menjadi lingua franca sewaktu zaman kegemilangan empayar Melaka pada suatu masa dahulu.Pedagang-pedagang yang datang berdagang juga memilih bahasa Melayu untuk dituturkan sedangkan masih ada berpuluh-puluh bahasa yang digunakan para pedagang pada masa itu. Pedagang-pedagang berasakan bahawa bahasa Melayu mudah difahami dan dituturkan. Negara China juga menjalinkan hubungan yang baik dengan negeri Melaka dari segi pertahanan sehinggakan China sanggup menghantar jeneralnya yang terkemuka iaitu Jeneral Cheng Ho untuk bertemu dengan pemerintahan Melaka. Disebabkan hubungan Melaka-Chinajugalah, Siam tidak berani untuk terus memberikan tekanan ke atas Melaka.Begitulah betapa pentingnya penguasaan bahasa asing dalam mengeratkan hubungan antarabangsa. Malaysia juga sebagai sebuah negara majmuk, mengharapkan rakyatnya menguasai bahasa asing terutamanya bahasaMandarin dan bahasa Tamil .

    Walaupun pelbagai tafsiran sama ada positif ataupun negatif dibuat berkaitan penguasaan bahasa asing, kita perlu menyedari kepentingan bahasa asing dari skop yang lebih luas. Dalam bahasa yang lebih mudah, bahasa asing mempunyai pengaruh yang besar terhadap sektor pelancongan, pendidikan, pekerjaan dan perhubungan malah dalam kehidupan seharian kita. Di Malaysia, penguasaan bahasa asing adalah sangat lemah.Altitud ini pula ditambah lagi dengan sikap segelintir golongan masyarakat yang tidak mengambil tahu kepentingannya malah menentang bahasa asing.Sememangnya bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris merupakan bahasa penjajah tetapi bukankah Tunku Abdul Rahman juga menggunakan bahasa tersebut semasa menuntut kemerdekaan di London? Bukankah kita juga merubah kosa kata bahasa asing untuk dimelayukan? Bukankah bahasa Melayu sendiri terbentuk daripada bahasa Sanskrit? Mengata bahasa asing, sekurang-kurangnya bahasa tersebut ada pengiktirafan tersendiri. Jika hendak menentang dan membunuh bahasa asing dalam jiwa rakyat Malaysia adalah lebih baik kita menentang dan membunuh bahasa rojak yang semakin hari semakin menjadi-jadi di Malaysia. Malah tanpa kita sedar, kita menggunakan bahasa tersebut dalam pertuturan seharian. Mengata dulang paku serpih, mengata orang diri sendiri yang lebih. Jangan sampai terjadi menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri. Sebelum nasi menjadi bubur, seharusnya semua pihak bersinergi dalam meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa dalam diri. Usaha yang padu dan komited bukan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam daripada semua rakyat Malaysia amatlah diharapkan dalam merealisasikan Wawasan 2020.
[1208 patah kata]

TEMA 10 : BARANG BUATAN MALAYSIA (STRATEGI MENGGALAKKAN RAKYAT MEMBELI
BARANGAN MALAYSIA)

Tajuk : Cara-Cara Menggalakkan Pengguna Tempatan Membeli Barangan Malaysia

Dalam menongkah arus perdana era globalisasi, liberalisasi dan dunia tanpa sempadan,memang tidak dinafikan bahawa dunia kita telah melangkah ke arah modenisasi. Abad ke-21 telah menyaksikan bahawa pelbagai cetusan idea dan percubaan yang membanggakan yang dilaksanakan supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara moden yang lain. Sama ada kita sedar atau tidak lantaran, kita selalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan yang beronak yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan. Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan seharusnya dilontar jauh-jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri. Walau bagaimanapun, berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati bahawa peratusan rakyat Malaysia yang menggunakan barang buatan negara malah menyokong barangan buatan Malaysia telah menurun setiap tahun. Mengapakah perkara sebegini berlaku ? Mengapakah rakyat negara tidak sanggup menyokong buatan negara? Tepuk dada tanyalah selera kerana isu-isu ini telah menjadi buah mulut masyarakat negara kini. Berita ini sering dipaparkan di dada-dada akhbar dan tidak kurangnya di media massa. Pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia terutamanya rakyat negara sendiri. 
     Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap rakyat kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini. Rakyat Malaysa perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Manfaat serampang dua mata akan dinikmati oleh pelbagai pihak apabila rakyat mengutamakan barangan tempatan. Manfaat pertama ialah dapat mengelakkan pengaliran keluar wang negara ini. Kedua, dapat menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing. Berikutan itu,FOMCA(Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia) dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai itu boleh diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat-syarikat terbabit yang mengeluarkan barangan berkenaan. Jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapatmenjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu. Berikutan itu, pengguna dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barang buatan tempatan, serta kurang bergantung pada produk import.

     Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya sehingga menyebabkan ramai yang rambang mata. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran di luar negara. Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran. Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara. Untuk mengalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia, rakyat sendiri perlu mengamalkan tabiat berbelanja secara berhemat. Tabiat pembaziran dan berbelanja melebihi kemampuan pendapatan di kalangan rakyat negara ini yang turut menyumbang kepada penurunan ringgit disebabkan kemudahan memperolehi kemudahan kredit. Berikutan itu, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja dengan mengamalkan tabiat berhemat dalam perbelanjaan seperti menabung untuk mengurangkan kesan hutang. Dengan mengamalkan tabiat berjimat cermat dan berfikir sebelum membeli, rakyat dapat menjimat pembelanjaan malah dapat digunakan samasa kecemasan . Tindakan ini bagai sambil menyelam minum air. Rakyat sepatutnya menyokong barang buatan Malaysia yang tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Kalau rakyat Malaysia sendiri tidak menyokong negara sendiri lebihnya kepada pendatang dan pembeli daripada luar negara. Rakyat seharusnya memberikan sokongan sepenuhnya kepada negara sendiri dengan membeli barang buatan Malaysia yang semakin meningkat mutunya dan mampu bertanding dengan negara lain yang maju.

     Pada era langit terbuka ini, media massa merupakan satumedium yang signifikan dalam mempengaruhi pemikiran orang ramai. Sebagaimana, yang kita tahu, media massa boleh dibahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Dalam hal ini, pihak media memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan buatan Malaysia. Pihak media cetak memainkan peranan dalammenerangkan kebaikan barangan buatan Malaysia serta faedahnya malalui surat khabar dan majalah. Media cetak digalakkan mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan Malaysia kerana dapat mempengaruhi minda manusia yang ramai bagai mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Hal ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Manakala, media elektronik seperti radio, televisyen dan internet juga merupakan wadah yang penting dalam penyebaran maklumat. Sebagai contoh, kewujudkan online membeli-belah membolehkan rakyat membeli barang buatan Malaysia dengan senang melalui internet. Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Usaha sama kerajaan dan artis tempatan dalam mempromosikan barang buatan Malaysia dapat menarik minat orang ramai terutamanya golongan remaja. Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa media massa merupakan elemen yang penting dalam usaha mengalakkan orang ramai membeli barang buatan Malaysia.

     Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat adalah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna. Ketika ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai contohnya, ekspo kosmetik dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh digunakan tanpa was-was. Sehubungan dengan itu,ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke semasa. Hakikatnya, Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagaigenggam bara api biarlah sampai jadi arang. Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan tidak sekadar bekerja bagai melepaskan batuk di tangga.
Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barang tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk-penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini.

    Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jusco, Tesco, Metrojaya, Parkson, Mydin dan sebagainya boleh mengadakan jualan megah atau jualan murah tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya. Para pelancong juga turut terpukau oleh potongan harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Usaha mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantumerancakkan dan memacu tranformasi ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru itu, semua agensi, sektor swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing.Pihak berkenaan harus mengadakan pertandingan kuiz, melukis poster, menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen tersebut. Kata orang tua-tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan amat sinonim dengan kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Dengan mengadakan kempen kesedaran dan ceramah yang pelbagai bentuk, barang buatan Malaysia dapat diperkenalkan kepada orang ramai supaya semua orang tidak kira orang tempatan atau pendatang dapat mENARIK minat terhadap barang buatan Malaysia.

     Pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara ,dan sanggup berkorban untuk negara boleh disuntik kepada generasi muda kita. Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keEMPAT malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik nagara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke araf baru. Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita ,ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kita mendapati bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam mengalakkan masyarakat membeli barang buatan Malaysia.

    Secara tuntasnya, pelbagai cara perlu dilaksanakan untuk menggalakkan masyarakat membeli barang buatan Malaysia. Berbagai-bagai pihak perlu berganding bahu dan bekerjasamabagai aur dengan tebing dalam mempromosikan kabaikan dan faedah membeli barangan buatan Malaysia. Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja seperti melepaskan batuk di tangga. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Tetapi penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini. Ibu bapa juga harus menjadi rol model dan suri teladan yang baik kepada anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Anak-anak seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berSINAR. Natijahnya, rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasimenyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekatasebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

petikan: FB kawan

No comments:

Post a Comment