Friday, February 17, 2012

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

LATIHAN BERCORAK PEPERIKSAAN

PENGUKUHAN ISTILAH & TATABAHASA

LATIHAN 7.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Beberapa batang senapang berjaya dirampas dari penjenayah yang ditangkap oleh polis semalam.

ii. Kapal terbang yang baru berhenti itu sedang diperiksa oleh pihak berkuasa kerana disyaki ada bom didalamnya.

iii. Kakak memasak air selepas menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan oleh guru beliau.

[6 markah]

LATIHAN 8.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Rakyat-rakyat harus berusaha untuk menjayakan zaman depan negara agar menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang.

ii. Para penagih-penagih yang telah ditangkap akan dimasukkan di pusat Serenti untuk dipulihkan.

iii. Seseorang itu perlu mempunyai kuat stamina untuk sampai di puncak Gunung Ledang.

[6 markah]

LATIHAN 9.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Talib menghadiahi kepada ibunya seutas rantai emas sebagai tanda sedih sempena Hari Ibu.

ii. Bila tiba musim tengkujuh, para nelayan tidak masuk ke laut kerana laut bergelora dan ombaknya sangat kuat.

iii. Sarung kain yang digayakan oleh Siti Nurhaliza amat sama dengan baju kurung yang dipakainya.

[6 markah]

JAWAPAN:

LATIHAN 7.

i. Beberapa ‘pucuk’ senapang berjaya dirampas ‘daripada’ penjenayah yang ditangkap oleh polis semalam.

ii. Kapal terbang yang baru ‘mendarat’ itu sedang diperiksa oleh pihak berkuasa kerana disyaki ada bom ‘di dalamnya’.

iii. Kakak ‘menjerang’ air selepas menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan oleh ‘gurunya.’

[6 markah]

LATIHAN 8.

i. ‘Rakyat’ harus berusaha untuk menjayakan ‘masa’ depan negara agar menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang.

ii. ‘Para penagih’ yang telah ditangkap akan dimasukkan ‘ke’ pusat Serenti untuk dipulihkan.

iii. Seseorang itu perlu mempunyai ‘banyak’ stamina untuk sampai ‘ke’ puncak Gunung Ledang.

[6 markah]

LATIHAN 9.

i. Talib ‘menghadiahkan’ kepada ibunya seutas rantai emas sebagai tanda ‘kasih/sayang’ sempena Hari Ibu.

ii. ‘Apabila’ tiba musim tengkujuh, para nelayan tidak ‘turun/pergi’ ke laut kerana laut bergelora dan ombaknya sangat kuat.

iii. ‘Kain sarung’ yang digayakan oleh Siti Nurhaliza amat ‘padan’ dengan baju kurung yang dipakainya.

[6 markah]

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

LATIHAN BERCORAK PEPERIKSAAN

PENGUKUHAN ISTILAH & TATABAHASA

Latihan 4.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Kapal terbang yang membawa rombongan haji itu baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Antara bangsa Kuala Lumpur.

ii. Pegawai-pegawai penguat kuasa telah merampas berpuluh bungkus cakera padat cetak rompak dari pemilik kedai itu.

iii. Abang Syarifah menghadiahi baju berwarna laut biru kepada kawan baiknya itu.

[6 markah]

Latihan 5.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Ketika saya berada di pantai untuk menghisap udara nyaman, Pak Ali datang dan meminta saya menyampaikan kepada datuk, salam.

ii. Raja negeri itu telah menyuruh pembesar istana supaya mentafsirkan jumlah kerugian akibat bencana itu.

iii. Semua murid-murid yang datang lewat ke sekolah akan didenda menangkap sampah di kawasan sekolah.

[6 markah]

Latihan 6.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Pelajar yang menaiki motosikal ke sekolah itu terlibat ke dalam kemalangan jalan raya pagi semalam.

ii. Anjing peliharaan Encik Lim berbunyi bila pencuri itu memanjat pagar rumahnya.

iii. Kapal yang sedang berhenti di pelabuhan itu membawa muatan berpuluh tan kayu lapis.

JAWAPAN.

LATIHAN 4.

i. Kapal terbang yang membawa ‘jemaah/bakal’ haji itu baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang ‘Antarabangsa’ Kuala Lumpur.

ii. Pegawai-pegawai penguat kuasa telah merampas ‘berpuluh-puluh keping / kotak’ cakera padat cetak rompak ‘daripada’ pemilik kedai itu.

iii. Abang Syarifah ‘menghadiahkan’ baju berwarna ‘biru laut’ kepada kawan baiknya itu.

[6 markah]

LATIHAN 5.

i. Ketika saya berada di pantai untuk ‘menghirup/menikmati’ udara nyaman, Pak Ali datang dan meminta saya menyampaikan ‘salam’ kepada datuk.

ii. Raja negeri itu telah ‘menitahkan’ pembesar istana supaya ‘mentaksirkan’ jumlah kerugian akibat bencana itu.

iii. ‘Semua murid’ yang datang lewat ke sekolah akan didenda ‘memungut/mengutip’ sampah di kawasan sekolah.

[6 markah]

LATIHAN 6.

i. Pelajar yang ‘menunggang’ motosikal ke sekolah itu terlibat ‘dalam’ kemalangan jalan raya pagi semalam.

ii. Anjing peliharaan Encik Lim ‘menyalak’ ‘apabila’ pencuri itu memanjat pagar rumahnya.

iii. Kapal yang sedang ‘berlabuh’ di pelabuhan itu membawa muatan ‘berpuluh-puluh’ tan kayu lapis.

[6 markah]

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

LATIHAN BERCORAK PEPERIKSAAN

PENGUKUHAN ISTILAH & TATABAHASA

LATIHAN 1.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dirantau ini.

ii. Cita-citanya untuk memanjangkan pelajaran ke universiti belum tercapai lagi oleh kerana hidupnya yang susah itu.

iii. Mariamah makan goreng pisang sambil menghiris bawang dengan menggunakan parang.

LATIHAN 2.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Jalan pintas sering diharungi oleh murid-murid yang hendak pergi sekolah pada waktu pagi.

ii. Bapa saya memeriksa semua fail-fail yang diingini oleh ketua jabatannya semalam.

iii. Kerja-kerja mencekup sotong sesuai dilakukan di waktu malam sahaja.

LATIHAN 3.

(d). Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Agenda perbincangan pada pagi ini sudah diserahkan oleh Sarah pada saya untuk diedarkan.

ii. Projek itu dijangka akan sudah sepenuhnya pada tahun depan dan akan dirasmikan oleh Menteri Perdana.

iii. Semalam dia tidak betul tidur kerana diganggu oleh mimpi yang paling menakutkan sekali.

JAWAPAN:

LATIHAN 1.

i. Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk ‘menjadikan / meletakkan’ Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan ‘di rantau’ ini.

ii. Cita-citanya untuk ‘melanjutkan’ pelajaran ke universiti belum tercapai lagi oleh ‘sebab’ hidupnya yang susah itu.

iii. Mariamah makan ‘pisang goreng’ sambil menghiris bawang dengan menggunakan ‘pisau.’

LATIHAN 2.

i. Jalan pintas sering ‘digunakan / dilalui’ oleh murid-murid yang hendak pergi ‘ke’ sekolah pada waktu pagi.

ii. Bapa saya memeriksa semua ‘fail’ yang ‘dikehendaki / diminta’ oleh ketua jabatannya semalam.

iii. Kerja-kerja ‘mencandat’ sotong sesuai dilakukan ‘pada’ waktu malam sahaja.

LATIHAN 3.

i. Agenda ‘mesyuarat’ pada pagi ini sudah diserahkan oleh Sarah ‘kepada’ saya untuk diedarkan.

ii. Projek itu dijangka akan ‘siap’ sepenuhnya pada tahun depan dan akan dirasmikan oleh ‘Perdana Menteri’.

iii. Semalam dia tidak ‘lena / nyenyak’ tidur kerana diganggu oleh mimpi yang ‘paling menakutkan.’

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM 2.

LATIHAN PENGUKUHAN ISTILAH.

LATIHAN 5.

SOALAN:

Gariskan penggunaan ‘istilah’ yang tidak tepat dalam frasa ayat-ayat di bawah ini dan kemudian buarkan pembetulan.

i. Memotong rambut
ii. Memasak nasi
iii. Menjalin benang untuk dijadikan tali
iv. Meletakkan lukah di sungai
v. Memimpin basikal
vi. Memegang beg tangan
vii. Menggigit nasi
viii. Membetulkan kereta
ix. Kereta itu merempuh lembu
x. Obor-obor itu tercampak di pantai

JAWAPAN.

i. Menggunting rambut
ii. Menanak nasi
iii. Memintal benang untuk dijadikan tali
iv. Memasang lukah di sungai
v. Menuntun basikal
vi. Membimbit beg tangan
vii. Mengunyah nasi
viii. Membaiki kereta
ix. Kereta itu melanggar lembu
x. Obor-obor itu terdampar di pantai

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

LATIHAN BERCORAK PEPERIKSAAN

PENGUKUHAN ISTILAH & TATABAHASA

LATIHAN 10.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Perjalanan yang kami tempuh untuk sampai ke puncak Gunung Ledang bersimpang-siur dan penuh dengan dugaan yang mencabar fizikal dan mental.

ii. Pencipta ais itu mengambil masa selama satu setengah jam untuk menyiapkan hasil seni yang tinggi nilainya.

iii. Matlamat penganjuran Sukan SEA, bukan setakat bersaing di dalam acara sukan, tetapi juga mendekatkan semangat setiakawan sesama negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian.

[6 markah]

LATIHAN 11.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Para-para peserta Kem Motivasi itu telah pulang ke kampung halaman mereka semalam.

ii. Husin memberi makanan pada kucingnya yang comel tetapi berbulu lebat itu.

iii. Kali ini, semua mereka berjaya menaikkan dua ekor kakap hitam dan berbelas-belas ekor kerisi merah dengan menggunakan habuan ikan basong atau sardin.

[6 markah]

LATIHAN 12.

Dalam setiap ayat di bawah terdapat dua kesalahan sama ada kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i. Rosli tidak pergi ke sekolah di hari ini kerana menghadiri peraturan pengebumian datuknya di Sabah.

ii. Hujan turun dengan kuatnya pagi semalam menyebabkan jalan-jalan utama pada ibu kota dinaiki air sedalam satu meter.

iii. Oleh kerana anaknya telah berumur tujuh bulan, dia membawa anaknya ke hospital untuk diberikan pelali campak.

[6 markah]

JAWAPAN:

LATIHAN 10.

i. Perjalanan yang kami ‘tempuhi’ untuk sampai ke puncak Gunung Ledang ‘berliku-liku’ dan penuh dengan dugaan yang mencabar fizikal dan mental.

ii. ‘Pengukir’ ais itu mengambil masa selama ‘satu jam setengah’ untuk menyiapkan hasil seni yang tinggi nilainya.

iii. Matlamat penganjuran Sukan SEA, bukan setakat bersaing ‘dalam’ acara sukan, tetapi juga ‘mengeratkan’ semangat setiakawan sesama negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian.

[6 markah]

LATIHAN 11.

i. ‘Para peserta’ Kem Motivasi itu telah pulang ke kampung halaman ‘masing-masing’ semalam.

ii. Husin memberi makanan ‘kepada’ kucingnya yang comel ‘dan/serta’ berbulu lebat itu.

iii. Kali ini, ‘mereka’ berjaya menaikkan dua ekor kakap hitam dan berbelas-belas ekor kerisi merah dengan menggunakan ‘umpan’ ikan basong atau sardin.

[6 markah]

LATIHAN 12.

i. Rosli tidak pergi ke sekolah ‘pada’ hari ini kerana menghadiri ‘upacara / istiadat’ pengebumian datuknya di Sabah.

ii. Hujan turun dengan lebatnya pagi semalam menyebabkan jalan-jalan utama ‘di’ ibu kota dinaiki air sedalam satu meter.

iii. Oleh ‘sebab’ anaknya telah berumur tujuh bulan, dia membawa anaknya ke hospital untuk ‘disuntik’ pelali campak.

[6 markah]

Tuesday, February 14, 2012

Bahasa Melayu: Siri Cemerlang

KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU SPM – BM2.

AYAT AKTIF

OBJEKTIF: Pelajar dapat memahami bentuk ayat aktif.

LANGKAH 1.

Guru menerangkan bentuk ayat aktif.

AYAT AKTIF:

NOTA: Dalam ayat aktif, kata kerja yang digunakan ialah kata kerja transitif (kata kerja yang mempunyai penyambut objek) yang kata kerjanya menggunakan imbuhan meN...

a. Ali menyepak bola ke arah pintu gol.
b. Zarina menerima sejambak bunga daripada suaminya.

Walaupun semua kata kerja transitif aktif dikatakan mesti menerima objek, tetapi terdapat juga kata kerja transitif aktif yang menggugurkan objek yang mengikutinya.
Contoh ayat transitif aktif yang objeknya boleh digugurkan:

a) Cikgu Zahrul masih mengarang di perpustakaan.
(Objek yang digugurkan: puisi, cerpen novel atau lain-lain)
b) Ibu sedang membasuh di tepi sungai.
(Objek yang digugurkan: pakaian, baju, kain, atau lain-lain).

NOTA: Biasanya, semua kata kerja transitif aktif menerima awalan meN-…, kecuali kata ‘minum’ atau ‘makan’.

Contoh ayat daripada kata minum dan makan:
a) Mereka sedang ‘minum’ cendol di Restoran Nasi Kandar.
b) Sebelum pergi ke laut, kami makan terlebih dahulu di warung yang terletak di pinggir pantai.

LANGKAH 2.

Guru memberikan contoh frasa ayat aktif:-

i. Contoh frasa kata kerja aktif transitif (kata kerja aktif yang mempunyai penyambut atau objek selepasnya) seperti:

a. ‘menyepak bola’,
b. ‘membasuh baju’,
c. ‘menebang pokok’ dan sebagainya.

ii. Contoh frasa kata kerja aktif (kata kerja yang tidak mempunyai penyambut atau objek selepasnya) seperti:

a. ‘membasuh di bilik air’,
Objek yang digugurkn ialah ‘baju’.
b. ‘menyepak ke pintu gol’,
Objek yang digugurkan ialah ‘bola’.
c. ‘menebang di hadapan rumah’
Objek yang digugurkan ialah ‘pokok’.

Ayat-ayat aktif yang tiada objek sukar untuk dipasifkan kecuali objeknya dinyatakan semula.