Friday, April 27, 2012

Bahasa Melayu: PANTUN ENAM KERAT Dirgahayu Bahasaku



PANTUN ENAM KERAT


PUISI TRADISONAL
Md. Ali Bachik (ILADAM) (Penyelenggara )
1. PANTUN ENAM KERAT
Putik kelapa menjadim muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.


Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.


Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.


Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
ILADAM dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)


Tema : Ketabahan hati semasa berhadapan dengan kekecewaan dalam percintaan

Persoalan:
i. Perasaan kecewa yang perlu dihadapi dengan tabah tanpa menyerah kalah pada takdir.
ii. Perasaan rendah diri apabila dikecewakan oleh orang yang dikasihi
iii. Menerima takdir hidup dengan pasrah.

Nilai:
i. Ketabahan; tabah menghadapi kekecewaan dalam percintaan
ii. Keredaan; reda akan takdir tuhan
iii. Rasional : tidak menyalahkan sesiapa atas kejadian yang menimpa diri

Pengajaran:
i. Kita perlu tabah dan kuat semangat apabila berhadapan dengan kekecewaan
ii. Kita mesti menerima ketentuan tuhan dengan reda dan pasrah
iii. Kita mesti bersikap rasional apabila berhadapan dengan masalah dalam kehidupan tanpa menyalahkan orang lain.
Peribahasa
i. Ibarat kaca jatuh ke lantai
ii. Bukan salah ibu mengandung
iii. Ibarat melukut di tepi gantang
Maksud Pantun
i. Rangkap 1: kekecewaan yang benar-benar dirasai oleh seseorang perlu ditangani tetapi jangan dilayan perasaan kecewa walaupun hati betul-betul terluka/kecewa.
ii. Rangkap 2; Semua peristiwa yang berlaku/kecewa cinta merupakan ketentuan tuhan dan tidak perlu menyalahkan orang lain
iii. Rangkap 3; Perasaan hina menyelubungi diri orang yang kecewa cinta apabila kekasih hati jatuh hati dengan orang lain/orang baru
Soalan Pemahaman
i. Berikan maksud rangkai kata
a. Ibarat kaca jatuh ke lantai
b. Bukan salah ibu mengandung
c. Ibarat melukut di tepi gantang
ii. Kemahiran berfikir
a. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mengatasi kekecewaan dalam
hidup?
b. Mengapakah takdir tidak boleh disalahkan jika mengalami kekecewaan?
c. Mengapak kita perlu merefleksi diri sendiri apabila ditimpa musibah?
d. Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh apabila kita tabah menghadapi dugaan
hidup.
iii. Huraikan tiga pengajaran yang terdapat dalam pantun di atas.

No comments:

Post a Comment