Sunday, September 4, 2011

Bahasa Melayu: Karangan Respons Terbuka / Umum


Karangan Respons Terbuka / Umum

Menu Khas ke Arah Kecemerlangan Karangan Respons Terbuka

Karangan yang ditulis mesti mempunyai introduksi yang efektif dan kreatif. Malangnya, banyak calon SPM yang tidak berinisiatif/berprakarsa untuk meningkatkan kualiti penulisan karangan, khasnya pendahuluan. Rata-rata pendahuluan merupakan stereotaip, yakni tidak mengandungi atau menunjukkan ciri-ciri yang baru atau asli; biasa sahaja sebagaimana yang sering kali kedapatan.

   Pelajar jahil tentang jenis pendahuluan yang perlu diterapkan selaras dengan jenis karangan. Dengan erti kata lain, calon SPM gagal untuk menarik hati pemeriksa kerana kebanyakannya stereotaip sehingga membosankan pemeriksa. Ingat, seseorang pemeriksa perlu memeriksa ratusan skrip jawapan. Jadi, anda perlu menampilkan pendahuluan yang unggul, yakni menonjol dan melebihi yang lain. Yang mustahak, pendahuluan haruslah memenuhi cita rasa pemeriksa, yakni menepati skema pemarkahan, bukannya mengikut cita rasa sendiri.

   Dalam penulisan ini, pendahuluan jenis pendapat tokoh dipaparkan untuk dijadikan tunjuk ajar dan seterusnya meningkatkan mutu penulisan. Dalam pendahuluan jenis ini, pendapat tokoh berkaitan dengan tajuk perbincangan ditampilkan. Tokoh yang dikemukakan itu hendaklah dikenali dan dihormati. Pendapat ini ditulis dalam bentuk prosa atau dalam bentuk dialog, iaitu dalam pengikat kata. Pendapat ini tidak semestinya yang sahih. Anda boleh mereka cipta pendapat itu dan memaparkannya sebagai pendapat tokoh.

    Sesuatu pendahuluan perlu mempunyai 3 elemen, yakni tajuk perbincangan, huraian tajuk, dan fokus/skop perbincangan. Ketiga-tiga unsur ini hendaklah dipaparkan dalam 3 jenis ayat, yakni ayat rangsangan (AR), ayat huraian (AH), dan ayat arahan (AA)

Bahasa Melayu: Tajuk / Tema Karangan: Industri Kecil dan Sederhana Fokus karangan: Langkah-langkah merancakkannya


Tajuk / Tema Karangan: Industri Kecil dan Sederhana
Fokus karangan: Langkah-langkah merancakkannya


[Ayat Rangsangan]Dewasa ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. [Ayat Huraian 1]IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. [Ayat Huraian 2]Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. [Ayat Huraian 3]IKS menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. [Ayat Arahan]Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif dan pragmatik.
   [Ayat Judul]Salah satu langkah perdana yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Bantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 1]Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. [Pengembangan:Ayat Huraian 2 ]Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. [Ayat Penyimpul]Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.
   [Ayat Judul]Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan.
   [Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1] Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. [Ayat Penyimpul]Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara.
   [Ayat Kesimpulan]Secara tuntasnya, kerajaan memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. [Ayat Peniaian]Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. [Ayat Penilaian]Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. [Ayat Penilaian]Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. [Ayat Cadangan]Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara. [Ayat Harapan]Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus merealisasikan Wawasan 2020.

Saturday, September 3, 2011


Soalan 3(a)
  1. Bina ayat dengan perkataan yang berikut tanpa menambah atau menggugurkan imbuhan bagi setiap perkataan yang berikut:

(i)                lebaran
(ii)               lebarkan
(iii)             dilebarkan
(iv)              melebarkan
(v)               perlebar
(vi)              memperlebar

Soalan 3(b)
1. Menganalisis Ayat


Nyatakan jenis ayat di bawah ini sama ada ayat aktif transitif, ayat aktif tak transitif atau ayat pasif.

(i)     Baju itu masih belum berjahit lagi.
(ii)    Dia suka bergurau.
(iii)  Dia keletihan setelah penat bekerja.
(iv)  Mereka suka membaca buku.
(v)   Dia teringat akan isterinya di hospital.
(vi)  Hazami teringat oleh ibunya di kampung.

2. Menukarkan Ayat Aktif kepada Ayat Pasif


Tukarkan ayat-ayat aktif di bawah ini kepada ayat pasif. 

(i)                  Beta akan menganugerahi beliau gelaran Datu`.
(ii)                Saya membeli buku itu di kedai koperasi .
(iii)               Kami akan membantu guru pada hari pendaftaran pelajar baharu itu nanti.


3. Menukarkan Ayat Pasif kepada Ayat Aktif


Tukarkan ayat-ayat pasif. di bawah ini kepada ayat aktif

(i)                  Kursus itu akan saya jalani pada minggu depan.
(ii)                Peperiksaan itu akan kami duduki pada bulan Jun nanti.
(iii)               Kita tuntut  kemerdekaan daripada penjajah.

4. Menyambungkan ayat


Sambungkan ayat-ayat tunggal di bawah ini supaya menjadi ayat majmuk.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mewujudkan forum.  Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah mewujudkan forum . Kedua-dua pihak membincangkan langkah untuk menangani gejala samseng .Gejala samseng itu kini menular di sekolah. Pihak polis  sedang membincangkan kaedah terperinci untuk mengekang gejala samseng berkenaan. Pihak Kementerin Pelajaran sedang membincangkan kaedah terperinci untuk mengekang gejala samseng berkenaan.  Dato` Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan sesuatu. Kementerian itu sudah mengenal pasti kumpulan kongsi gelap. Kongsi gelap itu  melakukan kegiatan merekrut pelajar sekolah. Pelajar sekolah menyertai kumpulan terbabit.

5. Memisahkan Ayat


Pisahkan ayat-ayat di bawah ini kepada 4 ayat dengan mengekalkan maksud dan struktur asalnya.

Pasangan suami isteri yang menghadapi tuduhan mengambil deposit secara haram berjumlah RM1.22 juta daripada orang ramai itu telah melantik  peguam bela bagi mengendalikan penggulungan hujah kes mereka di Mahkamah Sesyen pada hari ini.

6.  Menukarkan Ayat Cakap Ajuk kepada Ayat Cakap Pindah


Tukarkan ayat-ayat di bawah ini daripada ayat cakap ajuk kepada ayat cakap pindah.

"Saya dapati kamu telah melakukan satu kesalahan yang amat besar hari ini," Pengetua mula membuat tuduhan terhadap Faizal yang masih terpinga-pinga.
"Tidak Cikgu! Saya tak buat apa-apa kesalahan," Faizal cuba mempertahankan diri.
"Cikgu Aziz pengsan, kamu tahu?" tanya Pengetua.


Soalan 3(c) Kesalahan ejaan dan imbuhan

Dalam ayat-ayat di bawah ini, terdapat dua penggunaan ejaan  dan imbuhan yang salah. Kenal pasti kesalahan-kesalahan tersebut dan betulkannya  dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya. 

i. Percikkan bunga api itu dilihat sungguh indah pada malam sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
ii. Zarul Amin berbaring keletihan setelah pulang daripada menjaja ais krim.
iii. Saya tidak dapat dengar apa-apa  yang diperkatakan oleh Salmah kerana suasana hangar bingar.

Soalan 3(d) Kesalahan kata/istilah dan bahasa

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat dua  kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa. Kenal pasti  kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis ayat itu semula  tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i)      Kontingen negara akan menghantar satu pasukan peninju muda yang paling 
         handal sekali di negara kita dalam kejohonan tinju peringkat amatur di Bangkok,
         Thailand .
(ii)    Petunjuk-petunjuk perasaan yang menentang campur tangan Amerika di negara
         Iraq itu sedang berarak di jalan raya-jalan raya di seluruh negara.
(iii)   Penyanyi yang menagih dadah itu akan diletakkan di bawah perhatian pihak polis
         selama dua setengah tahun.

Soalan 3(e) Peribahasa

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini.


Hidupnya begitu sukar untuk diteruskan kerana dia terpaksa bekerja pada setiap masa untuk sesuap nasi. Untuk meneruskan kehidupan, dia terpaksa bekerja kerana tanpa usaha rezeki tidak akan menjelma. Apabila sudah mendapat rezeki, dia perlu berusaha dengan lebih gigih lagi kerana rezeki yang sedikit tidak akan menjadi banyak atau bertambah jika dia tidak melipatgandakan usaha.
 [ 6 markah ]

2. Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam ayat-ayat ini.


(i)      “Saya yakin bahawa kamu akan berjaya kerana jika kamu berusaha dengan
         bersungguh-sungguh kejayaan sudah pasti menjadi milik kamu.” Kata Cikgu         
         Haris  kepada Wati.
(ii)    Kita hendaklah berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi negara yang
         tercinta ini.
(iii)   Dia terpaksa berada di perantauan untuk mencari rezeki bagi menyara
         keluarganya.
 [ 6 markah ]

Soalan Contoh 3
 
Bina ayat berdasarkan peribahasa yang diberikan di bawah ini.

(i)                  Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.
(ii)                Tak lapuk dek hujan dan  tak lekang dek panas.
(iii)               Indah khabar daripada rupa
[ 6 markah ]

Soalan Contoh 4


Isi tempat kosong di bawah ini dengan peribahasa yang sesuai.

(i)                  Orang yang selalu mengikut kemahuan orang lain.          _____________________________________________.
(ii)                Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.         ______________________________________________ .
(iii)               Sesuatu perkara yang muncul terlalu banyak pada sesuatu masa.  ________________________________________________ .
[ 6 markah ]

Soalan Contoh 5


Berikan  maksud setiap peribahasa  di bawah ini.

(i)      Bulat air kerana  pembetung,bulat manusia  kerana muafakat
(ii)     Bagai kaca terhempas ke batu.
(iii)    Lintah darat
[ 6 markah ]

Nyatakan jenis kata bagi perkataan yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas.

(i)     Mereka berbicara tentang bioteknologi.
(ii)   Kami telah menyaksikan perlawanan yang hebat pada malam itu.
(iii)  Guru menghadiahi kami sebuah buku cerita.
(iv)  Kami sekeluarga berada dalam keadaan sihat.
(v)   Hadiah ini disediakan untuk ibuku yang tersayang.
(vi)  Dia bimbang akan keadaan ibunya yang masih belum sedar.


Panduan untuk Mengenal Jenis Kata

Terdapat panduan atau rumus untuk mengenal jenis kata. Untuk mengenal kata nama, kata itu dapat didampingkan dengan kata bilangan. Sebagai contoh, pen ialah kata nama kerana dapat didampingkan dengan kata bilangan, iaitu lima batang pen (/). Cantik pula bukan kata nama kerana tidak dapat didampingkan dengan kata bilangan, iaitu lima batang cantik (x). Untuk mengenal kata adjektif, kata itu dapat didampingkan dengan kata penguat. Sebagai contoh, cantik ialah kata adjektif kerana kata ini dapat didampingkan dengan kata penguat, iaitu, sangat cantik (/), manakala pen bukan kata adjektif kerana kata ini tidak dapat didampingkan dengan kata penguat, iaitu sangat pen (x). Untuk mengenal kata kerja, kata kerja tidak dapat didampingi kata penguat dan kata bilangan tetapi dapat didampingi kata bantu. Kata tidur ialah kata kerja kerana dapat didampingi kata bantu. Sebagai contoh, sedang tidur (/), sangat tidur (x), lima buah tidur (x). Untuk mengenal kata tugas pula, kata tugas tidak dapat didampingkan dengan kata penguat, kata bilangan atau kata bantu. Kata untuk ialah kata tugas kerana kata ini tidak dapat didampingi ketiga-tiga kata tersebut. Sebagai contoh, sangat untuk(x), lima buah untuk(x) atau telah untuk(x).

Nyatakan jenis frasa yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada Frasa Nama, Frasa Kerja, atau Frasa Sendi Nama.

(i)    Mereka berkelah di tepi sungai.
(ii)   Pemuda itu kehujanan ketika pulang dari pejabat.
(iii)  Saya ke Hotel Nikko pada petang esok.
(iv)  Ibu saya akan pergi ke Mekah pada tahun ini.
(v)   Jika mereka ada, saya pun ada.
(vi)  Beliau amat gembira apabila memenangi Anugerah Tinta Kencana 2004.

Panduan untuk Mengenal jenis frasa

Untuk mengenal frasa dalam bahasa Melayu, kita mestilah mengenal kepala frasa. Dalam bahasa Melayu, hanya kata nama, kata kerja, kata adjektif sahaja yang boleh menjadi kepala frasa. Kata tugas tidak boleh menjadi kepala frasa kecuali kata sendi nama yang membentuk Frasa Sendi. Jika kata kerja mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa kerja. Sebagai contohnya, berbicara tentang perkara itu, akan mengadakan kursus, tinggal di kampung dan sebagainya. Jika kata nama mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa nama. Sebagai contohnya, mereka, anak mereka, lelaki yang berjambang itu, dan sebagainya. Jika kata sendi nama mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa sendi nama. Sebagai contohnya, untuk abang, di Kuala Lumpur dan sebagainya. Dalam bahasa Melayu, frasa boleh terdiri daripada satu perkataan atau lebih.

Nyatakan jenis-jenis ayat di bawah ini sama ada ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan, atau ayat perintah. (SPM JUN 2004)

(i)    Siapakah pemuda yang sedang berdiri di tepi jalan itu?
(ii)   Dia bertanya kepada saya tentang perkara itu.
(iii)  Oh, cantik sungguh bunga-bunga di taman itu!
(iv)  Jangan merokok di dalam kawasan sekolah.
(v)   Dia menulis cerpen itu?
(vi)  Pengetua menanyai pelajar itu tentang ketidakhadirannya semalam.